MENYAYANGI ISTERI
Oleh: Arief B. Iskandar
Selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah dan berzikir di surau sebelah rumahnya, ustaz muda yang juga aktivis dakwah itu kelihatan termenung agak lama. Dia kelihatan letih setelah seharian bekerja di rumahnya kerana ‘ditinggal’ isterinya yang hari itu juga terpaksa mengikuti kegiatan dakwah dari pagi sampai petang. Sebagai seorang ustaz, sudah tentu dia bukannya tidak faham betapa beratnya beban seorang isteri sekaligus suri rumah.
Namun, dengan melakukan sendiri semua kerja rumah hari itu, bermula dari memasak air, menyapu rumah dan halaman, mencuci pinggan mangkuk dan pakaian, memasak dan menyediakan makanan untuk anak-anaknya, memandikan mereka, menghantar mereka ke sekolah sambil menemani (kerana ada yang berada di tadika), menjaga sambil menenangkan mereka jika sesekali menangis dan buat perangai, membersihkan kotoran najis mereka ketika mereka (buang air kecil/besar) dan mengganti pakaian mereka, meleraikan mereka saat bertengkar, dsb, pekerjaan yang sangat menghabiskan tenaga.
Lebih-lebih lagi, ia dilakukan dari pagi hingga petang. Ini baru satu hari. Bagaimana jika ia perlu dilakukan setiap hari? Ia boleh menjadi tekanan! Kerana itu, ustaz muda itu semakin menyedari betapa tanpa kehadiran isteri, mengurus rumah tangga bersama empat anaknya yang masih kecil itu ternyata tidak semudah yang dibayangkan.
Sejak itu, dia juga mula menyedari, betapa dia kadang-kadang egois. Sebagai suami dan ketua rumah tangga, dia rasa dirinyalah paling penat kerana mencari nafkah, berdakwah, menjaga jemaah, dsb. Dia rasa, dialah yang paling sibuk, jadi jika isterinya kurang melayannya, sama ada kerana dianggap lambat, atau rumahnya agak bersepah, atau masakannya sedikit kurang enak, dan sebagainya, dia mudah merungut, malah mencela.
Kini, di tengah-tengah renungannya, dia sangat menyesal. Tanpa disedari, air matanya menitis membasahi pipinya. Selesai solat Maghrib, dia menyedari bahawa dia selalu tidak berlaku adil terhadap isterinya. Sejak itu, dia mula bersikap sabar dan tidak merungut lagi jika pada hematnya isterinya kurang dalam melayannya atau mengurus rumah tangganya.
Seorang suami berhak untuk menghargai, menghormati, memuliakan dan menyayangi isterinya walaupun dalam pandangannya, isterinya itu banyak kekurangan. Sebab, jika ukurannya dikembalikan kepada standard material, pekerjaan sebagai seorang suri rumah sebenarnya sangat mahal. Mengapa tidak?
Dari segi masa, jika seorang suami/ayah bekerja secara umum dari pagi hingga petang, atau paling lama dari terbit fajar hingga terbenam matahari, maka seorang isteri/ibu suri rumah, meminjam ungkapan daripada seorang ustazah, kadang-kadang bekerja jauh sebelum subuh dan hanya berhenti selepas ‘mata suami terpejam’. Kerana itu, boleh dikatakan, seorang suri rumah jauh lebih tangguh dan kuat daripada suaminya.
Dari segi material, di laman web http://www.reuters.com menyatakan bahawa setelah menjalankan tinjauan terhadap 18,000 suri rumah di Toronto, Kanada, mengenai senarai kerja rumah tangga mereka seharian (seperti memasak, membersihkan rumah, menjaga anak, mengurus keluarga, dan sebagainya), sebuah syarikat standard gaji menerangkan nilai, harga dan gaji yang sesuai untuk “kerja” suri rumah ini jika mereka digaji. Di Kanada, walaupun terdapat banyak tugas dan pekerjaan domestik, seorang suri rumah, jika dibayar dengan betul, boleh memperolehi pendapatan sebulan sebanyak $124,000.
Jika sebanyak itu yang sepatutnya diperoleh oleh seorang suri rumah, sudah tentu hanya seorang suami yang merupakan CEO sebuah syarikat besar atau sekurang-kurangnya seorang pemilik pelbagai perniagaan yang berjaya mampu membayar gaji isterinya setiap bulan. Sudah tentu jumlah ini dianggap sangat besar mengikut dari standard mana-mana negara, malah negara paling moden dan maju.
Kerana itu, “Sebuah kesalahfahaman yang sangat banyak jika pilihan seorang wanita untuk menjadi seorang suri rumah dianggap lebih mudah dan lebih ringan daripada menjadi seorang wanita yang berkerjaya . . .,” kata Lena Boltos, seorang juruukur yang melakukan tinjauan dan pengiraan tersebut (Hidayatullah.com, 30/3/2010).
Jika sebesar itu nilai “pekerjaan” sebagai seorang suri rumah, maka secara berseloroh kita boleh katakan, betapa tidak cerdasnya seorang isteri/ibu sehingga sanggup mengorbankan urusan keluarga/rumah tangganya hanya kerana sibuk bekerja dengan gaji yang pastinya tidak seberapa dibandingkan dengan jumlah di atas. Lebih kurang cerdas lagi jika seorang suami memandang rendah isterinya, tidak mahu menghargai dan memuliakannya isterinya, hanya kerana dia banyak berada rumah sekadar menjalani “pekerjaan”-nya sebagai suri rumah.
Itu dari segi material. Bagaimana jika dilihat dari perspektif Islam? Dalam pandangan Islam seorang suri rumah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua urusan keluarga/rumah tangganya kerana kedudukannya sebagai umm[un] wa rabbah al-bayt (ibu dan pengurus rumah tangga). Dia jugalah yang bertanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anaknya. Seorang penyair Arab berkata, “Al-Ummu Madrasah al-Ula, Idza A’dadtaha A’dadta Sya’ban Khayr al-‘Irq” (Seorang ibu adalah sekolah pertama bagi anaknya. Jika engkau mempersiapkan dia dengan baik maka ia sama seperti engkau mempersiapkan umat yang berakar dalam kebaikan).
Lebih dari itu, betapa mulia dan terhormatnya kedudukan seorang isteri/suri rumah digambarkan dalam hadis riwayat Anas RA berikut:
Kaum wanita pernah datang menghadap Rasulullah SAW. Mereka bertanya, “Ya Rasulullah, kaum lelaki telah pergi dengan keutamaan dan jihad di jalan Allah. Adakah amalan perbuatan untuk kami yang dapat menyamai amalan para mujahidin di jalan Allah?”
Rasulullah SAW menjawab, “Siapa sahaja di antara kalian berdiam diri di rumahnya (melayani suaminya, mendidik anak-anaknya dan mengurus rumah tangganya), sesungguhnya dia telah menyamai amalan para mujahidin di jalan Allah.” (HR al-Bazzar).
Subhanallah! Kerana itu, tidak ada alasan bagi para suami, apalagi para aktivis dakwah, untuk tidak memuliakan dan menyayangi isteri mereka, setulus hati. Jika boleh, berterima kasihlah kepadanya, setiap hari!
Wa ma tawfiqi illa billah wa ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi unib.