Menolong Gaza Memerlukan Kekuatan Besar
“Demi cinta, demi kemanusiaan, demi Islam. Aku mohon, berdirilah bersama saudara-saudara Muslimmu. Mereka menyambut saya dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan. Saya datang ke sana sebagai seorang perawat, dengan biaya sendiri. Namun saya dipukul di padang pasir hanya kerana memberi makan anak-anak Muslim yang kelaparan. Di manakah ketenangan hatimu? Di manakah hati nuranimu? Demi kemanusiaan dan cinta, sokonglah saudara-saudara Muslimmu di Palestin.”
Demikianlah rayuan seorang perawat non-Muslim kepada pihak berkuasa Mesir yang berbaris menghalang ribuan peserta Global March to Gaza di pintu masuk Rafah. Satu rakaman video yang tular di media sosial. Lelaki tersebut merayu dalam tangisan, bahkan sanggup berlutut, memohon agar dia dan rombongannya dibenarkan masuk demi membantu anak-anak dan para ibu di Gaza yang sedang kelaparan. Namun, amat menyedihkan apabila barisan penguatkuasa itu kekal tidak berganjak. Wajah mereka kelihatan dingin, seolah-olah langsung tidak peduli.
Pesan yang Mendalam
Inilah secebis peristiwa yang berlaku dalam aksi Global March to Gaza yang disertai oleh sekitar 20,000 peserta di sempadan Mesir-Rafah, bermula sejak 12 Jun dan berakhir pada 19 Jun 2025. Aksi ini merupakan susulan kepada gerakan Konvoi Sumoud yang disertai oleh 1,000 aktivis dari Algeria, Maghribi, dan Tunisia, yang telah memulakan perjalanan dari Tunisia pada 9 Jun 2025 untuk bergabung dalam Global March di Rafah.
Aksi yang melibatkan orang awam dengan skala terbesar yang melibatkan peserta dari lebih 50 buah negara ini sememangnya sangat luar biasa. Semua peserta hadir dengan satu harapan, iaitu agar dapat memberi tekanan global agar jenayah genosid di Gaza dihentikan dengan segera. Mereka membawa satu pesan yang mendalam, bahawa apa yang sedang berlaku di Gaza telah benar-benar melampaui batas kemanusiaan, merentasi sempadan negara, kepercayaan, dan agama.
Penyertaan mereka dalam aksi ini benar-benar bersifat sukarela, tanpa syarat. Mereka mewakili masyarakat dunia yang semakin marah dan dalam masa yang sama kecewa serta pesimis terhadap pelbagai institusi antarabangsa yang terbukti gagal membendung kezaliman. Mereka juga kecewa dengan sikap para pemimpin dunia yang lebih banyak berdiam diri, bahkan sebahagiannya menyokong pembantaian yang berlaku.
Sudah hampir 20 bulan genosid berlangsung, namun tiada satu kuasa pun yang benar-benar mahu atau mampu menghentikannya. Hari demi hari, serangan kejam rejim Zionis semakin menggila, di tengah sekatan menyeluruh yang dikenakan. Seluruh wilayah Gaza kini mengalami krisis makanan yang parah. Bekalan air bersih, elektrik, dan kemudahan perubatan sangat sukar didapatkan, menyebabkan penderitaan rakyat Gaza terus memuncak ke tahap yang sukar untuk dibayangkan. Jumlah mangsa yang terkorban terus meningkat dalam keadaan yang amat menyayat hati.
Sehingga 17 Jun 2025, menurut laporan agensi berita Anadolu Ajansi, jumlah rakyat Gaza yang terkorban sejak 7 Oktober 2023 telah melebihi 55,400 orang. Kekejaman tentera Zionis kini sudah mencapai kemuncaknya apabila mereka sanggup menembak mati rakyat yang sedang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan serta menjadikan “kelaparan” sebagai senjata genosid yang paling kejam. Pada hari Selasa (17 Jun 2025), tentera Zionis telah menembak penduduk awam sehingga menyebabkan 63 orang terkorban dan ratusan lagi cedera.
