[Mafahim Islamiyyah] Moderat atau Kompromi (Bahagian 1/2)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sebenarnya istilah kompromi atau jalan tengah tidak tampak pada umat Islam, kecuali pada saat ini setelah runtuhnya Khilafah Islamiyah. Tujuannya adalah mengambil jalan tengah dan menghapuskan keekstreman. Lafaz dan maknanya merupakan istilah asing, serta muncul dari Barat dan ideologi kapitalisme.
Akidah ideologi kapitalisme dibina di atas kompromi atau jalan tengah yang muncul akibat konflik berdarah antara gereja dan raja-raja pendukungnya dari satu pihak dengan para pemikir dan ahli falsafah Barat dari sisi lain. Golongan pertama berpendapat bahawa Nasrani adalah agama yang layak untuk menyelesaikan semua urusan kehidupan. Golongan kedua pula berpendapat sebaliknya, iaitu bahawa agama ini tidak layak untuk menyelesaikan semua urusan kehidupan.
Agama adalah sebab kezaliman dan keterpurukan. Mereka menafikan agama dan kewajarannya, lalu mereka mengganti agama ini dengan akal. Menurut pendapat mereka, akallah yang berkapasiti membuat sistem yang layak untuk mengatur urusan kehidupan.
Selepas konflik yang panjang antara kedua-dua kubu, mereka bersetuju dengan kompromi atau jalan tengah. Mereka mengakui esensi agama sebagai sarana interaksi antara manusia dengan Al-Khaliq, tetapi agama ini tidak boleh menggangu peraturan urusan kehidupan. Mereka mengadopsi pemikiran “pemisahan agama daripada kehidupan” sebagai akidah bagi ideologi mereka yang terpancar daripada sistem kapitalisme. Atas dasar sistem kapitalisme ini, mereka telah bangkit, lalu membawanya kepada manusia di dunia dengan metode penjajahan.
Sebenarnya akidah “pemisahan agama daripada kehidupan” ini tidak dibina berdasarkan akal. Ini kerana, dengan akal mereka, para pembesar agama dan para raja telah memahami bahawa agama Nasrani ini berasal daripada Allah dan layak untuk mengatur kehidupan manusia. Sedangkan ahli falsafah dan intelektual, mereka memahami bahawa agama ini tidak layak untuk mengatur kehidupan.
Ini bermakna pemisahan agama daripada kehidupan tidak dibina berdasarkan akal. Akan tetapi, ia merupakan kompromi atau jalan tengah di antara dua kubu dan tidak ada kena mengena dengan kebenaran.
Pengaruh jalan tengah ini sangat menonjol dalam setiap penggubalan undang-undang atau setiap tingkah laku penganut ideologi kapitalisme. Dalam membuat undang-undang, mereka bergantung kepada pendapat majoriti tanpa mempertimbangkan pendapat minoriti yang pakar atau tanpa memandang ketidaktepatan dan ketidaksesuaian pendapat majoriti.
Pendekatan mereka dalam menghadapi isu-isu politik dibina di atas jalan tengah tanpa mempertimbangkan betul atau salah. Contohnya Palestin, orang Arab Islam menuntut bahawa seluruh tanah Palestin adalah negeri mereka. Namun, pada masa yang sama, orang Yahudi mendakwa bahawa seluruh Palestin adalah tanah yang dijanjikan Allah kepada mereka. Kemudian, pada tahun 1947, negara-negara kapitalis Barat bersepakat bahawa penyelesaian kepada masalah Palestin adalah dengan mendirikan dua institusi (two states) di Palestin, iaitu satu untuk Arab Muslim dan satu untuk Yahudi.
Penyelesaian kompromi seperti itu sangat menonjol dalam banyak isu, seperti isu Cyprus, Sudan, Kashmir, Bosnia, dan lain-lain. Kompromi di mana akidah mereka dibina di atasnya dan seterusnya sistem kehidupan mereka sangat dominan dalam sikap dan penggubalan undang-undang mereka. Juga dalam sikap-sikap mereka, baik secara individu atau negara. Bagi mereka, politik sentiasa berlandaskan pembohongan dan penipuan, bukan untuk mencapai hak semua.
