[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 8)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Nilai kerohanian (kimah ruhiyah) yang dikehendaki oleh pelaku dengan aktivitinya adalah kesedaran seorang muslim untuk meningkatkan hubungannya dengan Allah SWT ketika dia melaksanakan suatu aktiviti. Dia menjadikan tujuan aktivitinya sebagai taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Taala. Ini kerana mendekatkan diri kepada Allah melalui aktiviti dapat meningkatkan perasaan seseorang muslim bahawa dia mempunyai hubungan dengan Allah Taala.
Dengan perasaan ini, dia akan dapat memenuhi naluri agamanya. Dia akan merasakan ketenangan dan kedamaian jiwa. Islam benar-benar telah menjelaskan aktiviti-aktiviti yang menuntut seorang muslim untuk meraih nilai kerohanian (kimah ruhiyah) dengannya. Aktiviti-aktiviti tersebut merupakan pelbagai ibadah yang mengatur hubungan seorang muslim dengan penciptanya.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 103]
Juga firman-Nya, “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.” [TMQ Al-Baqarah: 43).
Firman-Nya yang lain, “Diwajibkan atas kalian berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kalian benci. Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia sangat baik bagi kalian. …” [TMQ Al-Baqarah: 216).
Demikian pula firman-Nya, “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka…” [TMQ As-Sajdah (32): 15)
Nilai kerohanian (kimah ruhiyah) berbeza daripada nilai-nilai yang lain. Ini kerana nilai kerohanian memancar daripada aktiviti-aktiviti yang mengatur interaksi hamba dengan Tuhannya, sedangkan orang lain tidak dapat merasakan kenyataannya. Adapun nilai material (kimah madiyah), selebihnya berupa benda yang dapat dirasa dan disentuh oleh pancaindera.
Nilai kemanusiaan (kimah insaniyah) dan nilai moral (kimah khuluqiyah), keduanya mempunyai jejak yang dapat dirasakan, tetapi tidak dapat disentuh. Sementara itu, tidak ada yang dapat merasakan kesan nilai-nilai kerohanian (kimah ruhiyah) kecuali orang yang mencapainya, tetapi dia tidak dapat merasakan kesannya daripada orang lain.
Sesungguhnya syarak telah menentukan nilai yang dituntut dari setiap aktiviti. Oleh kerana itu, seorang muslim tidak dibolehkan melaksanakan suatu aktiviti untuk meraih nilai, selain nilai yang telah ditentukan oleh syarak untuk aktiviti itu. Dia tidak boleh melaksanakan solat untuk meraih nilai kemanusiaan (kimah insaniyah) atau nilai material (kimah madiyah). Dia juga tidak boleh berniaga untuk meraih nilai kerohanian (kimah ruhiyah) atau nilai moral.
Apakah hubung kait antara memenuhi pelbagai naluri dan keperluan jasmani dengan mencapai empat nilai ini iaitu nilai material, kerohanian, kemanusiaan dan moral?
Manusia melakukan pelbagai aktiviti untuk memenuhi naluri dan keperluan jasmaninya. Pada masa yang sama, manusia juga beraktiviti untuk meraih nilai tertentu daripada setiap aktiviti yang dilaksanakannya.
Penampakan daripada naluri beragama adalah perasaan manusia akan kekurangan, kelemahan, dan keperluannya pada yang lain. Seorang muslim akan selalu berusaha memenuhi naluri tersebut dengan pelbagai aktivitinya. Pemenuhan naluri beragama dapat mencapai kesempurnaan optimum apabila orang yang beraktiviti dapat meraih nilai kerohanian (kimah ruhiyah) yang dikehendakinya.
Menunaikan ibadah haji bertujuan untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT, serta agar bertambah hubungannya dengan Allah Taala. Apabila seseorang telah menunaikannya, dia benar-benar telah memenuhi naluri beragamanya, sekaligus meraih nilai kerohanian (kimah ruhiyah) secara optimum.
Apabila seseorang berniaga dan telah mendapat keuntungan, ini bermaksud dia telah meraih nilai material (kimah madiyah). Dia juga telah memenuhi naluri mempertahankan dirinya, dimana sebahagian penampakannya adalah keseronokan untuk memiliki. Apabila dia telah berkahwin dan telah memenuhi kecenderungan seksualnya yang menjadi salah satu penampakan naluri seksual, bermaksud dia telah meraih nilai moraliti, iaitu menjaga kehormatan diri (iffah) dan melindungi diri (ihshan).
Apabila seseorang rendah hati (tawaduk) kepada kedua ibu bapanya dengan penuh kasih sayang, bermaksud dia telah memuaskan naluri nau’ dan telah meraih nilai moraliti. Jika dia didorong oleh naluri seksual untuk menyelamatkan orang yang lemas kemudian dia menyelamatkannya, bermakna dia telah mencapai nilai kemanusiaan (kimah insaniyah).
Aktiviti-aktiviti yang telah ditentukan oleh syarak untuk meraih nilai kerohanian (kimah ruhiyah) adalah aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh manusia untuk memenuhi naluri beragama.
Aktiviti-aktiviti yang telah ditentukan oleh syarak untuk meraih nilai moral dan nilai kemanusiaan ialah aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh manusia untuk memenuhi naluri seksual.
Begitu juga aktiviti-aktiviti untuk meraih nilai material (kimah madiyah) telah ditentukan oleh Syarik (pembuat syariat, iaitu Allah SWT). Kemudian aktiviti-aktiviti itu dilaksanakan oleh kaum muslim untuk memenuhi naluri mempertahankan diri, serta beraneka keperluan jasmaninya.
Sesungguhnya tahap-tahap yang dilalui oleh aktiviti manusia itu dimulakan oleh naluri. Contohnya naluri mempertahankan diri. Naluri ini menuntut pemenuhan dengan salah satu penampakannya seperti suka memiliki. Kemudian manusia beraktiviti untuk memenuhi penampakan itu, seperti dengan menjadi pegawai atau pekerja yang menyebabkan dia memperolehi banyak wang. Dengan demikian, dia telah meraih nilai material (kimah madiyah).
Jadi aktiviti manusia melalui tahap berikut:
a. Naluri.
b. Penampakan atau keperluan jasmani.
c. Aktiviti untuk pemenuhan.
d. Nilai yang hendak diraih dari aktiviti.
Adapun aktiviti seorang muslim wajib melalui tahap-tahap yang tersusun seperti berikut:
a. Naluri
b. Penampakan atau keperluan jasmani.
c. Persepsi deria.
d. Berfikir sebelum beraktiviti.
e. Aktiviti pada suasana iman untuk meraih nilai yang telah ditentukan batasnya oleh syarak dari aktiviti tersebut.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #AktivitiManusia