Farid Wadjdi: Penguasa Kaum Muslimin Sepatutnya Lebih Layak untuk Marah
Oleh: Rahmah
Pengarah Forum on Islamic World Studies (FIWS), Ustaz Farid Wadjdi menyatakan bahawa pihak yang paling layak untuk merasa marah ialah umat Islam, terutamanya para pemimpin negeri-negeri umat Islam yang hanya berdiam diri ketika saudara-saudara mereka dibunuh di Palestin.
“Sepatutnya, pihak yang lebih wajar dan lebih layak untuk marah ialah umat Islam, khususnya para penguasa. Kenyataan Thunberg sebenarnya merupakan satu tamparan buat para pemimpin negeri Islam; ketika saudara-saudara mereka dibunuh dan dibantai, mereka hanya membisu,” katanya dalam saluran YouTube Syiar Malam bertajuk Gaza Masih Dijajah Zionis, Bagaimana Penguasa Negeri Muslimin? pada hari Jumaat, 13 Jun 2025.
Beliau mengulas kenyataan Greta Thunberg, seorang aktivis pro-Palestin dari Sweden yang telah diusir oleh tentera Israel kerana terlibat dalam penghantaran bantuan kemanusiaan melalui kapal Madleen bersama beberapa aktivis lain.
“Thunberg membalas kecaman Donald Trump terhadap tindakannya menghantar bantuan kemanusiaan dengan menyatakan bahawa dunia ini memerlukan lebih ramai wanita muda yang marah terhadap krisis global. Thunberg juga menyatakan bahawa dia tidak takut ditahan, tetapi yang lebih ditakutinya ialah apabila dunia diam terhadap kezaliman Israel,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menerangkan bahawa dalam pandangan Islam, marah terhadap kezaliman bukan sahaja satu hak, bahkan satu kewajipan ke atas umat Islam.
“Dalam Islam, marah terhadap kezaliman, apatah lagi terhadap genosid bukan sekadar hak, malah ia adalah kewajipan. Sekiranya ada umat Islam yang tidak marah terhadap kezaliman, maka kewajaran dan keimanan mereka patut dipersoalkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak cukup sekadar marah, sebaliknya perlu ada tindakan nyata untuk menghentikan kezaliman yang berlaku.
“Dalam Islam, yang dituntut bukan sekadar kemarahan semata-mata, tetapi tindakan yang jelas dan nyata. Apabila sesebuah negeri Islam dizalimi dan ditindas, kita tidak boleh hanya marah; sebaliknya kita perlu bertindak untuk menghentikan kezaliman tersebut. Dan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh para pemimpin negeri Islam dengan menghantar tentera sebagai langkah konkrit,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan bahawa kenyataan Greta Thunberg merupakan satu tamparan kepada para pemimpin Islam termasuk pemimpin Arab yang membisu terhadap jenayah Yahudi. Lebih menyedihkan lagi, mereka mengiktiraf penjajahan Yahudi melalui pendekatan penyelesaian dua negara atau normalisasi hubungan dengan Israel.
“Sebaliknya, mereka bukan sahaja tidak marah, malah tergesa-gesa menjalin hubungan diplomatik serta mempromosikan penyelesaian dua negara atau normalisasi dengan Israel,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu bentuk pengkhianatan kerana ia mengakui kewujudan entiti penjajah Yahudi.
“Sebenarnya, penyelesaian ini (dua negara) adalah satu bentuk pengkhianatan. Mengapa? Kerana dengan menerima penyelesaian dua negara, ia bermaksud mengiktiraf kewujudan penjajah Yahudi itu sendiri. Penyelesaian ini mengandaikan bahawa selain penubuhan ‘negara Palestin merdeka’, ia juga memerlukan pengiktirafan terhadap entiti penjajah Yahudi,” katanya lagi.
Menurut beliau, sekiranya negara Palestin benar-benar diwujudkan dalam kerangka penyelesaian dua negara, negara itu pasti akan dilemahkan dan tidak akan dibenarkan untuk menjadi ancaman kepada kewujudan Israel kerana Amerika Syarikat tidak akan membiarkan sebarang ancaman terhadap entiti tersebut.
“Kalaupun wujud negara Palestin hasil daripada penyelesaian dua negara ini, pastinya ia hanyalah negara lemah yang tidak berdaya. Amerika sejak awal lagi telah menetapkan dasar bahawa mereka tidak akan membiarkan sebarang ancaman terhadap kewujudan penjajah Yahudi,” akhirinya.
Sumber: https://youtu.be/QgFfGr9lByU?si=5ANskSpyfv4PoRdw