SIS: Keputusan Mahkamah Tidak Memihak Kepada Islam
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Dakwah Muslimah, Ustazah Ummu Maryam mengatakan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada Sisters in Islam (SIS) adalah keputusan yang tidak memihak kepada Islam kerana asas undang-undang negara bukanlah daripada Islam.
“Keputusan mahkamah ini bukanlah satu keputusan yang memihak kepada Islam. Macam mana nak memihak kepada Islam kalau asasnya pun bukan daripada Islam,” katanya dalam Siri Cakna Umat bertajuk SIS vs Fatwa: Adakah Islam Boleh Menang?, Ahad (22/6/2025).
Beliau menjelaskan demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014, yang mengisytiharkan Sisters in Islam sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam, adalah sah namun tidak boleh dikuatkuasakan ke atas SIS Forum sebagai sebuah organisasi kerana ia tidak mempunyai keupayaan untuk menganut atau mengakui sesuatu agama.
“Sisters in Islam ini adalah organisasi yang memperjuangkan emansipasi wanita, memperjuangkan hak-hak wanita. Mereka mendaftar SIS ini secara rasmi sebagai NGO (Non Governmental Organization) pada tahun 1993 di bawah nama SIS Forum (Malaysia) Berhad. Bila kita nampak perkataan Berhad, maknanya dia adalah sebuah syarikat yang berdaftar,” ujarnya.
Beliau menerangkan, SIS menganggap bahawa mereka adalah penyelamat dan penyelesai masalah ketidakadilan terhadap wanita sekaligus menjadi suara bagi pihak wanita yang tertindas. Mereka pernah mempertikaikan hukum pembahagian harta dalam Islam yang dikatakan tidak adil terhadap terhadap wanita. Mereka juga mempertikaikan peraturan yang melarang wanita menyertai Pertandingan Ratu Cantik sedangkan lelaki boleh menyertai pertandingan bina badan padahal kedua-dua pertandingan itu tidak syarie.
Ustazah menyatakan bahawa cara mereka mengupas kesalahan implementasi hukum atau peraturan itu, dari sudut pandang liberal. Mereka tidak melihat apakah hukumnya dalam Islam dan , bagaimana pelaksanaannya. Mereka tidak melihat dari segi nas. Mereka banyak membincangkannya dengan semata-mata menggunakan akal.
Lanjutnya, SIS sangat agresif dalam menyampaikan pandangan mereka walaupun bertentangan dengan Islam kerana kebanyakan ahli mereka mempunyai latar belakang profesional.
“Kalau kita melihat kepada argumen-argumen, persoalan- persoalan yang mereka utarakan itu, kita memang boleh nampak basic kepada soalan mereka atau pun kenyataan mereka itu bukan berdasarkan kepada nas Islam, tetapi berdasarkan pandangan akal mereka,” ujarnya.
Beliau memandang bahawa SIS berani memperjuangkan fahaman liberal mereka walaupun jelas bertentangan dengan Islam kerana fahaman liberal ini berasal daripada negara-negara Barat iaitu negara-negara adidaya zaman kini.
“Semoga keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan ini membuka mata kita tentang betapa kritikalnya keadaan Islam pada hari ini dan pentingnya untuk kita membuat perubahan. Islam itu tinggi, tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam. Mustahillah Islam itu di bawah Perlembagaan. Sepatutnya Islam itu lebih tinggi daripada Perlembagaan,” tegasnya.
Beliau mengakhiri dengan menyeru umat Islam untuk memohon taufiq dan hidayah daripada Allah untuk bersama-sama memperjuangkan Islam.
“Kalau kita tengok Sisters in Islam yang asasnya bukan Islam pun, mereka bersungguh-sungguh memperjuangkan pemikiran mereka. Kenapa tidak umat Islam? Kenapa tidak kita yang nak memperjuangkan Islam?,” simpulnya.