Iman, Rasionaliti Dan Tawakal Disebalik Pengorbanan Dan Perjuangan Keluarga Nabiyullah Ibrahim As
Ma’âsyiral Muslimîn rahimakumullâh,
Segala pujian milik Allah, Tuhan semesta alam. Dialah Tuhan Yang telah menghantarkan kita pada hari yang penuh dengan keagungan. Inilah Yawm an-Nahr. Hari Raya Korban. Inilah hari saat kaum Muslim diperintahkan untuk menunaikan solat Aidiladha, menggemakan kalimat takbir dan melaksanakan ibadah korban. Oleh kerana itu, berbahagialah. Sungguh, inilah hari yang penuh kemuliaan dari Allah Pencipta alam. Inilah salah satu dari dua hari terbaik untuk semua insan yang beriman. Inilah hari yang agung. Keagungan Hari Raya Korban ini disabdakan langsung oleh Baginda Nabi SAW:
“Hari yang paling agung di sisi Allah adalah Hari Raya Korban.” (HR Abu Dawud).
Ma’âsyiral-Muslimîn rahimakumulLâh,
Hari ini, lebih dari tiga juta kaum Muslim dari segenap penjuru dunia, berkumpul di Tanah Suci. Sudah tentu untuk melaksanakan perintah berhaji. Lisan mereka selalu basah dengan rangkaian doa dan kalimat talbiyah: “Labbayk AlLaahumma labbayk”. Adapun jiwa dan raga mereka tunduk pada Rabb Kaabah untuk melaksanakan ibadah. Setiap kali perayaan Hari Raya Korban, kita selalu diingatkan dengan keteladanan KhaliilulLaah Nabi Ibrahim AS dan keluarganya. Sudah tentu kerana begitu besarnya keteladanan mereka sehingga Allah SWT pun memuji mereka. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya! Ada buat kamu contoh dan ikutan yang baik pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (TMQ Al-Mumtahanah [60]: 6).
Nabi Ibrahim AS adalah sosok hamba Allah yang menghabiskan seluruh hidupnya dalam perjuangan di jalan-Nya. Dia menegakkan kalimat tauhid secara nyata. Dia menentang keyakinan dan pemahaman batil kaumnya. Hal itu dia sampaikan secara terbuka. Dia tidak pernah menutup-nutupi kebenaran yang memang seharusnya dia nyatakan. Allah SWT berfirman:
(Ingatlah) ketika Ibrahim berkata kepada ayahnya dan kaumnya, “Patung-patung apakah ini, yang kamu tekun menyembahnya?” Mereka menjawab, “Kami mendapati nenek moyang kami menyembahnya.” Dia (Ibrahim) berkata, “Sungguh kamu dan nenek moyang kamu berada dalam kesesatan yang nyata” (TMQ al-Anbiyâ’ [21]: 52-54).
Nabi Ibrahim AS sanggup berhadapan dengan penguasa kufur dan zalim. Dia menyampaikan dakwah tauhid ini secara terbuka dan terang-terangan. Padahal risiko yang dia hadapi amatlah besar. Namun, Allah SWT sentiasa menolong hamba-Nya yang beriman dan sentiasa bersabar. Demikian sebagaimana firman-Nya:
Mereka berkata, “Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak membuatnya.” Lalu Allah berfirman, “Wahai api! Jadilah kamu sejuk dan penyelamat bagi Ibrahim!” (TMQ al-Anbiyâ’ [21]: 68-69).
Ma’âsyiral-Muslimîn rahimakumulLâh,
Nabiyullah Ibrahim AS juga memberikan keteladanan berupa pengorbanan dan ketaatan kepada Allah tanpa keraguan. Ketika Allah SWT memerintahkan dirinya untuk meninggalkan sanak-keluarganya di negeri yang kering dan tandus, maka perintah itu dia laksanakan tanpa kebimbangan. Setelah itu, Nabi Ibrahim AS berdoa sambil mengangkat tangannya:
“Ya Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dekat dengan rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (TMQ Ibrâhim [14]: 37).
