Justice for Zara: Antara Tukar Sekolah dan Tukar Sistem
Oleh: Syamsiyah Jamil
Walaupun kematian arwah Zara Qairina masih belum dapat dibuktikan samada ia adalah kes kemalangan, kecuaian, bunuh diri atau pun pembunuhan, tetapi perbuatan buli ada disebut dalam keterangan berkaitan kes kematian arwah. Hasil siasatan Pasukan Petugas Khas JSJ Bukit Aman pula menwujud keterangan-keterangan yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara.
Bagi sesetengah ibu bapa, mereka berpendapat bahawa salah satu tindakan yang boleh dibuat apabila anak mengadu dibuli di sekolah atau asrama adalah anak itu patut segera ditukarkan ke sekolah lain. Anak tidak sepatutnya dibiarkan untuk menghadap perbuatan buli terhadap dirinya secara berterusan.
Pendapat ini ada benarnya. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kami dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.” [HR Bukhari]
Imam Ibn Hajar al-Asqalani mensyarahkan hadis ini dengan berkata,
“Pada hadis ini terdapatnya larangan bermajlis dengan mereka yang memberi gangguan (atau menyakiti) menerusi majlis bersamanya sama ada gangguan itu pada agama atau pada dunia seseorang. Begitu juga (hadis ini) menganjurkan supaya duduk bersama dengan mereka yang kita mendapat manfaat dari mereka dalam urusan agama dan juga urusan dunia. [Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (4/324)]
Apa yang dapat difahami di sini adalah sesiapa pun boleh menjauhi orang yang menyakiti dirinya sama ada secara lisan atau fizikal dengan tujuan untuk mengelakkan perkara yang lebih teruk lagi berlaku. Jadi, memang wajar jika ibu bapa menukarkan anak yang dibuli di sekolah ke sekolah yang lain untuk mengelakkan anak terus dibuli atau kemudian dicederakan malah dibunuh.
Namun, itu hanyalah penyelesaian yang wajar diambil oleh ibu bapa sebagai penjaga anak tersebut dalam konteks individu. Dengan berbuat demikian, anak tidak lagi dibuli di sekolah yang sama, oleh orang yang sama. Tetapi, ibu bapa tidak dapat menjamin anaknya tidak akan dibuli di sekolah baru, oleh orang baru.
Di sinilah kita sepatutnya melihat masalah buli bukan sekadar masalah individu semata-mata. Tetapi ia adalah masalah sistemik yang berlaku dalam masyarakat yang mempunyai pemikiran sekular dan dalam negara yang berteraskan sistem demokrasi.
Pemikiran sekular membentuk individu yang bersikap atas dasar kebebasan individu, bukannya keterikatan kepada hukum syarak. Mereka merasa mereka bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka suka, asalkan dapat memuaskan hati dan fikiran mereka.
Bagi pembuli, buli dirasakan sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat membuatkan diri sendiri rasa kuat dan orang lain lemah. Mereka tidak ada rasa takut dengan dosa menyakiti atau menzalimi orang lain. Mereka tidak ada rasa takut akan dipertanggungjawabkan atas jenayah yang mereka lakukan.
Sistem demokrasi pula membuka ruang dan peluang yang lebih luas bagi pelaku jenayah. Demokrasi membenarkan manusia merangka dan menguatkuasakan undang-undang buatan akal mereka sendiri padahal akal manusia itu terbatas. Akal manusia tidak mampu menentukan apakah keadilan yang sebenarnya dan selayaknya bagi setiap individu. Jadi, tidak hairanlah jika mangsa jenayah tidak terbela, malah penjenayah dijaga, jenayah pula makin berleluasa.
Maka, wajarlah pemikiran sekular dan sistem demokrasi ini ditukar dengan pemikiran Islam dan sistem Islam (Khilafah) demi menyelamatkan generasi manusia daripada maraknya kezaliman dan ketidakadilan terhadap individu. Allah SWT berfirman,
“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al-Maidah (5): 50]
Negara Khilafah pasti akan menerapkan sistem hukuman berdasarkan syariah Islam (al-‘uqubat) yang tegas untuk mencegah pelanggaran syariah iaitu hukum hudud, jinayat, mukhalafat, mahu pun ta’zir. (Abdurrahman Al-Maliki, Nizhamul Uqubat, hlm. 17-21).
Selain menghukum penjenayah dan membela mangsa secara adil, sistem hukuman Islam mampu menimbulkan kesan pencegahan (zawajir) dalam kalangan masyarakat secara meluas. Pelaku jenayah tidak berani mengulangi kesalahan yang sama dan keseluruhan masyarakat juga tidak berani melakukannya.
Kesimpulannya, tukar sekolah adalah salah satu penyelesaian yang wajar dalam konteks menghadapi masalah buli pada hari ini. Tetapi, tukar sistem adalah satu-satunya penyelesaian yang wajib dalam konteks mencegah kemungkaran (jenayah) dan menegakkan keadilan dengan tegas.