Batu Penghalang Terbesar
Bagi umat Islam sendiri, aksi besar ini sepatutnya menjadi pelajaran penting bahawa sedang berlaku satu krisis besar dalam tubuh umat ini, iaitu semakin rapuhnya jalinan persaudaraan hakiki yang berasaskan kekuatan iman. Semua ini adalah akibat daripada hilangnya kekuatan politik Islam, hasil pengkhianatan para penguasa Muslim terhadap agama Islam dan umat Islam, serta kesetiaan membuta tuli yang ditunjukkan oleh mereka kepada kuasa-kuasa besar dunia yang menjadi tuan mereka.
Tertahannya para peserta aksi ini di pintu Rafah yang merupakan satu-satunya laluan hayat bagi penduduk Gaza, juga membawa mesej besar, bahawa batu penghalang terbesar dalam usaha membantu mereka sebenarnya berpunca daripada ideologi kebangsaan dan sempadan-sempadan buatan yang dinamakan “negara”. Fahaman nasionalisme dan konsep negara bangsa ini terus dijaga oleh para penguasa Muslim melalui para tenteranya.
Lihatlah apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa Mesir. Bukannya membantu dan memudahkan perjalanan para diplomat kemanusiaan ini, sebaliknya mereka bertindak menahan, menyerang para aktivis, serta menghantar pulang sebahagian peserta dengan alasan yang direka-reka. Bahkan, pada 18 Jun 2025, dilaporkan bahawa jurucakap aksi Global March to Gaza telah ditahan oleh pemerintah Mesir.
Begitu juga dengan pemerintah Jordan, yang wilayahnya memiliki sempadan terpanjang dengan tanah jajahan Zionis. Mereka memilih untuk berdiam diri, dan seperti pemimpin negara Arab yang lain, sibuk mengampu Amerika Syarikat demi mengekalkan kuasa pemerintahan mereka. Mereka sanggup menormalisasi hubungan dengan penjajah tanah Palestin dan pembunuh rakyat Gaza hanya demi melindungi kelangsungan dinasti mereka.
Ternyata para pemimpin Arab, khususnya Mesir, lebih takut terhadap ancaman halus rejim Zionis yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan Israel, Yisrael Katz. Berkaitan dengan aksi global ini, dia menyatakan bahawa Mesir perlu menghentikan para aktivis pro-Palestin yang dianggapnya sebagai jihadis daripada menghampiri sempadan, kononnya demi menjaga keselamatan pasukan pengawal sempadan Israel (IDF), membahayakan nyawa para aktivis itu sendiri, dan kestabilan rejim Mesir serta kerajaan-kerajaan Arab “moderat” di rantau tersebut. (dw, 12-6-2025)
Mereka juga amat gerun dengan amaran daripada Netanyahu yang berkata: “If we fall – and that won’t happen – but if we do fall, many parts of the world will fall with us.” (Jika kami jatuh – dan itu tidak akan berlaku – tetapi sekiranya kami jatuh, banyak bahagian dunia akan turut jatuh bersama kami.) (The Middle East News, 12-6-2025)
Sesungguhnya, menghentikan genosid di Gaza sebenarnya tidaklah sukar, jika umat Islam, khususnya para penguasanya, tidak lagi diracuni oleh fahaman nasionalisme dan ideologi negara bangsa. Bukankah sepatutnya mudah bagi para pemimpin Muslim, terutamanya Mesir dan Jordan, untuk membuka sempadan mereka, menggerakkan tentera, malah mengerah rakyatnya sendiri demi membantu rakyat Gaza dan memimpin jihad melawan Zionis bagi menghentikan keangkuhan mereka?
Namun mengapa semua itu seakan mustahil untuk dilakukan? Jawapannya tidak lain kerana tangan dan kaki mereka terikat dengan perjanjian dan konsep negara bangsa, serta racun nasionalisme yang membuatkan mereka hanya memikirkan apa yang dinamakan sebagai “kepentingan nasional”. Perintah agama untuk menjaga ukhuwah, membantu saudara seakidah, dan melenyapkan kezaliman seolah-olah tidak lagi bermakna berbanding naratif kepentingan nasional dan ketakutan mereka kehilangan tampuk kekuasaan.
