Ustazah Aishah: Tidak Mencontohi Panduan Al-Quran, Punca Krisis Kepimpinan Keluarga
Oleh: Rahmah
Aktivis Dakwah Muslimah Ustazah Aisyah menyatakan bahawa punca utama terjadinya krisis kepimpinan keluarga adalah kerana masyarakat tidak mencontohi model keluarga dalam al-Quran.
“Punca utama masalah kepimpinan keluarga adalah tidak mencontohi model keluarga di dalam al-Quran. Al-Quran ini adalah kita punya manual, kita punya panduan hidup, semua dah ada, dah lengkap,” ujarnya dalam slot Siri Taddabur Ayat Pilihan bertajuk ‘Meneladani Keluarga Nabi Ibrahim : Solusi Krisis Umat Masa Kini’, Sabtu (12/7/2025).
Beliau menjelaskan bahawa terdapat banyak cerita tentang model keluarga dalam al-Quran yang boleh diambil pengajaran dan ibrah, antaranya adalah cerita tentang keluarga Nabi Ibrahim yang terdapat di dalam surah an-Nahl ayat 120 hingga 123.
Menurutnya, sesebuah keluarga perlulah mempunyai visi keimanan seperti yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim AS sebagai ayah dan pemimpin keluarga. Baginda memimpin dengan iman dan membina keluarga atas dasar tauhid tanpa terikut dengan arus masyarakat.
“Sebagai ketua keluarga, seorang bapa itu perlulah menjadi model taat kepada Allah SWT. Bukanlah hanya sekadar bertanggungjawab untuk mencari nafkah, tetapi jadikanlah diri kita sebagai imam solat, sebagai pembimbing akhlak, sebagai pelindung akidah anak-anak kita,” katanya.
Beliau melanjutkan bahawa hilangnya sifat kepimpinan seseorang bapa dalam keluarga boleh terjadi akibat pengaruh sekularisme dan hedonisme.
“Kalau seorang bapa itu dah terlalu fokus kepada mencari rezeki, kepada karier, mengutamakan hobi, ini boleh mengabaikan keluarga. Pengaruh yang dikatakan pengaruh sekularisme ini maknanya berlaku pemisahan agama dalam kehidupan seharian. Bukan maksudnya dia tidak beragama dengan agama Islam tetapi dari segi praktik amalan sehari-hari dalam pekerjaannya, rutin hariannya, tidak dititikberatkan hukum-hukum syariat Islam gitu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pengaruh sekularisme akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam kehidupan berkeluarga akibat menyalahi hukum Allah SWT.
“Bila kita tinggalkan syariat dan hukum Allah, maka berlakulah kepincangan dalam hidup kita. Sebab itu kita tak boleh nak buat sesuatu di luar hukum Allah ataupun menyalahi hukum Allah. Tak boleh. Kita kena mengikut aturan Allah keseluruhannya, insya Allah hidup akan jadi lebih baik,” terangnya.
Beliau mengungkapkan penyelesaian yang mesti diupayakan bagi mengembalikan peranan sebenar seorang ayah sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Pertama, memahami peranan dan fungsi seorang ayah bukan sekadar pencari nafkah namun menjadi contoh pemimpin dan pelindung akidah keluarga.
“Dia (ayah) adalah pemimpin dalam aspek spiritual terutamanya pada keluarganyalah. Dari situ, anak-anak lelaki akan memandang beginilah rupanya peranan dan tanggungjawab seorang suami. Anak-anak perempuan juga akan belajar yang seorang ayah sepatutnya jadi pemimpin, pelindung kepada akidah keluarga, mentarbiah anak-anak, isteri, keluarga dan sebagainya,” katanya.
Kedua, menyediakan rumah sebagai markas tarbiah dan ayah sebagai rujukan keluarga.
“Buatlah sesi menasihati atau menyampaikan sedikit apa-apalah berkaitan dengan nafsiah, ayat al-Quran, hukum dan sebagainya supaya anak-anak tu dia terdidik dalam rumah sendiri yang mana kalau dapat seorang ayah itu tadi, biar anak-anaknya menjadikan dia sebagai rujukan,” ujarnya.
Ketiga, istiqamah dalam berdoa sebagai pelaburan masa depan dan memimpin keluarga dalam perjuangan dakwah membina asas masyarakat yang bertauhid.
“Doa tu sebagai pelaburan masa depan kita kena hidupkan semula. Doa yang bertujuan, bukan sekadar doa yang bersifat duniawi tetapi doa yang mencerminkan visi akhirat seperti mana doa Nabi Ibrahim AS. Selain berdoa, Nabi Ibrahim membangun masyarakat yang berteraskan tauhid, menolak sistem syirik dan sistem yang menyisihkan hukum Allah,” jelasnya.
Beliau menyimpulkan pentingnya umat Islam mencontohi dan menerapkan kisah keluarga Nabi Ibrahim AS sebagai panduan dalam menjadikan keluarga Muslim asas dalam menyemai keimanan dan tapak kepada generasi bertauhid.
“Bukan hanya kena tahu, kena meneladani, kena mengambil pelajaran dan kena praktikkan. Kita dapat lihat bagaimana contoh seorang ayah yang mendidik itu Nabi Ibrahim AS, teladan seorang isteri yang sabar iaitu Siti Hajar; bila dia ditinggalkan di kawasan yang gersang, kawasan padang pasir di mana dia hanya bersama anak. Juga sosok seorang anak yang taat iaitu Nabi Ismail AS sehingga masyarakat yang dibangunkan atas dasar tauhid dan pengorbanan,” akhirinya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#KeluargaAl-Quran #KeluargaNabiIbrahim