[Mafahim Islamiyyah] Siapakah Kaum Muslim Itu? (Bahagian 1/4)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Adakah pengikut para rasul sebelum Nabi Muhammad SAW itu tergolong dalam kalangan kaum Muslim? Adakah pengikut Nabi Ibrahim AS itu kaum Muslim? Adakah orang-orang Yahudi dan Nasrani itu juga kaum Muslim?
Kadangkala, ramai dalam kalangan kaum Muslim menganggap persoalan-persoalan ini sebagai sesuatu yang aneh. Mereka menganggapnya sebagai bentuk mencari-cari masalah atau kepandaian memutarbelitkan keadaan. Namun, rasa aneh ini pasti akan hilang apabila mereka benar-benar berfikir dan merenung tentang slogan-slogan buatan yang popular pada masa kini, khususnya di penghujung abad ke-20 Masihi. Slogan-slogan tersebut termasuklah slogan peradaban sejagat, kesatuan agama, keamanan dunia, slogan ‘anak-cucu Ibrahim’, dan pelbagai slogan lain yang seumpamanya.
Sebahagian daripada slogan-slogan ini telah diterjemahkan secara nyata dalam kurikulum pendidikan, dalam kajian-kajian ilmiah khusus untuk anak-anak kaum Muslim, dan juga dalam pelbagai seminar serta persidangan antarabangsa yang turut dihadiri oleh sebahagian ulama Islam, bersama para kardinal dan rabbi (pendeta Yahudi). Tujuannya bukan untuk mengajak mereka memeluk Islam, dan bukan juga untuk membantah mereka dengan hujah yang lebih baik sehingga mereka meninggalkan kekufuran. Sebaliknya, tujuan utamanya adalah supaya mereka meninggalkan hukum-hukum agung dalam Islam, seperti Khilafah, jihad, dan hudud. Hal ini kerana menurut sangkaan mereka, semua itu merupakan bentuk fundamentalisme dan ekstremisme.
Mereka juga berusaha untuk memasukkan pemikiran-pemikiran asing ke dalam Islam seperti demokrasi, kebebasan, dan nasionalisme. Ini kerana mereka menyangka bahawa semua itu merupakan lambang toleransi dan kemajuan. Berasaskan pemikiran sebegini, kaum Muslim dipaksa untuk menerima undang-undang asing yang diimport, dan perlu rela dengan institusi-institusi nasionalisme mereka yang lemah. Malah, mereka dituntut untuk mengakui kewujudan negara Israel di atas tanah umat Islam atas alasan bahawa orang Yahudi juga merupakan anak cucu Nabi Ibrahim dan mereka juga anak cucu bapa saudaranya.
Mereka juga perlu menerima budaya Barat serta cabang-cabangnya, seperti fahaman Barat yang bebas dan pelbagai bentuk penyelewengan lain, atas dasar bahawa ia adalah budaya sejagat. Malah, mereka perlu terima kemurtadan anak-cucu mereka yang jauh meninggalkan Islam atas nama kebebasan berakidah.
Pada akhirnya, kaum Muslim juga dipaksa untuk tidak menyifatkan golongan bukan Islam, seperti Yahudi dan Nasrani, dengan sifat kafir. Hal ini kerana mereka juga dianggap sebagai orang-orang yang beriman dan penganut agama-agama langit. Sesungguhnya, Allah SWT telah menyifatkan mereka—sebagaimana kata-kata mereka sendiri—di dalam Al-Quran sebagai orang-orang Muslim.
Adakah dakwah terakhir ini benar? Pada hari ini, siapakah kaum Muslim itu? Bagi menjawab persoalan ini, perlu kepada dua pembahasan: Pertama adalah pembahasan dari sudut etimologi. Kedua adalah pembahasan terminologi menurut syarak.
Dari sudut etimologi, lafaz aslama bermaksud tunduk. Al-Quran al-Karim telah menggunakan makna ini ketika menuturkan para pengikut Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW, iaitu mereka yang membenarkan dan mengikuti para Nabi tersebut, sebagaimana yang disampaikan melalui lisan Nabi Nuh AS.
Allah SWT berfirman, “Maka, jika kamu berpaling (daripada peringatanku), aku tidak meminta sedikit pun balasan daripadamu. Balasanku tidak lain hanyalah daripada Allah dan aku diperintahkan agar termasuk golongan orang-orang Muslim (yang berserah diri).” [TMQ Yunus (10): 72]
Melalui lisan Ibrahim dan Ismail, Allah SWT berfirman, “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Muslim (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu” [TMQ Al-Baqarah (2): 128]
Tentang kaum Luth, Allah SWT berfirman, “Maka setelah diperiksa, Kami mendapati tinggal sebuah rumah sahaja yang penduduknya adalah orang yang beriman kepad Nabi Lut AS.” [TMQ Adz-Dzâriyat (51): 36]. Juga melalui lisan Nabi Yusuf, Allah SWT berfirman, “sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh” [TMQ Yusuf (12): 101]
Melalui lisan Musa AS, Allah SWT berfirman, “Wahai kaumku! Apabila kamu beriman kepada Allah, maka bertawakallah kepada-Nya, jika betul kamu benar-benar orang Muslim (berserah diri)” [TMQ Yunus (10): 84]
Melalui lisan Sulaiman kepada Ratu Negeri Saba. Allah SWT berfirman, “Janganlah engkau berlaku sombong terhadapku, dan datanglah kepada sebagai orang-orang yang berserah diri.” [TMQ An-Naml (27): 31]
Juga melalui lisan Hawariyin, pengikut Nabi Isa, Allah SWT berfirman, “Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran mereka (kaum Yahudi), dia berkata:” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Muslim (yang berserah diri kepada Allah).’” [TMQ Ali Imran (3): 52]
Perkataan muslimun dalam ayat-ayat di atas bermaksud munqādūn, iaitu orang-orang yang tunduk dan berserah diri kepada Allah dalam segala perkara yang telah diperintahkan kepada mereka. Ini tidak bererti bahawa mereka telah memeluk Islam iaitu gama yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW kerana agama ini belum dikenali oleh mereka dan mereka juga tidak diseru kepadanya.
Setiap kaum mempunyai rasul dari kalangan mereka sendiri, yang diutus oleh Allah dengan membawa syariat yang khusus bagi mereka. Allah SWT berfirman: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” [TMQ Al-Mâidah (5): 48]
Walaupun sesungguhnya akidah itu satu, seperti difahami dari firman-Nya, “Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 163]
Setelah wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW dalam bahasa kaumnya, iaitu bahasa Arab, wahyu itu menggunakan sebahagian lafaz tertentu. Kemudian, makna lafaz-lafaz bahasa lughawi wadh’iy (buatan manusia) tersebut dipindahkan kepada makna secara syarak, sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas-nas Al-Quran dan sunnah. Antara lafaz yang mengalami perubahan makna tersebut ialah lafaz yang secara bahasa bermaksud tunduk dan patuh al-inqiyād. Makna tersebut kemudian berkembang menjadi nama bagi agama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.
Dalilnya adalah firman Allah SWT: “dan Aku telah redhakan Islam sebagai agamamu…” [TMQ Al-Mâidah (5): 3]
Sumber: Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #KaumMuslim #UmatIslam