[Kisah Inspirasi] Mimpi Khalifah Umar bin Abdul Aziz
Suatu hari, Abu Hazim menemui Umar bin Abdul Aziz yang ketika itu sudah menjadi khalifah. Melihat Abu Hazim, Umar bin Abdul Aziz memanggilnya. Abu Hazim pun menghampiri, lalu bertanya kepada Umar bin Abdul Aziz, “adakah engkau Amirulmukminin?” Beliau menjawab, “Ya, benar.”
Abu Hazim kemudian bertanya lagi, “Bukankah dahulu engkau merupakan gabenor kami di Madinah? Engkau menaiki kenderaan yang megah, berpakaian indah, wajahmu bersinar cerah, menikmati makanan yang lazat, tinggal di istana yang mewah, serta dikelilingi hamba-hamba sahaya yang sedia berkhidmat kepadamu. Mengapa penampilanmu berubah sebegini selepas menjadi khalifah?”
Mendengar pertanyaan itu, khalifah Umar Bin Abdul Aziz menangis, lalu berkata, “Wahai Abu Hazim, apakah pandanganmu tentang jasadku jika engkau melihatnya selepas tiga hari dimasukkan ke dalam kubur? Ketika kedua-dua mataku meleleh ke pipi, lidahku kering, perutku pecah, dan ulat memakan tubuhku. Pastinya engkau tidak akan mengenaliku lagi. Bacakan semula hadis yang pernah engkau bacakan kepadaku ketika di Madinah.”
Lalu Abu Hazim membacakan hadis Nabi Muhammad SAW “Di hadapan kalian di akhirat kelak terdapat halangan yang tinggi dan sukar, yang hanya mampu dilalui oleh orang yang kurus tubuhnya dan lemah.” [Hadis Riwayat Abu Hurairah]
Mendengarkan itu, khalifah menangis cukup lama. Kemudian beliau berkata kepada Abu Hazim, “Tidakkah patut aku menguruskan tubuhku untuk menghadapi halangan tersebut, dengan harapan aku dapat melaluinya kelak? Aku merasakan dengan ujian menjadi pemimpin umat ini, sangat sukar untuk aku terselamat.”
Setelah itu, khalifah Umar bin Abdul Aziz berbaring untuk tidur manakala orang ramai masih berbicara. Abu Hazim menegur mereka, “Rendahkanlah suara kalian! Bukankah kalian tahu malam sudah larut?” Tidak lama kemudian, Umar bin Abdul Aziz mula mengeluarkan peluh yang banyak, lalu menangis kuat sehingga teresak-esak, kemudian beliau tersenyum. Melihat keadaan itu, Abu Hazim bertanya, “Wahai Amirulmukminin, aku melihat sesuatu yang aneh berlaku padamu. Engkau menangis dengan kuat, kemudian tersenyum. Apakah yang telah berlaku?”
Khalifah Umar bin Abdul Aziz bertanya kembali, “Adakah engkau melihatnya?” Abu Hazim menjawab, “Ya, aku melihatnya, begitu juga orang-orang di sekitarmu.”
Khalifah Umar bin Abdul Aziz pun menceritakan mimpinya kepada Abu Hazim,
“Wahai Abu Hazim, ketika aku meletakkan kepala di atas bantal ini, aku tertidur dan bermimpi seolah-olah kiamat telah berlaku. Manusia berkumpul dalam 120 barisan. Daripada jumlah itu, umat Nabi Muhammad SAW menjadi majoriti dalam 80 barisan. Mereka menumpukan perhatian menunggu nama-nama yang dipanggil untuk dihisab. Tiba-tiba terdengar seruan, ‘Mana Abdullah bin Uthman Abu Bakar As-Siddiq?’ Beliau pun menjawab, lalu malaikat membawanya ke hadapan Tuhannya. Setelah dihisab, beliau disahkan selamat, dan dibawa ke arah kanan. Kemudian Umar dipanggil. Beliau juga dihisab, disahkan selamat dan dibawa ke arah kanan. Selepas itu, Uthman dipanggil. Beliau menyahut panggilan, lalu dihisab secara ringan, dan diarahkan masuk ke syurga.