Ma’âsyiral-Muslimîn rahimakumulLâh,
Puncak ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS adalah ketika Allah SWT memerintahkan penyembelihan putera tercintanya, Ismail AS. Namun, dengan keyakinan dan keikhlasan, Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS melaksanakan perintah Allah tersebut tanpa sedikit pun rasa kebimbangan. Kerana itu, Allah pun membalas pengorbanan mereka dengan penuh penghargaan. Demikian sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.” (TMQ Al-Shâffât [37]: 105-106).
Ma’âsyiral-Muslimîn rahimakumulLâh,
Persoalannya, apakah sebenarnya yang menyebabkan keluarga Nabiyullah Ibarahim AS mampu mewujudkan ketaatan, pengorbanan dan perjuangan agung tersebut? Jawapannya tidak lain adalah kerana keimanan dan ketawakalan mereka kepada Allah SWT. Iman yang rasional, yang memberikan kepuasan kepada akal dan melahirkan ketenteraman pada jiwa. Lihatlah seruan Nabiyullah Ibrahim AS kepada kaumnya. Dari sana kita dapat belajar bahawa perjuangan mencabar bahkan membahayakan dirinya tersebut, dia mampu melakukannya kerana tuntutan iman kepada Allah SWT yang dijalankan dengan penuh ketawakalan kepada-Nya.
“Sesungguhnya ada bagi kamu teladan yang baik pada Nabi Ibrahim AS dan pengikut-pengikutnya semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar), “Sesungguhnya kami melepaskan diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain daripada Allah, kami mengingkari (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) ternyatalah, perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu adalah selama-lamanya, sehingga kamu menyembah kepada Allah semata-mata,” tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya, (katanya), “Aku akan memohon kepada Tuhanku pengampunan buat dosa-dosamu, namun aku tidak berkuasa menahan azab sedikitpun daripada menimpamu”. (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata), “Wahai Tuhan kami, kepada Engkau sahaja kami berserah diri dan kepada Engkaulah kami bertaubat serta kepada Engkaulah juga tempat kembali.” (TMQ Al-Mumtahanah [60]: 4)
Ajakan iman tersebut mampu dilakukan dengan sepenuh hati, tentu kerana Nabiyullah Ibrahim AS telah terlebih dahulu memiliki keyakinan kepada Allah SWT yang membuatnya tetap teguh dan tegar dalam menghadapi risiko perjuangannya. Allah SWT berfirman:
“Dan ceritakanlah (Muhammad) kisah Ibrahim di dalam Kitab (al-Quran). Sesungguhnya dia seorang yang sangat mencintai kebenaran dan seorang nabi” (TMQ Maryam [19]: 41)
Imam Ibnu ‘Asyur dalam kitab tafsirnya at-Tahrir wa at-Tanwir menjelaskan bahawa lafaz ash-Shiddiq adalah shigah mubalaghah yang menunjukan betapa tingginya keimanan beliau, hingga mampu melakukan sebuah perintah yang sesungguhnya memungkinkan baginya untuk memohon toleransi, seperti perintah untuk menyembelih puteranya.
“Ibrahim digambarkan sebagai orang yang sangat tulus kerana kesetiaan dan ketaatannya yang luar biasa kepada Allah, tidak ada yang dapat menghalanginya untuk melaksanakan perintah Allah, bahkan ketika dihadapkan pada ujian yang sangat berat seperti menyembelih puteranya”. (at-Tahrir wa at-Tanwir Libni ‘Asyur, Juz 16, hal. 112)
Iman seperti ini adalah iman yang rasional. Sebab, tatkala seseorang telah sampai kepada kesimpulan akan adanya pencipta, lalu meyakini bahawa apa yang datang dari sang pencipta melalui para nabi adalah wahyu, maka tidak ada pilihan lain baginya kecuali membenarkannya dan melaksanalan setiap perintah yang terkandung di dalamnya. Itulah metode rasional dalam beriman. Rasionaliti seperti ini, jelas dapat kita saksikan dari sikap Nabiyullah Ibrahim AS dan keluarganya.
