Mendidik Anak dalam Sabar
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Dalam satu episod kehidupan seorang ayah dan anak telah tertulis dalam al-Quran, dialog yang sangat mendalam memancarkan sinar ketaatan secara total kepada mereka berdua. Mereka adalah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang diabadikan dalam surah Ash-Shaffat [37]: 102
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang yang sabar”.
Sesungguhnya Ismail adalah contoh kesabaran dan ketaatan yang sempurna. Tidak ada penolakan sedikit pun dalam dirinya apabila dia mengetahui bahawa apa yang diungkapkan oleh ayahya adalah perintah Rabbnya, walaupun dia perlu mengorbankan nyawanya. Inilah tahap pengorbanan tertinggi dan kemuncak kesabaran bagi seorang anak.
Jika Ismail berdegil bertanya kepada ayahnya, “Wahai ayah, kenapa aku yang mesti disembelih, kenapa anak yang engkau tunggu-tunggu selama ini untuk dilahirkan, kini Allah perintahkan engkau untuk menyembelihnya kemudian engkau sanggup melakukannya? Mengapa engkau tidak membantah kepada Allah? Ayah jenis apakah engkau ini?”
Namun tidak ada terdetik sedikit pun dalam hati anak remaja tersebut untuk membantah, dia mendengar dia taat. Juga tidak terfikir oleh Ismail bahawa dengan menyerahkan lehernya untuk disembelih maka Allah akan menggantikannya dengan binatang korban. Masya-Allah, Ismail benar-benar sabar dan teguh berdiri menghadapi ketaatan total kepada Allah SWT.
Begitulah tahap kesabaran yang boleh kita ambil daripada Ismail, semakin tinggi dan tinggi sehingga ke kemuncak pengorbanan nyawa. Anak-anak yang ingin kita didik dalam kesabaran adalah anak yang mampu mengharungi ujian demi ujian ketaatan dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi larangannya, fashbir shabran jamiilaa.
Kesabaran itu dibina atas keimanan yang kukuh, keimanan yang hanya mengharapkan pertemuan dengan Allah dalam ketaatan dan yakin dalam pertemuan itu Allah redha dan kita redha dengan-Nya. Maka kuatkanlah keimanan anak seteguh mungkin agar dia hanya menghadapkan wajahnya kepada Allah sahaja dalam kehidupan ini, tidak terpesona dengan dunia walau seberat apapun ujian yang akan dilaluinya.
Kesabaran juga meminta agar anak berpegang teguh pada syariat Allah dan tidak keluar walau sehelai rambut pun dalam koridor syariah walaupun berhadapan dengan tawaran harta, takhta dan wanita sehingga meninggalkan syariat, dia tidak berganjak. Maka perbanyakkan tsaqafah Islam, luaskan anak dengan hamparan hukum-hukum Allah untuk dihadam, diserap, difahami, diamalkan dan disebarkan dalam kehidupan. Anak-anak yang sabar dalam ilmu, sabar menapaki ilmu setapak demi setapak sehingga anak mencapai ketinggian pemikirannya, mampu menjawab permasalahan kehidupan dan meraih pahala dalam setiap perbuatannya.
Kesabaran juga menuntut anak untuk teguh dalam dakwah dan menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi, mengurus bumi dengan syariat sebagai khalifatul ardh (khalifah di muka bumi) walaupun terpaksa berhadapan dengan kezaliman penguasa, fitnah keji para pemimpinnya, anak-anak hadir di tengah-tengah kehidupan itu untuk menjadi generasi khairu ummah, generasi terbaik walau di mana sahaja kedudukannya, baik dia seorang doktor, jurutera, peniaga, guru, pensyarah, jururawat, dll, anak-anak aktif beraktiviti amar makruf nahi mungkar dan mengajak manusia beriman kepada Allah SWT.
Sabar adalah pilar kebahagiaan seorang hamba. Dengan kesabaran itulah seorang hamba akan terpelihara dari kemaksiatan, konsisten melaksanakan ketaatan, dan tabah dalam menghadapi berbagai macam ujian. Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, “Kedudukan sabar dalam iman seperti kepala bagi seluruh tubuh. Apabila kepala sudah terpotong maka tidak ada lagi kehidupan di dalam tubuh.” (Al Fawa’id, hal. 95)
Syeikh Muhammad bin Shalih Al ‘Utsaimin rahimahullah berkata, “Sabar adalah menguatkan diri dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, menahan diri daripada melakukan perbuatan maksiat kepada Allah, dan menjaganya dari perasaan dan sikap marah dalam menghadapi takdir Allah….” (Syarh Tsalatsatul Ushul, hal. 24)
Sumber:
Dunia Parenting
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat