Peranan Bapa: Pemula Legasi Rabbani dalam Keluarga
Oleh: Rahmah
Dalam Siri Tadabbur Khas Keluarga Al-Quran, Aktivis Dakwah Muslimah Ustazah Ummu Huda menyatakan bahawa para bapa dan suami perlu meneladani peranan Imran sebagai pemula legasi rabbani dalam keluarga.
“Imran itu seorang bapa rabbani. Bapa ini sebagai penentu arah keluarga. Dia menjadi tokoh keluarga. Jadi Imran itu contoh tokoh keluarga yang bukan sekadar menunaikan nafkah, bukan hanya fikirkan material tetapi dia adalah menjadi pemula legasi rabbani dalam keluarganya untuk berusaha mendekatkan diri dan ahli keluarganya kepada Allah,” ujarnya dalam saluran FB Muslimah HTM dengan tajuk ‘Meneladani Keluarga Imran: Membina Keimanan dan Ketakwaan’, Sabtu (26/7/2025).
Menerusi tadabbur Surah Ali-Imran ayat 33 hingga 36, beliau menerangkan bahawa Imran adalah lelaki soleh, warak dan bertakwa daripada Bani Israel. Walaupun Imran bukanlah seorang Nabi dan Rasul, namun namanya diabadikan dalam al-Quran dan menjadi contoh bagi manusia agar sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Imran ini adalah tokoh keluarga. Dia adalah bapa rabbani iaitu individu yang berilmu, beramal soleh dan sentiasa berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah. Dia bukannya seorang nabi atau rasul ya. Inilah contoh Allah nak tunjukkan kepada kita supaya tidak ada alasan lagi kepada manusia itu untuk berusaha mendekatkan diri kepada Allah walaupun bukan nabi dan rasul,” ungkapnya.
Beliau melanjutkan dengan menerangkan bahawa pentingnya suami sebagai pemimpin keluarga memiliki visi yang sama seperti yang ditunjukkan oleh Imran yang sentiasa membimbing isterinya untuk berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Imran ini dia sentiasa memberi bimbingan dan sokongan kepada isterinya, visi mereka untuk melahirkan generasi yang berbakti kepada agama dan itulah yang dikatakan mereka ini keluarga rabbani. Selalu berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah,” tuturnya.
Beliau turut menceritakan bagaimana isteri Imran, Hanah pernah bernazar anak yang dikandungnya nanti akan berkhidmat di Baitul Maqdis dan sentiasa berdoa memohon perlindungan pada anak-anak keturunannya daripada gangguan syaitan.
“Dia (isteri Imran) telah bernazar untuk anak yang dalam kandungan ini akan berkhidmat di Baitul Maqdis dan ini menunjukkan Hanah ini seorang yang memang hebat, dia berusaha agar keturunannya terus bertakwa, terus mendekatkan diri kepada Allah SWT,” jelasnya.
Beliau menambahkan bahawa anak yang dilahirkan dinamakan Maryam (menurut bahasa mereka bermaksud Abid, yang menyembah Tuhan) dan telah diserahkan kepada Baitul Maqdis di bawah penjagaan Nabi Zakaria seperti mana yang telah dinazarkan.
“Dia terus menunaikan nazarnya dan serahkan kepada Baitul Maqdis di bawah penjagaan Nabi Zakaria iaitu pak ciknya sebab isteri Nabi Zakaria itu dua beradik dengan Hanah ini. Jadi dia di bawah penjagaan Nabi Zakaria dan tentulah didikannya menuju kepada Allah SWT,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Maryam adalah seorang wanita yang sabar, bertakwa dan rajin beribadah. Ketaatannya kepada Allah diuji dengan kelahiran Nabi Isa tanpa suami, namun Maryam sangat tabah dan redha dengan berserah diri sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Kita tahu Maryam inikan seorang yang rajin beribadah dan Nabi Zakaria tempatkan dia di mihrab, satu tempat khas untuk dia beribadah tapi ya dia diuji dengan kelahiran Nabi Isa tanpa suami. Bagaimana dia menghadapi semua itu? Bagaimana dia nak menghadapi masyarakat? Tapi dia tetap tabah, dia tetap redha dan berserah diri kepada Allah walau pun dia macam mengeluh jugakan, tapi dia mendiamkan diri dan Nabi Isa mensucikan, membersihkan fitnah-fitnah yang dikatakan kepada dia sehingga Rasul SAW ada bersabda bahawa Maryam inikan antara wanita penghulu ahli syurga,” terangnya.
Beliau menyimpulkan pentingnya meneladani model keluarga dalam al-Quran seperti keluarga Imran agar keluarga Muslim berjaya mengangkat kembali kegemilangan Islam sebagai peradaban unggul.
“Keluarga adalah pelaburan terbesar untuk kehidupan abadi, kerana anak-anak akan meneruskan tsaqafah Islam untuk melahirkan peradaban Islam yang unggul yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat” akhirinya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/16knck5amN/
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat