Sebab dan Keadaan al-Mujmal
Oleh: Yahya Abdurrahman
أَسْبَابُ وَحَالَاتُ الْمُجْمَلِ
Sebuah dalil, baik ayat al-Quran atau dalil as-Sunnah, dikatakan sebagai dalil mujmal jika menunjukkan pada lebih daripada satu madlûl (makna) yang salah satunya tidak memiliki keistimewaan atas yang lainnya dan untuk diamalkan memerlukan penjelasan. Jadi dalil mujmal itu memiliki dalâlah, tetapi dalâlah-nya tidak jelas. Oleh sebab itu, perlu ada penjelasan atasnya agar ia boleh diamalkan.
Para ulama ushul telah merinci sebab-sebab dan keadaan-keadaan al-mujmal. Sebahagiannya disepakati dan sebahagiannya diperselisihkan adakah merupakan mujmal atau bukan mujmal.
Menurut Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah di dalam Taysîr al-Wushûl ilâ al-Ushûl, dengan menjelaskan (istiqrâ‘) nas-nas syar’iyyah menjadi jelas bahawa keadaan-keadaan paling menonjol dari al-mujmal itu ada tujuh keadaan, iaitu: (1) ijmâl dalam perbuatan; (2) lafaz-lafaz musytarak; (3) lafaz-lafaz murakkab; (4) kembalinya dhamîr pada lebih daripada satu arah secara setara; (5) keraguan antara al-waqfu dan al-ibtidâ‘; (6) ibhâm (ketidakjelasan) makna yang digunakan; (7) lafaz-lafaz yang dialihkan daripada hakikat lughawiyah ke hakikat syar’iyyah.
- Ijmâl dalam Perbuatan
Apa yang dimaksud dengannya adalah perbuatan Rasul SAW yang mujmal, yakni dalâlah-nya tidak jelas. Misalnya, Rasul SAW melakukan satu perbuatan di depan para Sahabat yang madlûl-nya yang dimaksudkan tidak jelas bagi mereka meski pada akhirnya menjadi jelas setelah ada penjelasan dari Rasul SAW. Misalnya, dalam hadis Zul Yadayn, bahawa Rasul SAW memberi salam setelah dua rakaat dalam solat Asar. Hal itu berkumungkinan dalâlah atas qasar solat atau lupa. Itu memerlukan penjelasan (bayân) dari Rasulullah SAW berupa jawapan beliau pada Zul Yadayn untuk menjelaskan dalâlah itu.
Abu Hurairah RA menuturkan (dalam redaksi Imam al-Bukhari):
أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ انْصَرَفَ مِنَ اثْنَتَيْنِ، فَقَالَ لَهُ ذُو اليَدَيْنِ: أَقَصُرَتِ الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللهِ، أَمْ نَسِيتَ؟ فَقَالَ: «أَصَدَقَ ذُو اليَدَيْنِ؟»، فَقَالَ النَّاسُ: نَعَمْ، فَقَامَ رَسُولُ اللهِ ﷺ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ، ثُمَّ سَلَّمَ، ثُمَّ كَبَّرَ، ثُمَّ سَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ، ثُمَّ رَفَعَ، ثُمَّ كَبَّرَ فَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ، ثُمَّ رَفَعَ
Rasulullah SAW beralih (mengucap salam) setelah dua rakaat. Lalu Zul Yadayn berkata kepada beliau, “Adakah solatnya di-qasar atau engkau lupa, ya Rasulullah?” Beliau bertanya, “Adakah Zul Yadayn benar?” Orang-orang berkata, “Benar.” Lalu Rasulullah SAW berdiri dan solat dua rakaat lainnya, kemudian salam, lalu bertakbir, kemudian sujud seperti sujud beliau atau lebih lama, kemudian beliau mengangkat (duduk), lalu bertakbir dan sujud seperti sujud beliau, kemudian duduk.” (HR al-Bukhari no. 7250, Muslim no. 573, at-Tirmidzi no. 399).
Di sini, salam Rasul SAW setelah dua rakaat itu mujmal dalâlah-nya disebabkan lupa atau sebagai qasar solat. Lalu ada penjelasan daripada beliau bahawa itu lupa, kemudian beliau melengkapi dengan dua rakaat lagi, lalu sujud dua kali sujud (sujud sahwi).