Lihatlah apa yang dikatakan oleh Ibunda Hajar, saat dia ditinggal oleh Nabiyullah Ibrahim AS, seperti dituturkan oleh Imam al-Bukhari:
Dia berkata; “Wahai Ibrahim, kamu mahu pergi ke mana? Adakah kamu (sanggup) meninggalkan kami di lembah yang tidak ada seorang manusia dan tidak ada sesuatu apapun ini”. Ibu Ismail terus mengulang-ulang pertanyaannya berkali-kali hingga akhirnya Ibrahim tidak menoleh lagi kepadanya. Akhirnya ibu Ismail bertanya; “Adakah Allah yang memerintahkan kamu atas semuanya ini?”. Ibrahim menjawab: “Ya”. Ibu Ismail berkata; “Kalau begitu, Allah tidak akan menelantarkan kami” (HR Bukhari). Ibunda Siti Hajar dalam kisah tersebut, hanya bertanya untuk memastikan bahawa perintah untuk meninggalkan dirinya beserta puteranya itu adalah perintah dari Allah SWT.
Itu jugalah yang dikatakan Nabiyullah Ismail AS ketika mendengar berita perintah untuk menyembelih dirinya.
“Maka ketika anak itu mencecah umur yang mampu bekerja bersamanya, (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang telah diperintahkan (Allah) kepadamu; insya Allah engkau akan mendapati aku termasuk orang yang sabar” (TMQ Al-Shaffat [37]: 102)
Ma’âsyiral-Muslimîn rahimakumulLâh,
Sebagaimana keteladanan Nabi Ibrahim AS, maka ini jugalah yang seharusnya dimiliki setiap Muslim, keimanan yang kukuh yang lahir dari proses berfikir rasional serta ketawakalan kepada Allah SWT. Tidak selayaknya umat Islam silau dengan kehebatan musuh-musuh mereka, kerana mereka bersama Allah SWT. Sebaliknya, tidak selayaknya juga mereka mentuhankan usaha-usaha mereka, hingga berani menyimpang dari perintah dan larangan Allah, kerana kemenangan itu sejatinya datang daripada Allah SWT. Tidak selayaknya juga mereka bermalas-malasaan dan lalai dalam melakukan hukum sebab dan akibat.
Sebab, Allah SWT telah memerintahkan mereka untuk berjuang. Dalam konteks ini, al-Imam Ibnu Taimiyyah menyatakan, menukil perkataan para ahli ilmu:
“Bergantung pada sebab-sebab duniawi adalah syirik dalam tauhid. Sementara menghilangkan sebab-sebab sebagai sebab adalah kekurangan dalam akal. Dan berpaling dari sebab-sebab secara total adalah tikaman terhadap syariat. Sesungguhnya tawakal dan harapan adalah makna yang terdiri dari unsur tauhid, akal, dan syariat”. (Majumu’ul Fatawa, Libni Taimiyyah, Juz 8, hal.169)
Ma’âsyiral-Muslimîn rahimakumulLâh,
Katika iman sudah mulai lemah, penghambaan terhadap dunia makin luar biasa, seseorang tidak lagi mampu berfikir secara rasional, pada saat yang sama sikap tawakal pun semakin luntur. Saat itulah pengorbanan dan perjuangan sukar untuk diwujudkan. Inilah yang menimpa dunia Islam saat ini, di tengah perayaan Aidiladha ini, kita masih terus menyaksikan penderitaan saudara seiman di Gaza. Militer Yahudi masih terus melakukan genosid terhadap mereka. Diperkirakan hari ini jumlah mangsa yang meninggal dunia telah mencapai 54 ribu orang. Saat ini juga ada hampir dua juta penduduk Gaza berada dalam kelaparan akibat sekatan oleh kaum zionis Yahudi secara membabi-buta. Namun, yang paling memilukan, dunia Islam hanya menjadi penonton. Tidak ada satu pun penguasa negeri Muslim yang tergerak memberikan pertolongan. Sebaliknya, beberapa pemimpin Arab justeru mengirimkan wang jutaan ringgit ke negeri pendukung zionis Yahudi, yakni Amerika Syarikat. Para pemimpin dunia Islam sengaja mengabaikan panggilan jihad demi mengusir para penjajah dari tanah air mereka. Padahal Allah SWT telah memerintahkan mereka:
“Bunuhlah mereka di mana saja kalian temui mereka dan usirlah mereka dari mana mereka telah mengusir kalian. Fitnah (kekufuran/kemusyrikan) itu lebih kejam daripada pembunuhan.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 191). Para pemimpin dunia Islam, terutama para penguasa Arab, masih bersemangat mengurus ibadah haji. Namun, mereka enggan berjihad membebaskan Gaza dan mengusir kaum Yahudi. Sedangkan kewajipan jihad itu telah nyata dan telah diserukan tanpa henti. Fakta ini seharusnya semakin membuka mata kita, bahawa umat Islam memerlukan kepemimpinan global untuk seluruh dunia, di bawah seorang pemimpin yang memiliki komitmen kuat untuk menyatukan semua potensi kaum muslimin di seluruh dunia, agar kembali mampu menerangi bumi, mensejahterakan manusia, melindungi darah serta nyawa seluruh umat Islam, dan menyebarkan rahmat Islam ke seluruh penjuru alam.
