Mempertegas Kedudukan Qawwamah Suami/Ayah
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Suami atau ayah adalah kunci kejayaan sesebuah pasukan dalam rumah tangga. Kemampuan suami dalam memimpin isteri akan menghasilkan keharmonian dan kefungsian keluarga untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Hari ini ramai suami yang teralihkan dari qawwamah kerana mereka hanya fokus mencari rezeki dan sibuk bekerja dan melupakan fungsi pendidikan serta ketaatan keluarga. Jadi isteri atau ibu sering merasa keseorangan dalam menyelesaikan masalah keluarga dan pendidikan anak-anak.
Allah SWT mengabadikan qawwamah ayah ini dalam Surah An-Nisaa’ ayat: 34
اَلرِّجَالُ قَوَّامُوۡنَ عَلَى النِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ اللّٰهُ بَعۡضَهُمۡ عَلٰى بَعۡضٍ وَّبِمَاۤ اَنۡفَقُوۡا مِنۡ اَمۡوَالِهِمۡ ؕ فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلۡغَيۡبِ بِمَا حَفِظَ اللّٰهُ ؕ وَالّٰتِىۡ تَخَافُوۡنَ نُشُوۡزَهُنَّ فَعِظُوۡهُنَّ وَاهۡجُرُوۡهُنَّ فِى الۡمَضَاجِعِ وَاضۡرِبُوۡهُنَّ ۚ فَاِنۡ اَطَعۡنَكُمۡ فَلَا تَبۡغُوۡا عَلَيۡهِنَّ سَبِيۡلًا ؕاِنَّ اللّٰهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيۡرًا
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Rujukan: Surah.my)
Abu Ja’far At-Tabari menjelaskan bahawa qawwamah yang dimaksud dalam Surah An-Nisaa’ ayat 34 adalah lelaki yang memimpin dan mendidik perempuan, dan memberi hukuman jika melanggar, kerana Allah telah mengutamakan dirinya daripada yang lain, dan mereka telah berkewajipan membiayai, oleh sebab itu lelaki menjadi pemimpin bagi mereka. Dan seorang perempuan wajib mentaati apa yang diperintahkan oleh suaminya, jika seorang isteri melanggar perintahnya maka seorang suami boleh memukulnya dengan sesuatu yang tidak berbahaya sebagai pengajaran kepadanya.
Kepimpinan adalah tanggungjawab dan pengawasan terhadap apa yang dipimpin. Maka terdapat dua perkara yang diketengahkan dalam ayat di atas berkenaan qawwamah seorang suami/ayah:
1. Menyediakan nafkah
Kewajipan mencari nafkah dan segala yang berkaitan dengannya ialah menyediakan pakaian, makanan dan tempat tinggal untuk keluarga. Pakaian yang mencukupi untuk menjalankan syariah menutup aurat ibu dan anak perempuan. Terlindung daripada cuaca sejuk dan panas kerana adanya tempat tinggal yang selesa. Selain itu, memberikan makanan halal dan thoyyib (baik) agar keluarga menjaga kesihatan dan dapat menjalankan aktiviti harian dengan baik.
2. Kewajipan Mendidik
Rijal berkewajipan mendidik isterinya supaya sentiasa mentaatinya atas kepimpinannya dalam rumah tangga yang akan dipertanggungjawabkannya di hadapan Allah. Tidak membenarkan isteri melakukan kemaksiatan dan merosakkan hubungan suami isteri yang mengancam sakinah. Jika isteri tidak taat maka suami mempunyai kuasa dalam ta’dib mengembalikan isteri kepada ketaatan mengikut urutan ta’dib; menasihati, jika belum taat maka pisahkan tempat tidur, jika belum taat juga maka pukullah dia.
Bagi kedua-dua qawwaah di atas, isteri wajib mentaati suami sepenuhnya kerana suami telah diberi kelebihan oleh Allah dalam wilayah tersebut. Para ulama tafsir ketika menafsirkan perkataan قوامون antara lain seperti berikut:
1. Dia yang mengurusnya.
2. Dia yang mengendalikan semua urusan dan keperluan.
3. Dia yang menjaganya.
4. Dia yang mendidik.
Qawwamah ini menuntut suami atau ayah agar mempunyai wawasan, tsaqafah Islam, penguasaan strategi dan kemahiran serta pengurusan kepimpinan, kerana dalam nafkah dan mendidik memerlukan semua itu supaya suami atau ayah mempunyai kebolehan untuk mengurus dan mencari penyelesaian kepada setiap masalah dalam rumah tangga.
Kemahiran qawwamah seorang suami atau ayah memerlukannya mempunyai perancangan yang teliti, seterusnya mengaturnya dengan baik agar aspek nafkah dan pendidikan berjalan sebagaimana yang sepatutnya dan isteri tidak boleh nusyuz. Langkah seterusnya memerlukan suami mengambil tindakan sebenar terhadap apa yang telah dirancang dengan sungguh-sungguh dan serius. Dan tidak kurang pentingnya ialah mengawal perjalanan qawwamah suami terhadap isteri.
Kemampuan ayah atau suami dalam qawwamah memerlukan dia untuk ditaati segala perintah dan larangannya. Dengan cara ini, lebih mudah bagi isteri atau ibu untuk mendidik anak-anak mereka menjadi qurrata a’yun dan imamulmuttaqien.
Wallaahu a’lam
Sumber:
Dunia Parenting
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#Suami #Ayah #Qawwam