Di dalam as-Sunnah, dijelaskan beberapa kejadian seperti itu, yakni perbuatan Rasul SAW yang awalnya mujmal, lalu ada penjelasan daripada beliau.
Secara keseluruhan, yakni pada akhirnya, perbuatan-perbuatan Rasul SAW itu semuanya jelas dalâlah-nya bagi kita. Hal itu dengan adanya penjelasan dari Rasul SAW tentang dalâlah perbuatan beliau; atau dalâlah-nya menjadi jelas melalui indikasi (qarînah) yang ada, baik indikasi yang menunjukkan arah perbuatan Rasul SAW ke arah wajib, manduub atau mubah; dan indikasi yang menunjukkan adakah perbuatan itu berlaku umum untuk beliau dan kita atau hanya khusus bagi beliau dan tidak untuk kita. Pembahasan ini sudah dibahas dalam pembahasan indikasi arah perbuatan Rasul SAW.
- Lafaz Musytarak
Mujmal boleh berlaku kerana lafaz mufrad musytarak, yakni lafaz yang secara bahasa mempunyai beberapa makna, baik yang berbeza seperti lafaz al-‘ayn yang bermakna: mata air, mata, matahari, emas; lafaz al-mukhtâr dengan makna faa’il atau maf’uul; atau dengan makna berlawanan seperti lafaz al-qur`u yang bermakna haid dan suci. Ini seperti dalam firman Allah SWT:
وَٱلۡمُطَلَّقَٰتُ يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَٰثَةَ قُرُوٓءٖۚ ٢٢٨
“Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru’”. [TMQ al-Baqarah (2): 228].
Lafaz qurû‘ bermakna haid dan suci sehingga bersifat mujmal. Dengan adanya indikasi (qarînah) menjadi jelas bahawa yang râjih (kuat) adalah makna haid.
- Lafaz Murakkab (Tarkîb)
Mujmal juga boleh berlaku pada lafaz murakkab atau tarkîb. Dalam hal ini, tarkiib di dalam nas memiliki lebih dari satu dalâlah yang setara. Oleh itu, perlu penjelasan (bayân) berupa indikasi yang menjelaskan atau menguatkan makna yang dimaksudkan agar ia boleh diamalkan. Contohnya dalam firman Allah SWT:
أَوۡ يَعۡفُوَاْ ٱلَّذِي بِيَدِهِۦ عُقۡدَةُ ٱلنِّكَاحِۚ ٢٣٧
“…atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah.” [TMQ al-Baqarah (2): 237].
Lafaz ( الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ ) dalâlah-nya menunjuk pada wali atau suami sehingga bersifat mujmal. Dengan adanya indikasi menjadi jelas bahawa yang râjih adalah suami.
- Kembalinya Dhamîr pada Lebih daripada Satu Secara Sama
Contohnya dalam firman Allah SWT:
… إِلَيۡهِ يَصۡعَدُ ٱلۡكَلِمُ ٱلطَّيِّبُ وَٱلۡعَمَلُ ٱلصَّٰلِحُ يَرۡفَعُهُۥۚ ١٠
“…Kepada-Nyalah akan naik perkataan-perkataan yang baik dan amal kebajikan Dia akan mengangkatnya.” [TMQ Fathir (35): 10].
Dhamîr muttashil dalam lafaz yarfa’uhu berkemungkinan kembali pada amal soleh, dengan makna, Allah menaikkan amal soleh, yakni menerimanya; atau berkemungkinan kembali pada al–kalimu ath-thayyibu, yakni bermakna bahawa amal soleh menaikan perkataan baik kepada Allah SWT.
- Keraguan Al-Waqfu dan Al-Ibtidâ‘
Misalnya, dalam firman Allah SWT:
… وَمَا يَعۡلَمُ تَأۡوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُۗ وَٱلرَّٰسِخُونَ فِي ٱلۡعِلۡمِ ٧
“…dan tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang mendalam ilmunya…” [TMQ Ali Imran (3): 7].
Bagi menentukan kedudukan al-waqfu, adakah selepas lafaz Allâh atau selepas lafaz ar-râsikhûna fî al-‘ilmi, memerlukan adanya indikasi (qarînah). Dengan indikasi yang menyertai, menjadi jelas bahawa yang râjih adalah al-waqfu itu selepas lafaz ar-râsikhûna fî al-‘ilmi. Dengan demikian, ayat ini memberikan dalâlah bahawa takwil ayat mutasyabih juga diketahui oleh ar-râsikhûna fî al-‘ilmi (ulama yang mendalam ilmunya).