Dialah seorang khalifah dengan sistem khilafahnya, yang merupakan warisan Rasulullah SAW. Dalam bingkai sistem inilah, kita akan menyaksikan kembali kehadiran para pemimpin yang rela berkorban dan berjuang di jalan Allah SWT, kerana mereka memiliki iman dan tawakal kepada-Nya, seperti nampak pada sosok Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar, Khalifah Uthman, Khalifah Ali, radhiyallahu anhum ajmain, dan juga para Khalifah sesudahnya dari zaman Umayyah, Abbasiyyah hingga era Uthmaniyyah.
Di bawah kepemimpinan global dan sosok pemimpin seperti merekalah, umat Islam sedunia akan sanggup membebaskan diri mereka dan saudara-saudara mereka dari segala derita akibat penjajahan bangsa-bangsa lain. Semua ini sebagai wujud nyata dari pelaksanaan sabda Baginda Rasulullah SAW:
“Seorang mukmin dengan mukmin lainnya ibarat satu bangunan. Sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (HR Muslim).
Ma’âsyiral-Muslimîn rahimakumulLâh,
Akhirnya, Marilah kita berdoa, semoga Allah anugerahkan kepada kita keimanan yang kukuh, akal yang waras, serta ketawakalan kepada Allah SWT, yang menjadikan kita mampu berkorban dan berjuang di jalan-Nya, seperti kisah keluarga Nabiyullah Ibrahim AS. Semoga Allah jadikan keluarga kita, kerabat kita, tetangga kita, dan seluruh kaum muslimin yang sedang berada di Tanah Suci, pulang dengan haji yang mabrur. Sebab tiada ganjaran bagi haji yang mabrur melainkan syurga. Dan semoga Allah memilih kita untuk menerima undangan ke baitullah suatu saat nanti.
Kita juga berdoa, semoga Allah menerima semua amaliyyah kita dalam rangkaian hari raya Aidiladha ini. Dan semoga Allah mengampunkan segala dosa kita, termasuk ketidakmampuan kita berbuat banyak atas apa yang menimpa saudara-saudara kita di Gaza dan berbagai belahan dunia lain yang sedang ditimpa kezaliman. Kita juga tidak henti-henti berdoa, semoga Allah segera menurunkan pertolongan-Nya kepada kita, melalui hadirnya seorang pemimipin yang mampu menyatukan kembali kaum muslimin di seluruh penjuru dunia, hingga umat Islam kembali menjadi khairu ummat ukhrijat linnas, penebar rahmat di seluruh alam. Amin, Amin, Amin, Amin Yaa Mujibas Sailin.
Sumber:
Ustaz Ade Sudiana, Lc
Naskah Khutbah Aidiladha 1446H,
Masjid Syaraful Haramain, Bogor, Indonesia
#Aidiladha #KhutbahAidiladha
#HariRayaKorban #Haji #Zulhijjah
#Iman #Tawakal #Perjuangan #Pengorbanan