Sejarah telah membuktikan bahawa dua naratif inilah yang digunakan oleh Barat selepas kekalahan mereka dalam Perang Salib untuk mengoyakkan persaudaraan hakiki umat Islam di bawah kepemimpinan Khilafah sehingga akhirnya runtuh pada tahun 1924. Naratif ini terus ditanam oleh penjajah sehingga negeri-negeri umat Islam yang dahulunya bersatu di bawah satu pemerintahan (Khilafah) kini terpecah kepada lebih 50 negara yang lemah.
Maka hari ini, kita sedang menyaksikan kesannya. Dua naratif ini telah membunuh hati nurani para penguasa Muslim dan tenteranya, sehingga mereka sanggup membiarkan saudara seakidah disembelih di hadapan mata. Malah mereka turut sama menjaga kepentingan si pembunuh dan mempertahankan sempadan jajahan mereka, hanya demi meraih keredhaan kuasa besar yang menjadi sandaran kekuasaan mereka.
Kita Perlukan Kekuatan Kuasa Besar
Oleh kerana itu, umat Islam sepatutnya faham betapa bahayanya idea nasionalisme dan konsep negara bangsa, baik dari sudut pemikiran mahupun pelaksanaannya. Kedua-duanya telah terbukti digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menghalang terbinanya kesatuan hakiki umat dan untuk mengekalkan hegemoni sistem kapitalisme di dunia, khususnya di negeri-negeri umat Islam.
Umat Islam juga perlu faham bahawa hala tuju perjuangan mereka dalam menyelesaikan konflik Palestin, khususnya dalam usaha membantu saudara Muslim di Gaza, tidak boleh hanya bersandarkan kepada semangat kemanusiaan semata-mata, walaupun segala usaha yang telah dilakukan tidaklah sia-sia. Begitu juga, masalah Palestin tidak mungkin dapat diselesaikan dengan penyelesaian-penyelesaian kabur yang ditawarkan oleh pihak tertentu, termasuklah cadangan “penyelesaian dua negara” yang pada hakikatnya tidak mungkin diterima oleh entiti Zionis, seperti yang dapat kita saksikan pada hari ini. Malah, cadangan-cadangan ini hanyalah helah untuk menjauhkan umat daripada bergerak ke arah mewujudkan solusi yang sebenar.
Lebih-lebih lagi, isu Palestin dan Gaza bukan sekadar isu kemanusiaan. Ia adalah isu politik, yang berpunca daripada keputusan-keputusan politik dan perlu ditangani melalui tindakan serta gerakan politik. Salah satu daripadanya adalah dengan memfokuskan kepada usaha meruntuhkan sempadan negara bangsa, dan mengembalikan satu kepemimpinan politik Islam iaitu sebuah kuasa besar baharu yang mampu berhadapan secara langsung (vis-à-vis) dengan kuasa besar yang selama ini menjadi pelindung kepada kekuatan entiti Zionis di Palestin.
Itulah sistem Khalifah Islam yang akan menyatukan seluruh kekuatan umat sehingga muncul sebagai sebuah negara yang mandiri dan kuat. Khilafahlah yang akan menggerakkan tentera dan persenjataan bagi membantu Gaza serta membebaskan Palestin dengan memimpin jihad fii sabilillah. Khilafahlah juga yang akan mengembalikan maruah dan kewibawaan umat Islam sebagaimana yang sepatutnya. Khilafah merupakan janji Allah dan bisyarah Rasulullah SAW yang pasti akan terlaksana.
Kemunculan Khilafah ini sangat ditakuti oleh pemerintah Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya, termasuk pemimpin Zionis yang kini sedang menghina Palestin, khususnya Gaza. Ketakutan mereka ini tergambar jelas melalui pelbagai kenyataan yang mereka lontarkan berhubung Khilafah. Malah, mereka secara terbuka menyatakan permusuhan dan menunjukkan tekad yang kuat untuk menghalang kemunculannya.