- Ibhâm (Ketidakjelasan) Makna yang Digunakan
Ini seperti bahawa lafaz itu mubham (tidak jelas), tidak tertentu (ma’lûm) makna yang diinginkan pada pihak yang diseru, kecuali dengan penjelasan seperti tafsir atas lafaz tersebut atau ada indikasi lainnya. Contohnya lafaz al-kalâlah dalam firman Allah SWT surah an-Nisa’ [4]: 12 dan 176. Ini lafaz mujmal yang memerlukan penjelasan dan telah dijelaskan dalam riwayat yang ada.
- Lafaz yang Dialihkan dari Makna Bahasa (Haqîqat Lughawiyyah) ke Makna Syar’iy (Haqîqat Syar’iyyah)
Ini seperti lafaz ash-shalât, az-zakât, ash-shawm dan isim-isim syarie yang lain. Terkait isim syarie ini, tatacara baru mengenai lafaz-lafaz ini setelah dialihkan daripada makna bahasanya adalah termasuk mujmal yang memerlukan penjelasan (bayân).
Adapun dari sisi unit/satuan yang terderivasi di bawahnya atau dari sisi cakupan lafaz itu terhadap unit/satuannya, maka lafaz itu merupakan lafaz umum yang tidak memerlukan penjelasan. Contohnya sabda Rasul SAW:
«لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ إِلَّا بِطُهُورٍ»
“Solat tidak diterima kecuali dengan kesucian.” (HR. ad-Daraquthni no. 1341, at-Tirmidzi no. 1, Ibnu Khuzaimah no. 9, Ibnu Hibban no. 3366).
Solat tidak sah kecuali dengan wudhu (bersuci). Lafaz shalât[un] adalah nakirah dalam konteks penafian dan itu termasuk lafaz umum. Jadi hukum itu berlaku atas semua unitnya, yakni atas semua solat tanpa perlu penjelasan.
Adapun firman Allah SWT:
وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ ١١٠
“Tegakkanlah oleh kalian solat.” [TMQ al-Baqarah (2): 110].
Lafaz ash-shalâh di sini bersifat mujmal. Ini memerlukan penjelasan dengan ucapan atau perbuatan Rasul SAW untuk tatacara penegakan atau pelaksanaan solat itu. Tanpanya, perintah tersebut tidak dapat dilaksanakan.
Hal ini sama dengan lafaz ash-shadaqah di dalam surah at-Taubah [9] ayat 60: “Innamâ ash-shadaqah li al-fuqarâ‘i…” Lafaz ash-shadaqah, yakni zakat, di sini termasuk redaksi umum. Jadi hukumnya berlaku atas semua unit zakat baik zakat emas dan perak, zakat wang, zakat ternakan, zakat hasil pertanian dan buah-buahan, zakat perdagangan, zakat fitrah. Hal ini jelas tidak perlu penjelasan.
Namun demikian, dalam firman Allah:
وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ ١١٠
“Tunaikanlah oleh kalian zakat.” [TMQ al-Baqarah (2): 110].
Lafaz az-zakâh di sini mujmal dan perlu penjelasan tentang bagaimana diambil zakat itu baik daripada sisi jenisnya, kadarnya, waktunya, dan sebagainya.
Begitu juga lafaz al-hâj, ash-shawm dan isim syarie yang lain. Semua itu adalah lafaz mujmal yang memerlukan penjelasan tentang tatacaranya.
Inilah sebab dan keadaan paling menonjol untuk dalil al-mujmal. Dalam hal ini, dalil itu (berupa lafaz atau perbuatan) memiliki dalâlah, tetapi dalâlah-nya tidak jelas baik secara bahasa, ‘urf mahupun syarie. Untuk mengamalkannya, ia memerlukan penjelasan (bayân).
Semua dalil yang mujmal telah ada penjelasannya baik penjelasan secara jelas (sharîh) atau dalam bentuk indikasi-indikasi (qarînah) yang menyertai atau berkaitan dengannya baik di dalam al-Quran mahupun as-Sunnah. Dengan demikian semua dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah dapat difahami madlûl-nya dan dapat diamalkan.
WalLâh a’lam wa ahkam.
#mujmal #dalil #perbuatannabi