Kemudian dipanggil pula Ali bin Abi Talib. Beliau juga dihisab dan diperintahkan masuk ke syurga. Apabila hampir tiba giliranku, aku merasa seperti pengsan. Kemudian dipanggil pula orang-orang yang aku tidak kenali. Akhirnya, namaku dipanggil, ‘Mana Umar bin Abdul Aziz?’ Peluhku mengalir deras. Aku disoal tentang segala perkara besar dan kecil, termasuk hukum-hukum yang pernah aku tetapkan, dan akhirnya aku diampuni. Aku pun melintasi seorang lelaki yang terbujur di jalan. Aku bertanya kepada malaikat, ‘Siapakah dia ?’ Mereka menjawab, ‘Jika engkau menyapanya dan berbicara dengannya, pasti dia akan menjawab.’
Aku menggerakkan badannya dengan kakiku. Dia membuka matanya dan mengangkat kepalanya. Aku bertanya, ‘Siapakah engkau?’ Dia membalas dengan bertanya, ‘Engkau pula siapa?’ Aku menjawab, ‘Aku Umar bin Abdul Aziz.’
Dia bertanya kembali, ‘Apa keputusan Allah terhadapmu?’ Aku menjawab, ‘Allah telah mengurniakan nikmat dan keselamatan kepadaku sebagaimana yang diberikan kepada Khulafa ar-Rasyidin.’ Lelaki itu berkata, ‘Selamat untukmu atas anugerah yang Allah tetapkan untukmu.’
Aku bertanya lagi, ‘Siapakah engkau sebenarnya?’ Dia menjawab, ‘Aku adalah Al-Hajjaj. Aku telah menghadap Allah dan aku dapati Dia amat pedih azabNya. Dia membunuhku berkali-kali sebanyak bilangan orang yang telah aku bunuh. Sekarang ini aku berada di mahkamah Allah, menunggu keputusan sebagaimana orang-orang beriman yang lain – sama ada diperintahkan ke syurga atau ke neraka.’”
Setelah mendengar cerita mimpi tersebut, Abu Hazim bersumpah bahawa beliau tidak akan mengatakan bahawa sesiapa yang mengucapkan “Laa Ilaha Illallah” sebagai penghuni neraka.[Sumber: Ibn al-Jauzi, 500 Kisah Orang Soleh Penuh Hikmah]
Pengajaran
Setiap manusia pasti akan dihisab atas setiap perbuatannya di dunia. Mimpi yang dialami oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz menjadikan beliau sangat berhati-hati dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin umat dan ketua negara. Imam Al-Ghazali pernah berkata,“Kekuasaan itu ibarat racun yang dibalut dengan madu. Tampak manis di luar, tetapi boleh merosakkan hati.”
Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menunjukkan teladan sikap yang seharusnya dimiliki oleh seorang pemimpin yang sejati iaitu melepaskan segala kemewahan demi mengurus rakyatnya. Seorang pemimpin seharusnya sentiasa merasa diawasi oleh Allah SWT, menjadi insan yang paling takut kepada Allah SWT, dan tidak menzalimi rakyat melalui dasar-dasar yang ditetapkan.
Nabi Muhammad SAW bersabda,“Sesiapa yang memimpin sepuluh orang, dia akan datang pada Hari Kiamat dengan rantai di lehernya. Keadilannya akan melepaskan rantai itu. Kezalimannya pula akan mengetatkan rantai itu.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Pemimpin yang adil dan takut kepada Allah amat sukar ditemui dalam sistem sekular kapitalis hari ini. Pemimpin yang amanah hanya akan wujud dalam sistem Islam yang menyeluruh (kaffah), kerana Islam tidak akan sesekali bersatu dengan kezaliman. Islam sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, terutamanya dalam aspek kepimpinan. “Satu hari berada di bawah kepimpinan seorang pemimpin yang adil, lebih baik daripada ibadah bersendirian selama 60 tahun.” [Hadis Riwayat al-Baihaqi]
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/06/28/37351/
#mimpi #khalifahumarabdulaziz #pemimpinadil