Strategi Membina Keluarga Dakwah – Inspirasi daripada Keluarga Abu Bakar
Oleh: Aliya Ab Aziz
Hidayah Muhammad, Aktivis Dakwah dan Jurnalis menyatakan pentingnya membentuk keluarga sebagai ejen perubahan dakwah Islam dengan mengambil inspirasi daripada kisah keluarga Abu Bakar yang mempunyai peranan tersendiri dalam menyokong dakwah Rasulullah SAW.
“Daripada keluarga Abu bakar ni, adalah teladan untuk kita tengok bagaimana support system daripada satu keluarga dapat menyumbang kepada peradaban sehingga Islam itu menjadi sebuah negara,” ujarnya dalam Siri Open Circle Sahabat Muslimah pada 28/6/2025 (Sabtu) bertajuk Apa Khabar Keluarga Muslim.
Sekurang-kurangnya terdapat tujuh strategi membina keluarga dakwah yang dapat diintisarikan daripada penyampaian beliau:
- Pendidikan Bermula daripada Rumah
Beliau mengatakan, strategi asas dalam membina keluarga dakwah ialah memastikan pendidikan Islam bermula daripada rumah, terutamanya oleh ibu sebagai pendidik pertama. Ibu digambarkan sebagai madrasah yang mendidik anak-anak dengan akidah, ibadah, dan akhlak sejak kecil.
“Didik anak dengan kefahaman Islam daripada dia kecil. Bermula dengan asas akidah. Sebab bila akidah kuat, bila asas tu kuat, maka dia akan menjadi satu bangunan yang kukuh. Kalau pokok, dia akan menjadi pokok yang kukuh, yang teguh. Jadi sebab tu kena bermula dengan asas yang kuat. Kalau anak, dengan akidahlah,” tegas beliau yang mengaitkan kekuatan asas keluarga dengan ketahanan generasi.
Beliau turut menekankan pentingnya memberi pemahaman kepada anak tentang kepentingan melakukan amar makruf nahi mungkar baik melalui penjelasan mahu pun teladan perbuatan dakwah itu sendiri.
Katanya, “Mungkin anak-anak yang masih kecil akan bertanya, “Kita nak pergi mana?”, “Kenapa kita kena tegur orang?”, “Kenapa kita tak boleh biarkan saja orang buat salah?”. Di sinilah pentingnya kita memberi kefahaman kepada mereka. Apabila kita sudah mendidik anak-anak kita, maka kita perlu fahamkan mereka bahawa dakwah adalah satu kewajipan. Dan apabila mereka mencapai usia baligh, kewajipan dakwah itu akan menjadi tanggungjawab yang terpikul di atas bahu mereka.”
- Budaya Ilmu dan Peduli Isu Umat
Lanjutnya, rumah keluarga dakwah seharusnya menjadi ruang yang hidup dengan budaya ilmu, diskusi isu umat dan kesedaran terhadap realiti umat Islam global, misalnya isu Palestin.
“Budayakan ilmu di rumah. Jadikanlah buku sebagai teman anak-anak. Bahkan, bukan untuk anak-anak saja tapi untuk kita juga. Sebab bila kita ni sebagai orang yang mengambil tugas dakwah, maka kita kena cakna isu isu umat. Kita kena tahu, supaya kita tahu macam mana Islam nak selesaikan setiap isu-isu yang berlaku,” katanya sambil menekankan bahawa kefahaman anak perlu disesuaikan dengan kemampuan usia dan tahap pemikiran mereka.
- Dakwah adalah Tanggungjawab Bersama
Beliau menjelaskan bahawa dalam keluarga dakwah, suami dan isteri bukan sahaja perlu saling menyokong dalam aspek fizikal dan emosi, malah mesti bersama memikul beban dakwah.
“Suami dan isteri tu saling menguatkan, saling menasihati dan saling mendoakan,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa setiap ahli keluarga, termasuk anak-anak yang telah baligh, harus memainkan peranan dalam amar makruf nahi mungkar, yang juga perlu berlaku dalam keluarga, sesama ahli keluarga.
- Suami sebagai Pendidik dan Pelindung
Tambahnya, peranan suami atau ayah tidak hanya terbatas kepada pemberi nafkah, tetapi juga sebagai murobbi kepada seluruh ahli keluarga. Keperluan untuk suami mendidik dan menjaga keluarganya daripada kemurkaan Allah SWT menjadi satu bebanan yang dimuliakan.
“Seorang ayah tu, tanggungjawab dia sangat besar. Bukan hanya bagi makan, tempat tinggal. Tapi Allah bagi satu beban (tanggungjawab), sebagai pendidik seisi keluarganya,” katanya yang kemudian memetik surah at-Tahrim, ayat 6 sebagai peringatan.
Beliau menambah, “Dan kalau kita tengok bila fungsi pendidikan ataupun fungsi perlindungan tadi tidak ada daripada peranan sosok seorang ayah ataupun seorang suami, itulah tadi akan (mengakibatkan) krisis berlaku.”
- Rumah sebagai Tapak Dakwah
Beliau turut menegaskan supaya ibu bapa menjadikan rumah tempat pertama untuk memulakan proses membina keluarga dakwah
“Jadikan rumah tu sebagai tempat bermulanya proses untuk membina keluarga dakwah. Rumah tu adalah satu tempat bermulanya kehidupan bagi anak anak, jadi keluarga dakwah tu juga kena bermula daripada rumah,” tegasnya.
- Menyemai Kesedaran Sistemik
Beliau memandang bahawa keluarga dakwah tidak cukup hanya ketaatan secara individu; ia perlu juga sedar akan sistem sekeliling yang tidak Islami. Maka penting untuk mendidik keluarga agar menyedari bahawa perubahan besar perlu bermula dengan kesedaran terhadap rosaknya sistem semasa.
“Tanamkan kesedaran supaya anak-anak ataupun generasi tahu sistem yang ada sekarang bukan sistem Islam dan mereka perlu mengubahnya,” katanya sambil menekankan perlunya semangat memperjuangkan Islam.
- Saling Mendoakan dan Menguatkan
Beliau turut menekankan bahawa dalam menghadapi pelbagai cabaran hari ini, daripada tekanan ekonomi hingga pengaruh media sosial, sangat penting suami isteri untuk saling mendukung, menguatkan dan mendoakan.
“Daripada doa yang kita baca itu (Surah Al Furqan ayat 74), ada dua perkara, pertama, pasangan dan anak-anak yang menjadi qurrata a’yun; dan kedua, terbentuknya sebuah keluarga yang dibina untuk menjadi keluarga dakwah adalah untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Jadi, ia bukan sekadar minta doa, tetapi ada proses pendidikan dan usaha untuk membina keluarga dakwah itu sendiri,” tegasnya.
Sebagai penutup, beliau mengingatkan bahawa umat Islam sudah tahu teladan keluarga dakwah itu bagaimana dengan merujuk kepada kisah keluarga para sahabat (khususnya Abu Bakar) dan sudah tahu apa caranya, apa yang perlu buat, maka umat perlu memenuhi seruan ajakan untuk berhijrah menjadi keluarga dakwah. Hal ini tidak lain kerana membina keluarga dakwah bukan hanya untuk dunia, tetapi sebagai jalan menuju syurga bersama keluarga tercinta.
“Kita nak hidup dengan keluarga kita tu di syurga kelak. Kita tak nak sorang-sorang masuk syurga. Kita nak berkumpul semula,” katanya, merujuk kepada Surah At-Thur ayat 21 sebagai inspirasi.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#KeluargaDakwah
#KeluargaAbuBakar