Malah untuk mendapatkan sesuatu daripada hak mereka, banyak atau sedikit seperti yang dilihat dalam pelbagai rundingan antara mereka atau dengan mereka. Dengan demikian, setiap kelompok ingin memperoleh lebih banyak manfaat. Telah tertanam dalam fikirannya kemungkinan untuk menyerahkan apa yang dituntut demi mendapatkan haknya, baik sedikit atau banyak.
Dengan cara ini rundingan berlangsung lama, bahkan sehingga bertahun-tahun. Ini bukan supaya setiap kelompok mendapat haknya, kerana bagi mereka hak itu tiada batasan. Namun, agar mereka dapat sampai ke jalan tengah yang menggembirakan kedua belah pihak, bukan kerana sesuatu itu benar. Semuanya bergantung kepada keadaan setiap kelompok, kekuatan dan kelemahannya. Yang kuat boleh mengambil apa sahaja yang disukainya selagi dia mampu, sedangkan yang lemah boleh melepaskan apa sahaja yang dia tidak mampu mencapainya.
Oleh itu, usaha mesti dilakukan untuk menyelamatkan umat Islam daripada idea jalan tengah dan menjelaskan kekeliruan serta kepalsuannya. Mereka telah mengambilnya dan mendakwa bahawa idea jalan tengah itu ada dalam Islam. Malah menurut mereka, Islam berdiri di atas landasan jalan tengah, iaitu antara spiritual dan materialistik, individu dan kolektif, pragmatik dan idealistik, antara kestabilan dan dinamik, sehingga tidak berlebih-lebihan dan tidak pula mengurangi.
Bagi membuktikan mazhabnya, mereka telah menjalankan penyelidikan tentang segala sesuatu. Kemudian mereka mendapati bahawa sebenarnya setiap sesuatu itu memiliki dua sisi dan titik tengah. Titik tengah adalah titik selamat di antara keduanya, apabila pada bila-bila masa kawasan pinggiran menghadapi bahaya dan kerosakan.
Titik tengah adalah pusat kekuatan serta titik kesamarataan dan keseimbangan antara dua kutub. Selagi titik tengah itu memiliki semua kelebihan seperti di atas, maka tidak hairanlah apabila semua kelebihan itu terlihat menonjol dalam setiap aspek Islam. Islam adalah bahagian tengah dalam akidah dan ibadah, serta bahagian tengah dalam pembuatan undang-undang, akhlak, dan sebagainya.
Mereka juga telah meneliti nas-nas syarak, lalu menggelengkan kepala mereka kerana mereka merasakan telah menemukan keselarasan antara mazhab mereka dengan nas-nas tersebut. Mereka berkata tentang firman Allah SWT, “Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kalian (umat Islam), umat yang adil dan pilihan (wasatan) agar kalian menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kalian.” [TMQ Al-Baqarah (2): 143].
Mereka mengatakan bahawa sesungguhnya (sifat) jalan tengah atas umat Islam itu hanya diambil dari tengah-tengahnya metode dan sistem umat Islam. Dengan demikian, tidak ada pada umat Islam sikap berlebih-lebihan seperti yang ada pada orang Yahudi dan sikap meremehkan seperti yang ada pada orang Nasrani. Kata “wasath” ini bermakna “adlun”.
Sedangkan adlun menurut pendapat mereka adalah pertengahan di antara dua sisi yang kontradiktif. Kemudian mereka menjadikan adlun bermakna as-sulhu (damai). Semua itu adalah agar mereka dapat mengekalkan pemikiran yang diadopsinya dari para penganut sistem kapitalisme sekaligus untuk melekatkannya dengan Islam. Maksud yang benar bagi ayat tersebut adalah, sesungguhnya umat Islam adalah umat yang adlun (adil), sedangkan adil ini adalah antara syarat menjadi saksi dalam Islam.
Jadi, umat Islam ini kelak akan menjadi saksi yang adil atas umat-umat lain bahawa umat Islam ini telah menyampaikan Islam kepada umat-umat selain Islam. Ayat tersebut walaupun datang dalam bentuk berita, tetapi merupakan tuntutan daripada Allah kepada umat Islam agar menyampaikan Islam kepada umat-umat lain.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.