Haji: Ibadah Yang Diniagakan
Oleh : Rahmah
Aktivis Muslimah, Ustazah Hayati menyatakan ibadah haji kini semakin sukar dilaksanakan apabila kosnya semakin meningkat dan ibadah tersebut telah menjadi satu perniagaan.
“Dalam keadaan kita sekarang, ibadah haji itu sudah jadi satu perniagaan. Di Arab Saudi, harga visa sudah naik. Jadi bila naik di sana, naik di sini. Disusahkan di sana disusahkan di sini,” ujarnya dalam Program Muslimah Talks & Doa Kesyukuran bertajuk Kewajipan Haji Tanggungjawab Semua, Ahad (18/5/2025).
Menyentuh isu kemudahan yang wajar disediakan untuk mengerjakan ibadah haji, beliau menyatakan ianya sangat penting bagi memastikan urusan haji dapat berjalan dengan lancar.
“Bukan kita kata bila negara itu uruskan sampai free of charge. Tidak. Masih dikenakan bayaran tetapi dimudahkan. Dan kita akan ada kemudahan-kemudahan lain. Perjalanan kita akan lebih lancar,” tambahnya.
Beliau turut mempersoalkan peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membina kemudahan jemaah termasuk tandas dan tempat penginapan yang baik, sedangkan pemerintah mampu membina pusat hiburan moden.
“Kenapa tidak dibina kemudahan-kemudahan lain sedangkan Kerajaan Arab Saudi itu boleh bina pusat hiburan yang hebat. Kenapa kemudahan-kemudahan di kawasan haji, orang guna tiap-tiap tahun kan? Haji itu dah dibuat. Jadi kenapa tidak dibina bangunan-bangunan bagus? Ke mana hilangnya duit yang umat bagi untuk kemudahan haji?” soalnya.
Menurut beliau lagi, kuota haji kini seakan lebih berpihak kepada pakej mahal kerana ia memberi pulangan kewangan yang tinggi kepada pihak pengendali berbanding pakej murah kerana tidak menguntungkan secara ekonomi.
“Tapi sekarang ini kita sudah disusahkan sebabnya tengok kuota haji untuk yang murah. Kenapa mahal dan murah tetapi pergi sekali? Kenapa? Sebab kuota yang mahal tu mendatangkan keuntungan. Yang murah tu kurang keuntungan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan menghalang dan menyulitkan ibadah adalah satu bentuk kemaksiatan dalam Islam.
“Dalam Islam, kalau kita menghalangi ibadah atau menyusahkan ibadah, maka hukumnya kita bermaksiat kepada Allah. Tidak boleh kita menyusahkan dalam beribadah,” katanya.
Tambahnya, tanggungjawab mempermudah ibadah bukan hanya terletak pada individu, tetapi juga pemerintah dan pemegang kuasa di seluruh dunia.
“Ibadah itu kita kena mudahkan dan itu sebenarnya ialah peranan penguasa kita. Bukan penguasa kita sahaja, penguasa seluruh dunia,” katanya lagi.
Menurutnya, masalah seperti kekurangan kemudahan bukan lagi isu kecil, malah menjadi beban kepada umat Islam seluruh dunia sedangkan para jemaah layak mendapat kemudahan yang selesa.
“Kita bersabar atas perkara yang sebenarnya kita tidak perlu di mana kesusahan yang boleh kita atasi kalau ada pihak yang ambil tanggungjawab,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam Islam, sekiranya tiada pihak yang melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah seperti pengurusan haji, maka ia boleh jatuh menjadi fardu ain iaitu kewajipan individu. Namun sekiranya sudah ada pihak yang menguruskannya dengan baik, maka yang lain tidak berdosa.
“Bila tidak ada orang yang hendak melepaskan kesusahan kita untuk menunaikan haji, maka ia akan jadi fardhu ain. Sekarang ini, kita masih terbelenggu dengan kesusahan itu. Dia menjadi tanggungjawab untuk kita lepaskan. Sampailah sudah ada orang yang cuba untuk melepaskan belenggu itu. Kalau pemerintah tidak buat, siapa yang hendak buat?” soalnya lagi.
Beliau menyeru agar pihak yang sewajarnya bertanggungjawab menguruskan hal ini dapat menyempurnakan tanggungjawabnya.
“Haji itu bukan masalah kita seorang, ini masalah umat. Kita minta negara sempurnakan tanggungjawabnya,” katanya.
#haji