Penawar Masalah Pemerintahan Adalah Penerapan Sistem Berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM Ustaz Abdul Hakim Othman mengatakan bahawa penawar kepada masalah pemerintahan yang diperlukan oleh umat Islam hari ini adalah penerapan sistem berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.
“Umat Islam ini banyak masalah, ubatnya atau pun penawar kepada masalah umat Islam ni adalah al-Quran dan as-Sunnah. Ini penawarnya. Kalau kita bincang mengenai pemerintahan, kita bincang mengenai politik, maka penawarnya adalah penerapan hukum al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri. Sistem yang berdasarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah,” katanya dalam program Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM bertajuk Turun Anwar, Selesaikah Masalah?, Jumaat (18/7/2025)
Beliau menjelaskan, kalau umat Islam menurunkan Perdana Menteri sekarang dan menggantikan dengan orang baru walau seribu kali pun, tanpa menggantikan sistem yang diterapkannya, maka umat Islam akan terus berada dalam kitaran kezaliman, malapetaka dan pengkhianatan yang akan berulang-ulang.
“Kalau hanya nak menurunkan seorang manusia, gantikan dengan manusia yang lain dalam sistem yang sama, jadi umat Islam banyak membazirkan usaha, masa, tenaga ke arah tersebut. Tanpa ada apa-apa perubahan yang boleh dicapai oleh umat Islam,” ujarnya.
Lanjutnya, solusi kepada masalah umat Islam bukan sekadar perubahan wajah-wajah penguasa, tetapi perubahan sistem yang mesti berlaku serentak.
“Jadi solusinya, penguasa perlu berubah kepada penguasa yang bertaqwa, penguasa yang takutkan Allah SWT dan sistemnya juga sistem yang berdasarkan kepada apa yang Allah SWT turunkan. So, dua ni sekaligus kena berubah,” jelasnya.
Beliau memetik hadis daripada Auf bin Malik, Rasulullah SAW bersabda,
“Sebaik-baik imam (pemimpin) adalah orang yang kalian cintai dan mereka mencintai kalian, yang kalian doakan dan mereka mendoakan kalian. Sebaliknya, seburuk-buruk imam (pemimpin) adalah orang yang kalian benci dan mereka membenci kalian, yang kalian laknat dan mereka melaknat kalian.’ Dikatakan, ‘Wahai Rasulullah, tidakkah kita perangi sahaja mereka dengan pedang?’ Rasulullah menjawab, ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian’” [HR Muslim].
Walau bagaimanapun, lanjutnya, ramai orang salah faham tentang hadis ini. Salah fahamnya adalah umat Islam mesti taat kepada pemimpin walaupun pemimpin itu buruk selagi mereka menunaikan solat. Padahal maksud hadis ini adalah selama mana mereka menegakkan solat di tengah-tengah umat Islam.
“Jadi yang dimaksudkan ini bukanlah mereka solat tetapi mereka menegakkan hukum-hukum solat yang bermaksud mereka menegakkan hukum-hukum syariat Islam di tengah-tengah kalian. Selagi mana mereka menegakkan syariat di tengah-tengah, menegakkan hukum di tengah kalian, maka jangan memerangi mereka,” terangnya.
Beliau memperlihatkan bahawa Rasulullah SAW menekankan dua perkara dalam pemerintahan iaitu pemimpin yang baik dan sistem yang baik.
“Dua benda. Pemimpin pun kena baik, sistem pun kena baik. Tapi kalau sistem ini dah buruk, Islam sudah tidak ditegakkan lagi kepada kalian, kepada umat Islam, maka sudah tidak ada lagi ketaatan kepada pemimpin seumpama ini,” tegasnya.
Beliau mengingatkan, umat Islam bukan sekadar dituntut melantik pemimpin yang baik, tetapi juga mewujudkan sistem yang baik iaitu sistem yang datang daripada Islam.
“Sebab itu kita perlukan bukan sekadar pemimpinnya turun, kita nak sistemnya diturunkan. Dan sistem yang naik itu adalah sistem Khilafah,” simpulnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/1DxgbswLCY/