RUMAHTANGGA: SYURGA ATAU NERAKA
Statistik kes keganasan rumahtangga yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan iaitu 7,116 kes tahun 2024 berbanding 5,507 kes pada 2023. Malah kes keganasan rumahtangga bagi tahun 2025 terus berlaku walau pun banyak intervensi yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Tidak hairanlah jika berita tentang keganasan rumahtangga dalam masyarakat tetap disajikan kepada kita.
Malah, baru-baru ini Malaysia juga dikejutkan dengan berita berkaitan seorang wanita maut akibat dikelar suaminya dengan menggunakan senjata tajam. Bukan sekadar membunuh isterinya, namun dengan serakah amarahnya, sang suami juga telah merosakkan harta benda isteri dan keluarga isterinya. Terdapat juga berita di mana isteri yang didera oleh suami sejak tahun 2022, tetapi baru sekarang memberanikan diri melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
Apakah yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini? Adakah rumahtangga yang dibina perlu berakhir dengan satu tragedi berdarah atau satu episod hitam yang tiada penghujungnya? Episod penderaan yang dihadapi oleh sang isteri ini boleh kita gambarkan seperti derita bersama jeritan tanpa suara. Kesakitan yang dilalui oleh mereka akhirnya tidak disuarakan kepada sesiapa.
Pendekatan yang diambil oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menangani kes-kes keganasan rumahtangga adalah dengan kerjasama strategik agensi kerajaan serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) melalui penubuhan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JKRT). Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) serta perundangan lain yang berkaitan akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan kawalan dan tindakan perundangan ditambah baik. Namun begitu, keganasan rumahtangga tetap berlaku, malah makin meningkat. Di mana lagi silapnya?
Semua memahami bahawa rumahtangga merupakan penyatuan dua insan yang berjanji untuk menjalani kehidupan suami dan isteri bersama. Rumahku syurgaku serta rumahtangga yang mawaddah, wa rahmah dan sakinah itulah yang selalu menjadi impian mereka yang mendirikan rumahtangga. Setiap rumahtangga yang inginkan bahagia sehingga ke penghujungnya seharusnya menjadikan syariat islam sebagai panduan. Sudah pasti pelayaran rumahtangga lebih bahagia tanpa sebarang cetusan bencana yang berakhir dengan derita. Ini kerana suami dan isteri mempunyai tanggungjawab dan hak masing-masing yang perlu dipenuhi.
Sang suami merupakan pemimpin bagi sang isteri sepertimana yang tercatat dalam al-Quran,
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.” [TMQ an-Nisa‘ (4): 34].
Kepimpinan suami adalah yang bersifat mengatur dan melayani (ri’ayah), bukan kepemimpinan diktator seperti seorang penguasa yang selalu menggunakan pendekatan kekuasaan.
Sudah pasti Rasulullah SAW itulah yang menjadi rujukan kita dalam kehidupan berumahtangga. Baginda sentiasa memperlakukan isteri-isterinya dengan baik layaknya layanan persahabatan. Ingatlah pesan Rasulullah SAW,
“Yang terbaik di antara kamu adalah orang yang paling baik perlakuannya kepada keluarganya. Aku adalah yang terbaik di antara kamu dalam memperlakukan keluargaku.” [HR at-Tirmidzi].
Islam juga turut memberikan penyelesaian kepada pernikahan yang sudah tidak dapat dipertahankan akibat berlaku perkara-perkara seperti tiada persefahaman ataupun berlakunya keganasan rumahtangga. Islam memberikan hak kepada si isteri untuk memohon fasakh bagi meleraikan ikatan pernikahan. Allah SWT berfirman,
“Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya, maka kirimlah seorang hakam daripada keluarga lelaki dan seorang hakam daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang hakam itu berkeinginan mewujudkan perdamaian, nescaya Allah SWT akan memberi taufik kepada suami isteri itu” [TMQ an-Nisa’ (4): 35].
Maka derita isteri sebenarnya ada penyelesaiannya dalam Islam. Bukanlah hanya menahan derita seperti hidup dalam ‘neraka’ rumahtangga dengan menjadi mangsa dera sampai ada yang akhirnya hilang nyawa.
Kesimpulannya, institusi keluarga yang terbina di atas syariah Islam akan benar-benar mampu mewujudkan ketenangan, ketenteraman dan keadilan. Suami isteri hidup berdampingan saling mencintai dan membina, serta melayari bahtera keluarga selayaknya dua orang sahabat sejati yang selalu berkongsi suka dan duka. Maka rumahtangga pastinya menjadi syurga dunia yang sering menjadi impian bersama.
Aeni@Ainul Amali
(Lajnah I’lamiyyah MHTM)
Rujukan berita:
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2409103
#StopDomesticViolence