Kita masih ingat kenyataan Netanyahu pada 23 April 2025 yang menyebut: “Kami bertekad untuk membebaskan para tawanan dan kami tidak akan membiarkan wujudnya mana-mana Khilafah Islam (Kekhalifahan), sama ada di utara, di selatan mahupun di mana-mana tempat sekali pun. Jika golongan ekstremis mengalahkan kami, dunia Barat akan menjadi sasaran mereka yang seterusnya.” Apa yang dinyatakan olehnya sejajar dengan ucapan Presiden Amerika Syarikat ke-43, George W. Bush, yang jauh lebih awal pernah berkata: “Mereka berharap untuk mendirikan sebuah utopia politik yang penuh kekerasan di seluruh Timur Tengah, yang mereka namakan Kekhalifahan, di mana semua orang akan diperintah menurut ideologi kebencian mereka.”
Ketakutan ini jelas telah meresap ke dalam darah daging mereka. Inilah yang menjadi latar belakang munculnya pelbagai usaha yang dibungkus dengan slogan “perang melawan keganasan”. Mereka mencipta pelbagai drama dan naratif menyesatkan demi memburuk-burukkan politik Islam dan konsep negara Khilafah. Mereka mengangkat gagasan “Islam moderat” sebagai arus utama bagi memadamkan cita-cita umat untuk hidup di bawah naungan Khilafah sebagai institusi yang menegakkan hukum-hukum syarak.
Mereka mengerahkan seluruh kekuatan yang ada, dari aspek politik, ekonomi, budaya sehinggalah kepada media massa, demi mencapai agenda mereka. Mereka turut merangkul pelbagai pihak yang mudah digoda dengan janji-janji material dan kedudukan yang sementara, termasuk dalam kalangan para penguasa Muslim dan tokoh-tokoh umat yang dahagakan kekayaan, pangkat, dan kuasa.
Khatimah
Usaha untuk mengembalikan semula Khilafah bukanlah semudah membalikkan tapak tangan. Lebih-lebih lagi apabila sebahagian umat telah terpengaruh dengan propaganda yang menjadikan mereka alergi, bahkan tidak percaya bahawa masa depan peradaban ini terletak pada kepemimpinan politik Islam. Malah ada dalam kalangan mereka yang sanggup berdiri di barisan hadapan untuk menentang kebangkitan Islam. Mereka rela berpihak kepada musuh-musuh Islam dan memilih menjadi golongan munafik yang menikam umat dari belakang.
Namun begitu, inilah tugas besar kita sebagai sebahagian daripada umat yang telah sedar. Kita memikul tanggungjawab untuk menyedarkan umat bahawa selain merupakan satu keperluan mendesak, hidup berlandaskan Islam adalah tuntutan dan akibat daripada keimanan. Usaha menyedarkan inilah yang disebut sebagai dakwah. Namun, tentu saja ia bukan sebarang dakwah, sebaliknya dakwah yang menjurus kepada penerapan Islam secara menyeluruh (kaffah) di bawah naungan Khilafah Islamiyyah.
Dakwah seperti ini tidak mungkin dilakukan secara bersendirian. Ia menuntut kita untuk bergabung bersama sebuah gerakan yang benar-benar ikhlas berjuang demi kemuliaan Islam, serta berlandaskan manhaj dakwah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Gerakan ini adalah sebuah gerakan politik yang berideologi Islam, yang bergerak melampaui sempadan negara dan kebangsaan, serta istiqamah berjuang atas dasar dan hukum-hukum Islam, demi merealisasikan kepimpinan Islam tanpa jalan kekerasan.Wallahu a‘lam.
Sumber: https://muslimahnews.net
#GlobalMarchToGaza #ArmiesToGaza #FreePalestineWithJihadAndKhilafah #SpeakUpForPalestine #KesatuanUmat #ThePowerOfUmmah