Khilafah dan Mimpi Buruk Netanyahu
Oleh: Farid Wadjdi
Perdana Menteri entiti Yahudi, Benjamin Netanyahu, pada hari Rabu, 23 April 2025, menyatakan bahawa pemerintahannya “tidak akan sekali-kali berputus asa untuk mencapai kemenangan dalam perang.” Tambah beliau, “Kami bertekad untuk membebaskan para tawanan dan kami tidak akan membenarkan penubuhan mana-mana Khilafah Islam (Kekhalifahan), sama ada di utara, selatan, mahupun di mana-mana tempat lain.”
Dia turut menambah, “Sekiranya golongan ekstremis mengalahkan kami, dunia Barat akan menjadi sasaran mereka yang seterusnya.”
Ini bukan kali pertama Netanyahu menyebut tentang Khilafah sebagai satu ancaman yang ingin dia halang. Ini merupakan kali kedua dalam minggu ini, dan kali ketiga sepanjang perang di Gaza, walaupun tidak selalu menggunakan istilah dan struktur yang sama, namun maksudnya tetap sama. Sudah tentu terdapat tujuan di sebalik pengulangan kenyataan Netanyahu mengenai ancaman Khilafah ini.
Poin penting pertama: Kenyataan Netanyahu ini menunjukkan kefahaman mereka terhadap ancaman sebenar yang dibawa oleh Khilafah Islamiyah terhadap penjajahan Yahudi dan imperialisme Barat. Ini bermakna, mereka sedar bahawa tegaknya Khilafah Islamiyah akan membawa kepada lima perkara utama yang paling ditakuti oleh Barat daripada Dunia Islam.
Pertama: Kesatuan umat Islam yang akan melebur dan menghancurkan sempadan-sempadan warisan kolonialisme seperti konsep negara bangsa (nation state) yang selama ini memecahbelahkan dan melemahkan umat Islam.
Kedua: Penerapan syariah Islam secara menyeluruh (kâffah), yang akan menjadikan Islam sebagai sistem kehidupan yang nyata serta dapat dirasai kebaikannya oleh seluruh umat manusia. Sesuatu yang kini dirindui oleh umat manusia yang melihat kegagalan sistem kapitalisme global dalam membawa kesejahteraan kepada manusia sejagat. Pelaksanaan syariah Islam ini juga akan menamatkan jalan-jalan penjajahan yang selama ini berjalan lancar disebabkan pengamalan sistem kapitalisme di negeri-negeri umat Islam.
Ketiga: Tegaknya Khilafah akan menjadi kekuatan politik yang berperanan menggerakkan angkatan tentera umat Islam untuk membebaskan negeri-negeri Islam yang berada di bawah penjajahan.
Keempat: Tegaknya Khilafah akan membawa kembali kemunculan sebuah negara kuasa besar yang mewakili umat Islam dan sistem Islam di peringkat global. Sebuah negara kuasa besar yang mampu menyaingi kekuatan negara-negara imperialis seperti Amerika Syarikat secara nyata, malah berpotensi mengatasi negara-negara kapitalis yang kini sedang mengalami kemerosotan.
Kelima: Tegaknya kembali Khilafah akan melumpuhkan, malah menghapuskan para penguasa di negeri-negeri umat Islam yang selama ini menjadi ejen negara-negara imperialis. Mereka inilah yang berperanan sebagai ‘iron dome’ paling kuat dan paling hampir bagi entiti Yahudi. Pemerintah-pemerintah pengkhianat yang tidak menggerakkan walau sebutir peluru pun untuk membebaskan bumi Palestin serta menamatkan penderitaan umat Islam di sana.
