Cukai SST, Kapitalisme Terus Menekan Rakyat
Oleh: Aliya Ab Aziz
Dalam siri kajian muslimat Cakna Umat, Aktivis Dakwah Muslimah Puan Hazirah menyifatkan pelaksanaan cukai SST (Sales and Services Tax/Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan) 1 Julai 2025 sebagai bukti jelas sistem kapitalisme terus menekan rakyat marhaen.
“Rakyat kini berdebar bukan kerana menanti perayaan, tapi kerana takut 1 Julai, apabila skop SST dijangka melonjakkan harga barangan, termasuk barangan pilihan dan premium yang dinaikkan sehingga 10%. Seperti mana yang kita sedia tahu bila kerajaan menaikkan cukai kan sebenarnya nak tak nak memang kita sendiri pun akan terkesan dengan kenaikan harga barang bila kita tahukan sekarang ni taraf hidup memang sangat tinggi. Jadi, walaupun dengan kenaikan gaji minimum tapi bila kenaikan harga barang pun sama naik, perkara ini sebenarnya sangat menekan rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana,” ujar beliau dalam pembentangan beliau bertajuk `Ada Apa dengan 1 Julai?‘ pada Ahad (6/7/2025).
Hazirah mempersoalkan alasan tindakan kerajaan menaikkan cukai ini kononnya untuk meningkatkan hasil negara, dan memperbaiki jaringan keselamatan sosial, namun hakikatnya ia menambah beban.
“Kononnya, 1 Julai ni bukanlah `hari hitam‘, tetapi langkah berani untuk membina negara. SST yang dikemaskini ini adalah satu langkah penting untuk memastikan hasil negara dikutip secara telus dan adil, sebelum disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan subsidi bersasar. Namun, kadang kita rasa pelikkan, kenapa proses `membina negara‘ perlu dilakukan dengan mengenakan cukai yang membebankan rakyat? Adakah benar ia benar nak membina negara, atau sebenarnya hanya menambah beban kepada rakyat?” ujarnya melontarkan persoalan kepada peserta program untuk difikirkan.
Menurut Hazirah, kerajaan, atau mana-mana politikus sering menggunakan naratif seperti ini untuk meredakan kemarahan rakyat. Mereka cuba mengubah persepsi rakyat seolah-olah apabila rakyat membayar cukai, rakyat adalah salah satu penyumbang kepada pembinaan negara yang lebih maju. Ironi, hal ini seolah-olah pendapatan negara hanya bergantung pada cukai.
“Perdana Menteri menyatakan bahawa salah satu sebabnya lagi kerajaan mengenakan cukai adalah untuk menaikkan gaji penjawat awam, adakah pendapatan negara hanya bergantung kepada cukai? Baru-baru ini kita lihat subsidi ditarik sedikit demi sedikit, sementara cukai pula makin bertambah. Jadi, mengapa beban ini akhirnya diletakkan di bahu rakyat?” ujarnya mempersoalkan.
Cukai dalam Kapitalisme
Hazirah mengkritik sistem kapitalis yang menurutnya menjadikan cukai sebagai instrumen memeras rakyat demi menutup kelemahan pengurusan negara.
“Cukai dalam sistem kapitalisme ni kita tahu kan semuanya base on manfaat. Walaupun haram tapi selagi mana ada manfaatnya selagi tu akan dihalalkan. Cukai ni dikenakan tanpa mengira status ekonomi rakyat. Ia sistem yang sangat menekan. Rakyat tu kalau satu kerja tak cukup kena tambah lagi dua kerja. Bukannya nak mewah, tapi nak memenuhi keperluan, tempat tinggal, makan, anak sekolah dan benda asas pun jadi beban,” tegasnya.
Menurutnya lagi, sistem kapitalis dan dasar kewangan yang bergantung kepada hutang berfaedah (berunsur riba) adalah sistem yang salah dan tidak berpihak kepada rakyat. Ia menambah beban, bukan menyelesaikan masalah. Ini kerana, apabila negara menanggung beban hutang yang besar, dan rakyat pula dipaksa menanggung faedahnya melalui percukaian dan pengurangan subsidi. Ini bukan sahaja tidak adil, malah bercanggah dengan prinsip Islam yang menolak riba dan menuntut keadilan dalam agihan kekayaan.
“Kalau kita lihat sekarang, banyak negara, termasuk negara kita, yang berhutang dan hutangnya bukan sedikit-sedikit, tetapi berbilion-bilion jumlahnya. Sebagai contoh, Menteri Ekonomi sebelum ini, Rafizi Ramli, pernah menyatakan bahawa negara membayar sebanyak RM46.1 bilion hanya untuk faedah hutang negara. Itu baru faedah, hanya untuk riba, kalau kita boleh katakan begitu. Jadi negara membayar faedah hutang yang melibatkan komitmen sehingga 16% daripada hasil negara,“ ujarnya mencontohkan realiti semasa.
