[Mafahim Islamiyyah] Keperibadian (Bahagian 3/9)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Pola sikap adalah metode manusia dalam mengikat dorongan-dorongan pemenuhan dengan pemahaman-pemahaman (mafahim). Pemahaman ini dikembalikan kepada pemikiran-pemikiran khas yang memancar dari sudut pandang yang khas atau yang tidak khas tentang kehidupan.
Apabila pemahaman-pemahaman itu memancar daripada akidah Islamiyah, pola sikap itu adalah pola sikap Islam. Apabila pemahaman-pemahaman itu memancar daripada akidah komunisme atau kapitalisme, pola sikap itu adalah pola sikap komunisme atau pola sikap kapitalistik. Apabila pemahaman-pemahaman itu memancar daripada pelbagai kaedah, pola sikap itu menjadi pola sikap yang kacau.
Pola sikap adalah sesuatu yang menjadikan manusia terdorong melaksanakan atau berpaling daripada melaksanakan suatu aktiviti. Dengan demikian, pola sikap adalah sesuatu yang menjadi pemutus bagi dorongan-dorongan berbagai naluri dan keperluan jasmani.
Sebelum khamar diharamkan, orang muslim sempat meminumnya. Ini kerana pemahaman sebelumnya, khamar adalah mubah (harus). Kemudian turunlah firman Allah SWT, “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran arak dan judi itu, serta mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, berhentilah (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu).” [TMQ Al-Maidah (5): 91].
Ketika mereka mendengar ayat itu, mereka berkata, “Kami benar-benar berhenti.” Mereka menuju khamar yang dimilikinya, lalu menumpahkan semuanya di jalan-jalan Madinah. Setelah itu mereka berhenti minum khamar.
Jadi, mengubah pemahaman tentang khamar telah mengubah kecenderungan manusia terhadap khamar. Kecenderungan yang baru sebagai buah dari mengikat dorongan-dorongan dengan pemahaman adalah pola sikap.
Pemahaman-pemahaman Islami telah datang untuk mengubah kecenderungan orang Arab, serta mengubahnya dari awal. Sirah telah meriwayatkan kepada kita tentang kisah dua bersaudara. Seorang daripada mereka memeluk Islam, yakni Muhayyishah ibnu Mas’ud. Lagi seorang tetap dalam kekufurannya. Dia adalah Huwaishah ibnu Mas’ud.
Pada suatu hari, Rasulullah SAW memerintahkan Muhayyishah agar membunuh Ka’ab ibnu Yahudza, yakni salah seorang dari pemimpin Bani Quraidzah. Muhayyishah berjaya membunuhnya. Kemudian saudaranya yang kafir datang kepadanya dan mencercanya, “Adakah benar engkau telah membunuh Ka’ab ibnu Yahudza? Ingatlah, demi Allah, sesungguhnya banyak sekali daging yang tumbuh dalam perutmu dari harta Ka’ab. Sesungguhnya engkau sangat tercela, hai Muhayyishah!” Muhayyishah lalu menjawab, “Sungguh, Rasulullah SAW telah menyuruhku untuk membunuhnya, seandainya dia menyuruhku untuk membunuhmu, nescaya aku pun akan membunuhmu.” Huwaishah berkata, “Demi Allah, sesungguhnya agama yang dapat menjadikan engkau bersikap seperti itu adalah sangat mengagumkan.” Akhirnya Huwayyisha memeluk Islam.
Jadi, pola fikir saudara kandungnya yang muslim dapat mengikat dorongan-dorongannya dengan pemahaman-pemahamannya. Ini menjadikan kecenderungannya sesuai dengan hukum-hukum syarak, bukan sesuai dengan naluri-naluri dan kemaslahatannya. Pola fikir seperti itulah yang menjadikannya berkata kepada saudara kandungnya yang kafir, “Sungguh, Rasulullah SAW telah menyuruhku untuk membunuhnya, seandainya dia menyuruhku untuk membunuhmu, nescaya aku akan membunuhmu.” Pola fikir yang benar ini merupakan hasil bentukan Islam. Pemikiran ini telah menjadikan saudara kandungnya yang kafir memaklumkan keislamannya.
Keperibadian, Pola Fikir, dan Pola Sikap
Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah sempurna iman salah seorang daripada kalian sebelum aku menjadi fokus pemikirannya di mana dia selalu berfikir.”
Juga sabda Nabi, “Tidak sempurna iman salah seorang daripada kalian sebelum hawa nafsunya mengikuti agama yang aku bawa.”
Pola fikir adalah metode (kaifiah) seseorang dalam memahami sesuatu atau memikirkan sesuatu yang didasarkan pada asas tertentu. Juga diertikan sebagai metode dimana manusia mengikat realiti dengan informasi-informasi, iaitu dengan menstandardkan informasi-informasi itu kepada satu kaedah atau kaedah-kaedah tertentu.
Pola sikap ialah metode manusia mengikat dorongan-dorongan pemenuhan berbagai naluri serta keperluan jasmaninya dengan pemahamannya. Dengan kata lain, pola sikap ialah kecenderungan sebagai konsekuensi dari pengikatan pemahaman dengan berbagai dorongan (dawâfi).
Jadi, apa yang mengikat antara pola sikap dan pola fikir? Sesungguhnya perkara alami pada diri manusia adalah memikirkan segala sesuatu (benda-benda) dan perbuatan. Kemudian Dia menghukumi semuanya dengan menstandardkan kepada kaedah tertentu, seperti akidah yang dia yakini.
Daripada proses berfikir itu, manusia menghasilkan pemahaman, yakni pemikiran-pemikirannya yang memiliki penunjukan-penunjukan dalam realiti. Penunjukan-penunjukan tersebut terjadi melalui indera atau tergambarkan oleh benak. Kemudian benak menetapkan penunjukan-penunjukannya seperti realiti yang terindera.
Kemudian pemahaman ini mempengaruhi dorongan-dorongan pemenuhan serta menundukkannya. Dengan demikian, manusia ini memiliki kecenderungan untuk memenuhinya sebagai hasil daripada mengikat pemahaman dengan dorongan-dorongan. Ketika itu terjadilah pengikatan antara pola fikir manusia dan pola sikapnya. Ini kerana pemahamannya yang terbentuk melalui pemikiran tentang realiti, iaitu pola fikirnya, menjadi hukum pada kecenderungannya. Ini sebagai hasil dari mengikat pemahaman dengan dorongan-dorongan (pola sikapnya).
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#Mafahim #PolaFikir #PolaSikap #SyaksiyahIslamiyah #KeperibadianIslam