Hati dan Tubuh Kita Perlu Keseimbangan
Seperti dalam artikel sebelum ini, kata Ibn al-Qayyim al-Jauziyah, hati adalah seperti jasad. Pengambilan makanan dan minuman yang diperlukan juga mestilah sesuai dan seimbang. Jika tidak, ia boleh menimbulkan masalah dan membawa kepada penyakit. Hati juga begitu.
Sebagai contoh, tubuh memerlukan garam, namun jika diambil secara berlebihan, ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, serangan jantung, dan kerosakan buah pinggang. Begitu juga dengan gula, ia diperlukan oleh hati, tetapi jika berlebihan, boleh mengakibatkan penyakit diabetes. Buah-buahan juga sama; bagi individu yang mengalami masalah penghadaman, buah seperti oren yang kaya dengan vitamin C boleh mengganggu perut, terutamanya jika dimakan ketika perut kosong.
Hati juga begitu. Seseorang yang hatinya keras perlu dirawat agar menjadi lembut. Walaupun seseorang itu memiliki banyak ilmu, tidak semestinya semua ilmu tersebut sesuai atau diperlukan oleh hatinya. Sebagai contoh, ilmu fikih, pemikiran, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kerana ilmu diperlukan adalah ilmu yang boleh melembutkan hatinya. Dalam hal ini, ilmu yang sesuai adalah ilmu tauhid, akhlak, adab dan tasawuf, termasuk juga bahasa (lughah), kerana semua ini berkaitan dengan rasa (dzauq).
Namun, jika hatinya lembut tetapi pemikirannya lemah, tumpul dan tidak tajam, walaupun dia memiliki ilmu tauhid, akhlak dan adab yang baik, termasuklah ibadahnya, itu belum tentu merupakan ilmu yang benar-benar diperlukan oleh dirinya. Ini kerana, apa yang diperlukan oleh dirinya ketika itu adalah ilmu yang mampu menajamkan pemikirannya, seperti fikih, ilmu pemikiran dan sebagainya.
Kerana itu, perhatikan sabda Nabi SAW:
هلاك أمتي: عالم فاجر وعابد جاهل
“Umatku binasa: orang yang alim tetapi durjana, dan ahli ibadah tetapi bodoh.” (HR. at-Thabrani)
Orang yang alim tetapi durjana mungkin seorang ahli fikh, namun hatinya keras. Ilmunya tidak mampu menyembuhkan penyakit dalam hatinya, lalu dia menjadi orang yang durjana. Sebaliknya, ada pula ahli ibadah yang hatinya lembut, namun jahil kerana tidak menguasai ilmu fikh.
Hal ini turut ditegaskan oleh Imam al-Syafie
فقيهاً وصوفياً فكن ليسَ واحداً
فَإني وَحَقِّ اللَّهِ إيَّاكَ أَنْصَحُ
فذلك قاسٍ، لم يذق قلبه تقىْ
وهذا جَهولٌ، كَيفَ ذو الجَهلِ يَصلُحُ؟
Jadilah seorang yang menguasai ilmu fiqah dan juga seorang sufi; jangan hanya menjadi salah satu daripadanya. Demi Allah, aku menasihati kamu. Yang satu ini (ahli fikh) hatinya keras, tidak merasai kenikmatan takwa. Manakala yang satu lagi (sufi) pula jahil. Bagaimanakah mungkin seorang yang jahil itu boleh menjadi baik?
Sumber: https://www.instagram.com/reel/DK0dygpTNLs/?igsh=MXM0cGU4dnZndWo1OQ%3D%3D
#KeseimbanganTubuh #JasadManusia #hatimanusia #HatiKeras