[Mafahim Islamiyyah] Moderat atau Kompromi (Bahagian 2/2)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Apabila umat Islam tidak melaksanakan tuntutan (menyampaikan Islam), maka dia berdosa. Semua itu telah ditunjukkan oleh sesuatu yang terdapat dalam ayat, “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” [TMQ Al-Baqarah (2): 140]. Begitu juga yang ditunjukkan pada akhir ayat, “Dan Rasul (Muhammad) pula akan menjadi saksi terhadap kamu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 143].
Allah SWT telah menuntut kalian agar mengemban Islam kepada seluruh manusia. Mereka juga telah berhujah dengan firman Allah SWT, “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila menafkahkan hartanya, tidak melampaui batas dan tidak bakhil; (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” [TMQ Al-Furqan (25): 67].
Mereka telah menjadikan dua sisi bagi infak harta, iaitu berlebih-lebihan dan kedekut. Mereka juga telah menjadikan ia di pertengahan, iaitu pertengahan antara berlebih-lebihan dan kedekut. Apabila ada orang menghidangkan seekor biri-biri kepada seorang tetamu, ini dipanggil berlebihan. Namun apabila dia tidak menghidangkan apa-apa kepada tetamunya, ini adalah kedekut. Jika dia menghidangkan sesuatu yang cukup untuk tetamunya, ini adalah pertengahan.
Allah SWT mengharamkan berlebih-lebihan dan menghalalkan pertengahan, iaitu infak harta dengan cara sederhana. Ini bermakna bahawa Allah SWT telah menetapkan kompromi atau jalan tengah dalam berinfak. Mereka telah mengadopsi pemahaman yang salah ini untuk modal berdalil bahawa sesungguhnya dalam Islam terdapat kompromi atau jalan tengah.
Mereka tidak mengerahkan kesanggupannya dalam memahami hukum syarie berkenaan infak. Sedangkan sesuatu yang telah ditunjukkan oleh ayat tersebut beserta nas-nas lain dari Al-Quran dan sunnah bahawa infak ada tiga jenis, iaitu israf, taqtir, dan qawam. Adapun salah satu daripadanya, iaitu qawam yang bermaksud infak mengikut hukum-hukum Islam, sedikit atau banyak adalah bergantung kepada syarak.
Oleh itu, sesiapa sahaja yang menyembelih unta untuk seorang tetamunya atau dia menghidangkan sepotong roti kepada tetamunya, baik tetamu itu orang kaya atau miskin, hal tersebut adalah boleh, tiada yang haram. Sedangkan israf, iaitu infak dalam perkara haram, maka siapa sahaja yang menafkahkan satu dirham untuk membeli arak, berjudi, atau rasuah, maka hukumnya adalah haram. Adapun taqtir, iaitu mencegah berinfak dalam sesuatu yang wajib, maka apabila ada seseorang yang mencegah daripada memberi satu dirham yang dikenakan hak zakat hartanya atau dia melarang daripada memberi nafkah kepada orang yang wajib dinafkahinya, maka ini adalah haram.
Lafaz qawam ini sama sekali tidak menunjukkan kepada jalan tengah, baik secara tertib atau tempatnya. Lafaz ini hanya menunjukkan bahawa terdapat tiga jenis infak, iaitu israf, taqtir, dan qawam. Sedangkan salah satu daripada tiga jenis, iaitu qawam, adalah halal dan dituntut oleh syarak. Ini kerana Allah SWT telah berfirman, “baina zaalika”, tidak berfirman, “baina zaalikum” untuk menunjukkan kompromi atau jalan tengah di antara dua orang/perkara yang bertentangan.
Dalam Islam, tidak ada kompromi atau jalan tengah. Allah SWT telah menciptakan manusia dan telah mengajarkan ilmu tentang realiti. Manusia tidak akan dapat mengetahuinya. Allah SWT yang mempunyai keupayaan untuk mengatur kehidupan manusia dengan peraturan yang begitu terperinci sehingga tidak dapat dicapai oleh sesiapa pun.
