Memahami Makna Zalim: Menempatkan Segala Sesuatu Bukan pada Tempatnya
Dalam Islam, keadilan adalah salah satu nilai agung yang menjadi asas dalam setiap aspek kehidupan. Lawannya adalah zalim—suatu perilaku yang sangat dibenci Allah SWT. Para ulama mendefinisikan zalim secara bahasa sebagai “wad’u syai’ fii ghairi maudhihi”, yang bererti menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya. Secara istilah syarie, zalim berlawanan dengan adil: mengambil hak yang bukan miliknya, atau menafikan hak yang semestinya diberikan.
Allah Tidak Pernah Berbuat Zalim
Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman:
“Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, dan Aku menjadikan kezaliman itu haram di antara kalian. Maka janganlah kalian saling menzalimi…” (HR. Muslim)
Imam Nawawi menjelaskan bahawa sifat zalim mustahil dinisbahkan kepada Allah. Meski Allah Maha Kuasa, Dia tidak berbuat zalim kepada makhluk-Nya. Hal ini ditegaskan dalam beberapa ayat Al-Quran, seperti dalam surah Al-Kahfi: 49, surah Ali Imran: 108, dan surah Ghafir: 31, bahawa Allah tidak menganiaya siapa pun.
Tiga Bentuk Kezaliman
- Zalim terhadap Diri Sendiri
Ini terjadi ketika seseorang melakukan dosa, lalai dalam kewajipan, atau menjauh dari jalan Allah. Surah An-Nisa ayat 110 menyebutkan bahawa siapa yang menzalimi diri lalu bertaubat, maka Allah Maha Pengampun. Kezaliman ini juga tercermin saat seseorang mengabaikan kesihatan jasmani dan rohani, serta menunda-nunda amal kebaikan.
- Zalim terhadap Allah SWT
Puncak kezaliman terhadap Allah adalah syirik, yakni menyekutukan-Nya dengan makhluk. Dalam surah Luqman ayat 13, Luqman menasihati anaknya agar tidak menyekutukan Allah kerana itu adalah kezaliman besar. Bahkan tunduk kepada hukum buatan manusia yang bertentangan dengan hukum Allah juga termasuk bentuk syirik yang tersembunyi, sebagaimana dijelaskan dalam Surah At-Taubah ayat 31, “ Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” Selain itu, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, serta berhukum selain kepada hukum Allah (QS Al-Maidah: 45) merupakan bentuk nyata menzalimi Allah.
- Zalim kepada Sesama Manusia
Kezaliman ini mencakup perampasan hak, penipuan, rasuah, hingga memakan harta anak yatim (QS An-Nisa: 10). Rasulullah SAW memperingatkan:
“Takutlah kalian berlaku zalim, kerana kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat.” (HR. Muslim)
Bahkan sekecil apa pun bentuk kezaliman terhadap orang lain, seperti menguasai tanah milik orang lain, akan mendapatkan ganjaran yang berat di akhirat.
Jangan Sombong dengan Berbuat Zalim
Seseorang yang berbuat zalim seakan-akan merasa lebih tinggi dari Allah, yang justeru tidak pernah menzalimi makhluk-Nya. Maka sangat tidak patut bagi manusia untuk menzalimi siapa pun. Jika Allah telah mengharamkan kezaliman atas diri-Nya sendiri, siapalah diri kita yang berani melanggarnya?
Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang berlaku adil, jauh dari tindakan kezaliman, dan sentiasa memohon ampunan serta petunjuk dari Allah SWT.[]
Sumber: https://ngajishubuh.or.id/memahami-makna-zalim/
#kezaliman #keadilan