Pengajaran Terpenting Daripada Hijrah Rasulullah SAW Adalah Politik
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Dakwah Muslimah, Ustazah Husna mengatakan bahawa politik merupakan pengajaran yang terpenting dalam memahami peristiwa hijrah Rasulullah SAW.
“Bila kita dapat menelusuri sejarah Rasulullah SAW daripada Mekah ke Madinah, apa yang dilakukan Rasulullah itu, itu merupakan satu politik Islam yang kita, tidak boleh tidak, kena pelajari dan fahami,” katanya dalam Kelas Kesempurnaan Islam bertajuk Hijrah: Syurga Untukmu, Ummati Ummati Ummati, Sabtu (21/6/2025).
Beliau menjelaskan, makna khusus hijrah adalah keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam. Darul Kufur adalah wilayah yang tidak menerapkan syariat Islam dan keamanannya bukan berada pada tangan kaum Muslimin. Sedangkan Darul Islam adalah sebuah wilayah yang menerapkan syariat Islam secara keseluruhan dan keamanannya berada pada tangan kaum Muslimin.
“Kita boleh bayangkan Darul Kufur itu ketika baginda berada di Kota Mekah. Kemudian Darul Islam itu ketika baginda telah berhijrah ke Madinah,” jelasnya.
Daripada peristiwa hijrah, beliau menerangkan banyak perkara penting telah berlaku. Yang paling penting adalah hukum Allah SWT dapat diterapkan secara keseluruhan daripada aspek ibadah sehingga ekonomi dan pendidikan.
“Melalui peristiwa hijrah bagindalah, maka hukum Allah dapat diterapkan secara kaffah, secara sempurna, dan secara menyeluruh,” ujarnya.
Sambungnya, hijrah Rasulullah SAW telah menukar tonggak kepimpinan dunia daripada kekuasaan Rom dan Parsi kepada Islam sehingga agama Allah SWT telah zahir di atas agama-agama lain.
“Islam itu bangkit, tertegak di atas muka bumi ini. Kemudian Islam berkembang dan menguasai dua pertiga dunia selama lebih 1300 tahun,” lanjutnya.
Jelasnya lagi, hijrah Rasulullah SAW juga telah menyebabkan manusia berbondong-bondong masuk Islam dan keluar dari kegelapan menuju cahaya kebenaran.
“Islam ketika itu menjadi rahmatan lil ‘alamin, keberkatan kepada seluruh alam. Bukan setakat kepada manusia, tetapi juga makhluk-makhluk yang lain mendapat keberkatan, keselamatan,” ungkapnya.
Kemudian, beliau mengajak peserta untuk meneladani hijrah Rasulullah SAW dalam kehidupan hari ini.
“Kita, tidak boleh tidak, wajib mengikut politik hijrah baginda. Daripada situ, kita dapat mencontohi apa yang telah baginda lakukan dalam proses penegakan syariah Allah SWT,” tuturnya.
Kemudian, umat Islam juga perlu memahami perjuangan Rasulullah SAW daripada awal sehinggalah Allah SWT perintahkan baginda untuk berhijrah.
“Politik hijrah itu juga wajib kita fahami supaya kita sama-sama berjuang. Kita kena mencontohi jalan yang ditunjukkan itu sampailah kebangkitan Daulah di Madinah,” tegasnya.
Beliau menambah, Rasulullah SAW telah menunjukkan bagaimana Islam dapat diterapkan dengan keseluruhan iaitu dengan tertegaknya Daulah Islam, maka umat Islam wajib melaksanakannya juga.
“Bila kita telah memahami, maka kita memang wajib melaksanakannya. Rasulullah SAW telah menunjukkan cara yang terbaik untuk menerapkan semua syariat Islam dalam pemerintahan sebuah negara melalui penubuhan Daulah Islam,” tambahnya.
Beliau menyatakan, setelah peristiwa hijrah berlaku, semua kebaikan hadir kepada seluruh manusia serta melahirkan kekuatan dan kesatuan Islam yang sebenar.
“Hijrah itu bukan sekadar cerita, bukan sekadar sejarah, tapi sebuah teladan yang wajib diikuti. Untuk itu, kita memang kena fahami politik hijrah baginda sampai kita faham dan boleh melaksanakan,” simpulnya.
#hijrah #politikhijrah