Poin penting kedua: Ketika Netanyahu meluahkan obsesinya terhadap Khilafah dan berkata, “Sekiranya para ekstremis menewaskan kami, dunia Barat akan menjadi sasaran mereka yang seterusnya”, dia sebenarnya sedar bahawa kembalinya Islam yang murni di bawah naungan Khilafah merupakan ketakutan utama Barat. Dengan kata lain, dia sedang menakut-nakutkan mereka bahawa jika dia tidak meneruskan perang kejam ini, maka Khilafah akan bangkit. Di sini, Netanyahu sedang menyampaikan mesej kepada orang awam dan golongan elit Barat.
Netanyahu tahu bahawa gerakan penentangan di Gaza (selatan), Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan, Houthi di Yaman, rejim baharu di Syria, bahkan Iran sendiri tidak menyeru apatah lagi berusaha untuk menegakkan Khilafah Rasyidah. Namun begitu, Netanyahu membingkai perangnya yang ganas ini dalam naratif fobia terhadap Khilafah yang telah lama terbenam dalam politik Barat, agar dia memperoleh sokongan dan restu untuk terus menyerang Gaza, Lubnan, Yaman dan Syria. Ini menunjukkan bahawa Netanyahu semakin sukar mempertahankan sokongan global.
Maksudnya, Netanyahu sedar bahawa dia memerlukan kekuatan global Barat. Hal ini kerana entiti Yahudi tidak mempunyai kekuatan tanpa sokongan daripada negara-negara Barat. Netanyahu tahu bahawa entitinya terlalu lemah untuk berhadapan dengan umat Islam atau usaha-usaha serius mereka. Dia melihat sendiri bagaimana pasukan tenteranya hanya mampu membunuh kanak-kanak, wanita, dan warga emas yang tidak berdaya serta mengebom kemudahan awam, tanpa mampu menghadapi tentera sebenar. Selama lapan belas bulan, bersama negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Jerman, dan Perancis, serta dengan sokongan para pemimpin negara Islam, mereka masih gagal menewaskan barisan pertahanan Gaza yang dijaga oleh sekelompok kecil mujahidin. Maka, bagaimana mungkin mereka mampu menghadapi satu angkatan tentera Muslim sejati dari sebuah negara Khilafah Islamiyah ala Minhaj an-Nubuwwah?
Wacana Netanyahu tentang Khilafah ini sepenuhnya ditujukan kepada Barat: kepada rakyat mereka, elit politik serta para pemimpin mereka, bukan kepada umat Islam atau gerakan penentang. Wacana ini menggambarkan krisis yang sedang dihadapi di Gaza, serta kenyataan bahawa prospek kejayaan ketenteraannya semakin pudar. Walaupun Khilafah jarang disebut oleh media arus perdana, ahli politik Barat mahupun oleh para pemerintah negeri-negeri umat Islam, hakikatnya Khilafah tetap menjadi mimpi ngeri terbesar bagi Barat—sebuah obsesi yang terus-menerus mereka ingatkan sesama sendiri apabila situasi semakin mendesak.
Bagi umat Islam, kenyataan Netanyahu ini sepatutnya menjadi penyuluh semangat yang lebih membara untuk terus memperjuangkan penegakan Khilafah. Ini kerana hanya melalui jalan inilah umat Islam dapat membebaskan Palestin serta negeri-negeri Islam lain yang tertindas. Lebih-lebih lagi, kembalinya Khilafah ala Minhâj an-Nubuwwah merupakan janji Allah dan khabar gembira daripada Rasulullah SAW: “Kemudian akan ada Khilafah (Kekhalifahan) yang mengikuti manhaj kenabian.” (HR Ahmad).
Tidak lama lagi, insya-Allah, penegakan Khilafah yang menjadi mimpi buruk yang menghantui para pemimpin Barat dalam tidur mereka, akan menjadi kenyataan di hadapan mata mereka. Allah SWT berfirman: “Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janji-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” [TMQ Ar-Ruum (30): 6]
AlLâhu Akbar!
Sumber: https://alwaie.net/dari-redaksi/khilafah-dan-mimpi-buruk-netanyahu/
#TegakKhilafah #freePalestinewithJihadAndKhilafah #KhilafahJanjiAllah #Gaza #Palestin