Selain itu, beliau turut mengkritik ketidakseimbangan sistem hari ini apabila pelabur asing diberikan pelbagai insentif cukai atas nama galakan ekonomi, sedangkan rakyat tempatan terus dihimpit. “Ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” ujarnya sinis.
Cukai Tidak Syarie dan Haram
Mengulas dari perspektif Islam, beliau menegaskan bahawa cukai dalam bentuk seperti SST merupakan satu bentuk pengambilan harta rakyat tanpa hak adalah sesuatu yang haram di sisi syarak. Beliau memetik sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai.” (HR Ahmad, Al-Darimi dan Abu Ubaidah)
“Kalau tak masuk syurga, tempatnya di neraka. Betapa beratnya dosa memungut cukai,” katanya serius.
Tambahnya lagi, “Pungutan cukai itu (SST) sebenarnya bukan perkara yang syarie, malah ia diharamkan dalam Islam. Jadi, jika cukai ini dihapuskan, harga barangan juga akan turun. Seterusnya, keadaan ini boleh meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik.”
Beliau turut mengingatkan bahawa, “Islam ni dia mempunyai sistem ekonomi tersendiri. Jadi dalam sirah kita tak pernah menemukan bahawa Rasulullah SAW membebankan umat dengan cukai tanpa batas. Sistem kewangan negara Islam ni dia tidak bersandar kepada cukai tetap ke atas rakyat, apatah lagi terhadap golongan fakir dan miskin. Maksudnya dalam sistem kewangan Islam, memang tak ada pun kita bersandarkan cukai”.
Menurutnya, sistem ekonomi Islam tidak menjadikan cukai tetap sebagai sumber pendapatan negara, sebaliknya bersumberkan zakat, jizyah, fai’, dan usyur. Kesemuanya dilaksanakan dengan dari jalan-jalan syarie.
Penyelesaian Islam: Negara Sejahtera Tanpa Cukai
Hazirah turut mengemukakan bukti sejarah kegemilangan pemerintahan Islam terdahulu seperti di bawah Khalifah Umar Abdul Aziz, di mana zakat gagal diagih kerana tiada lagi orang miskin yang layak menerimanya. Beliau turut memaparkan kisah era Khulafa ar-Rasyidin di bawah kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab, di mana Muaz bin Jabal yang ketika itu ditugaskan di Yaman memulangkan kutipan zakat ke Madinah kerana ‘tiada lagi penerima’.
“Umar menegur Muaz: “Aku tidak mengutusmu untuk memerah cukai, tetapi untuk mengambil zakat daripada yang kaya dan memberikannya kepada yang miskin,” ceritanya.
Dari dua kisah yang dipaparkan, beliau memaksudkan bahawa zakat ialah mekanisme pengagihan semula kekayaan, bukan sumber pendapatan negara yang boleh ditimbun sesuka hati. Ia adalah bukti kejayaan tadbir urus negara Khilafah. Hal ini berbeza dengan negara hari ini yang cenderung mewujudkan pelbagai cukai, atas alasan pembangunan negara, tetapi rakyat masih menanggung kos hidup yang tinggi.
Ujarnya lagi, “Bukan bantuan tunai atau potongan cukai yang menyelesaikan masalah. Ia perlukan perubahan sistem total.”
Beliau menegaskan bahawa solusi tuntas bukanlah sekadar menukar pemimpin dalam sistem yang rosak, tetapi menukar sistem itu sendiri.
Beliau memberikan analogi, “Ibaratnya, sistem sekarang ini seperti sebuah bas yang rosak di tengah jalan. Walaupun kita tukar pemandu sehebat mana pun, dia tetap takkan mampu membawa penumpang sampai ke destinasi dengan selamat. Melainkan bas itu sendiri yang ditukar.”
Menurut beliau, Islam menawarkan penyelesaian menyeluruh melalui sistem Khilafah sistem yang mengurus ekonomi tanpa membebankan rakyat dan memastikan agihan kekayaan yang adil. “Islam tak membiarkan harta berlegar dalam kalangan golongan elit saja,” katanya.
Menutup pembentangan, Puan Hazirah menyeru agar umat Islam melakukan muhasabah, menolak sistem yang menindas, dan memperjuangkan sistem Islam sebagai jalan penyelesaian.
“Cukai bukan kemestian. Ia adalah hasil daripada sistem yang zalim. Islam dah buktikan, negara boleh maju dan rakyat makmur tanpa cukai yang membebankan,” tegasnya.
#cukai #ekonomi #kapitalisme #sst