Tukar Pemimpin Bukan Tukar Sistem Adalah Ajaran Penjajah
Oleh: Syamsiah Jamil
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakim Othman mengatakan bahawa perubahan dengan cara menukar pemimpin dan bukannya menukar sistem merupakan ajaran penjajah.
“Kita dah lama hidup dalam situasi di mana perubahan yang berlaku, yang diajar oleh penjajah kepada kita, hendaklah pertukaran orang dan pertukaran kerajaan, bukannya pertukaran sistem,” katanya dalam program Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM bertajuk Turun Anwar, Selesaikah Masalah?, Jumaat (18/7/2025)
Beliau menjelaskan bahawa umat Islam di Malaysia sudah lama terikat dengan pemikiran penjajah seperti itu.
“Terikat dari segi pemikiran, bukan terikat tangan, mulut dengan tali. Bukan. Pemikiran. Ini yang kita kata pemikiran yang terjajah. Dan umat Islam ramai yang tidak sedar perkara ini. Sebab tu tugas kita untuk menyedarkan umat Islam. Siapa yang dah sedar, kita memberikan pula kesedaran itu kepada saudara-saudara kita yang lain,”
Lanjutnya, pemikiran ini telah lama berada dalam kalangan umat Islam kerana mereka hanya mengetahui bahawa rakyat hanya boleh menukar kerajaan dengan cara pilihanraya lima tahun sekali sahaja.
“Jadi, umat Islam dah tidak terfikir, cara ni betul tak ni? Cara Rasulullah macam ni ke? Rasulullah dulu tukar kerajaan jahiliyah kepada pemerintahan Islam. Umat Islam dah tak fikir ke situ sebab istilahnya macam disihir dengan Perlembagaan sehingga pemikirannya menjadi tersihir atau terjajah,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan apa yang akan berlaku jika Perdana Menteri hari ini meletak jawatan.
“Katalah Anwar Ibrahim meletak jawatan, persoalannya adalah siapa yang akan jadi pengganti beliau. Siapa yang akan naik menjadi Perdana Menteri? Naik dengan cara macam mana pula?”, soalnya.
Beliau memandang bahawa ada kemungkinan pemimpin baharu adalah orang yang telah pernah menjadi Perdana Menteri sebelum ini atau pun orang baharu tetapi telah lama bergiat dalam politik atau parti tertentu. Ada kemungkinan juga orang yang pernah gagal sebelum ini dan kemudian berulang lagi.
“Orang desak Dr Mahathir letak jawatan, akhir sekali apabila berlaku pertukaran kuasa dua tiga kali, Mahathir naik balik. Orang yang dulu ditekan habis-habisan untuk meletak jawatan, bila dah berlaku pertukaran Perdana Menteri, naik balik orang yang dulu dah dihalau daripada jawatan dia, yang dikatakan gagal, yang dikatakan zalim, yang dikatakan pengkhianat bangsa dan sebagainya,” terangnya.
Beliau menunjukkan bahawa inilah kitaran yang berlaku di Malaysia iaitu kitaran dalam politik atau kepimpinan setiap kali berlakunya pertukaran kerajaan, sehingga boleh dikatakan sebagai Menteri Kabinet kitar semula.
“Jadi, watak-watak yang ada dalam kepimpinan di Malaysia, naik kerajaan mana sekali pun, orang yang sama, watak yang sama. Sebahagian besar merupakan watak yang sama iaitu watak politik atau wajah politik yang dikitar semula, yang dah terbukti gagal. Jadi, ini berlaku setiap kali pertukaran kerajaan,” ujarnya.
Beliau memperlihatkan situasi ini sebagai pentas pemerintahan dalam sistem demokrasi di mana para pelakon, watak dan heronya bertukar tetapi skrip, jalan cerita, pentas, peraturan dan permainannya masih sama. Maka, kesannya tetap sama.
“Isunya adalah kalau Perdana Menteri sekarang meletak jawatan, naik satu kerajaan yang lain, naik satu Perdana Menteri yang baru, kita yakin, kalau kita lihat dalam keadaan sekarang, kabinet kitar semula ini akan berulang balik. Dan yang tetap, yang tidak berubah adalah sistem. Sistemnya tidak berubah,” simpulnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/1DAy9Mbhzb/
#pemimpin #Malaysia #politikmalaysia