Hukum-hukum-Nya telah datang dengan batas-batas tertentu yang tidak ada pengaruh sedikit pun pada kompromi atau jalan tengah. Jadi, di manakah letaknya kompromi atau jalan tengah dalam firman-Nya ini? Allah SWT berfirman, “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan pada hari akhirat kelak dia tergolong daripada orang yang rugi.” [TMQ Ali Imran (3): 85]. Juga pada firman-Nya, “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.” [TMQ Al-Maidah (5): 49].
Demikian juga dalam sabda Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya, iaitu Abu Thalib, ketika kaumnya menawarkan kedudukan, harta, dan kemuliaan kepada beliau. Nabi SAW bersabda, “Demi Allah, wahai bapa saudaraku, seandainya mereka meletakkan/memberikan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan urusan agama ini hingga Allah menampakkannya atau aku mati kerananya, aku tidak akan pernah meninggalkannya.”
Begitu juga sabda Nabi SAW kepada kabilah Bani Amir ibnu Sha’sha’ah apabila mereka menuntut kepada Nabi supaya mereka mendapat kuasa selepas Nabi wafat apabila mereka telah menolongnya. Beliau SAW bersabda, “Kekuasaan itu milik Allah. Dia meletakkannya di mana sahaja yang dikehendaki-Nya.”
Di manakah kompromi atau jalan tengah dalam hukuman terhadap orang murtad, penzina, atau pencuri? Dalam nas-nas Islam, sama sekali tidak ada kompromi dan jalan tengah. Juga tidak ada kompromi dalam hukum-hukum Islam. Malah nas-nas dan hukum-hukum Islam itu sangat terperinci, jelas, dan menyeluruh sehingga Allah SWT telah menyebutnya sebagai hudud-Nya kerana ketelitian dan konsistensinya.
Allah SWT berfirman, “Itulah hukum-hukum (hudud) Allah, diterangkannya kepada kaum yang mengetahui.” Juga firman-Nya, “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, dia kekal di dalamnya, dan baginya azab yang amat menghina.” [TMQ An-Nisa’ (4): 14].
Oleh kerana itu, tidak dibenarkan melanggar hukum-hukum ini. Jadi kompromi atau jalan tengah itu adalah pemikiran yang asing dalam Islam. Orang-orang Barat dan orang-orang Muslim yang berkasih sayang dengan mereka berusaha mengaitkan pemikiran ini kepada Islam untuk membawanya kepada umat Islam dengan slogan pertengahan dan toleransi. Sesungguhnya tujuan mereka hanyalah untuk mengalihkan perhatian kita daripada ketetapan-ketetapan dan hukum-hukum Islam yang jelas.
Umat Islam mesti sedar akan pelbagai konspirasi pemikiran jahat untuk melawan mereka dan agama mereka. Umat Islam juga mesti menjelaskan hukum syarak bagi setiap masalah dengan bersandar kepada dalil syarak, bukan bersandar kepada jalan tengah. Malah, tetap berpegang kepada dalil-dalil syarak, baik yang berkaitan dengan solusi-solusi dan perbuatan individu atau yang berkaitan dengan metode dan mendirikan Negara Khilafah, adalah penyelamat bagi umat Islam daripada realiti buruk mereka.
Allah SWT berfirman, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu mendapat hidayah-Nya.” [TMQ Ali Imran (3): 103].
Jadi, berpegang kepada tali Allah yang kuat, iaitu agama Islam, dapat menunjukkan kepada kebenaran dan menyatukan umat Islam dalam satu negara. Ia juga dapat menyelamatkan mereka daripada azab neraka. Bukan dengan kompromi, jalan tengah, atau pertengahan seperti yang dikehendaki oleh musuh-musuh Islam untuk umat Islam.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.