[Mafahim Islamiyyah] Muhasabah dan Penentangan (Bahagian 1/3)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Ideologi kapitalisme demokrasi adalah ideologi buatan manusia. Akidahnya adalah pemisahan agama daripada kehidupan (sekular), bercanggah dengan akidah Islam. Sistemnya juga menyalahi sistem Islam kerana tidak bersandar kepada wahyu Allah Taala. Ia hanya bergantung kepada rakyat. Dalam ideologi ini, rakyat menjadi sumber bagi tiga kuasa, iaitu legislatif (perundangan), kehakiman, dan eksekutif.
Keburukan-keburukan yang paling ketara dalam sistem ini ialah suara majoriti. Pemilihan penguasa, ahli-ahli Dewan Rakyat, pelantikan menteri, dan penggubalan Undang-Undang, semuanya boleh sempurna—menurut pandangan mereka— ditentukan melalui undi majoriti rakyat atau undi majoriti wakil-wakil rakyat.
Ideologi kapitalisme demokrasi adalah pemikiran yang bercanggah dengan realiti dan tidak sesuai dengan realiti yang sebenar. Ini kerana majoriti wakil-wakil rakyat di kebanyakan negara di seluruh dunia tidak mewakili suara majoriti rakyat seperti yang berlaku dalam pemilihan ahli parlimen. Melalui parlimen ini, undang-undang dibuat, keputusan-keputusan ditetapkan, dan kepercayaan kepada kementerian diberikan.
Bagi menjamin kelangsungan ideologi ini dan memastikan manusia dapat menerima kelayakan ideologi tersebut, mereka membuat metode untuk menghapuskan penentangnya. Di bawah slogan kebebasan berpendapat yang dikumandangkan oleh sistem demokrasi, mereka membenarkan penubuhan pluraliti parti. Kemudian, sebahagian ahli parti-parti itu atau pendukung mereka boleh mencapai kedudukan strategik dalam pemerintahan apabila telah memperoleh majoriti undi di parlimen. Sementara itu, parti yang tinggal dan penyokong mereka hanya menjadi pembangkang yang biasanya berada di luar kekuasaan eksekutif.
Parti-parti pembangkang inilah yang memimpin rakyat untuk menentang keputusan-keputusan atau dasar badan eksekutif. Parti-parti ini campur tangan dalam kuasa melalui pelbagai dialog dan rundingan. Kadang-kadang, parti-parti inilah yang mencetuskan pelbagai insiden dan demonstrasi. Bagaimanapun, Undang-Undang Dasar dan Undang-Undang lain yang memancar daripadanya menjamin semua itu dengan slogan-slogan kebajikan awam, kebajikan nasional, dan kestabilan situasi dan keadaan.
Penentangan dalam sistem demokrasi adalah tugas yang perlu dilakukan dalam permainan demokrasi. Ini bertujuan untuk menghalang dan menyerap aliran pembangkang untuk memudahkan penggubalan undang-undang, pelaksanaan keputusan-keputusan dan menjalankan projek-projek yang telah diadopsi—menurut pengakuan mereka—oleh kuasa yang mewakili majoriti rakyat.
Oleh sebab itu, arus penentangan yang berjalan ke arah yang bertentangan dengan jalur kekuasaan, ditetapkan supaya ia tidak bertembung dengan jalur kekuasaan. Akan tetapi, apa yang ditetapkan untuk pembangkang hanyalah untuk mengimbangi jalur kekuasaan agar setiap satu daripada keduanya dapat berjalan pada arah yang telah ditetapkan untuknya. Kekuasaan berjalan menerapkan aktivitinya atas nama majoriti seperti pengakuannya.
Sedangkan, pembangkang berjalan memimpin idea-idea lain dan mengadopsinya untuk menjadi sistem darinya. Jadi, seperti yang mereka katakan, pembangkang adalah kunci keselamatan yang berfungsi untuk mengekalkan sistem dan mencantikkan wajah buruk majoriti, menjangkakan tindakan balas orang-orang yang marah terhadapnya, juga untuk memadamkan semangat orang-orang yang tidak bersetuju dengannya.
Begitulah pembangkang di negara-negara kapitalis hakiki, seperti UK, Perancis, dan Amerika. Hal ini berbeza di negara-negara Dunia III, di antaranya adalah negara-negara yang berdiri di Dunia Islam, iaitu negara-negara yang mendakwa sebagai negara demokrasi atau negara-negara yang terpaksa untuk menerima demokrasi. Mereka membuat penentangan terancang dan dibentuk mengikut kehendak mereka agar negara-negara tersebut dapat menjaga eksistensinya, propaganda demokrasi, dan kebebasan berpendapat untuk menerapkan tuntutan negara-negara majikan mereka.
Jadi begitulah pembangkang yang hakiki, baik dalam sistem demokrasi yang sebenar mahupun dalam sistem demokrasi palsu. Sedangkan mengkritik (muhasabah) adalah metode syarie yang disyariatkan oleh Islam. Hal ini dilakukan untuk meluruskan kesalahan penguasa dan mengembalikannya ke jalan kebenaran, jika penguasa itu menyimpang dari jalan lurus yang telah ditetapkan oleh Allah Taala.
Oleh itu, memuhasabah pemimpin adalah tangungjawab umat, baik secara individu atau kelompok. Sesungguhnya Allah SWT berfiman, “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” [TMQ Ali Imran (3): 110].
Juga firman-Nya, “Dan hendaklah ada di antara kamu, segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh (agar membuat) yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” [TMQ Ali Imran (3): 104].
Menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar bukan sekadar penentangan, iaitu hanya menampakkan ketidakredhaan. Akan tetapi untuk mendorong penguasa agar terikat dengan semua perintah dan larangan Allah Taala. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa sahaja melihat penguasa yang menyimpang, yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menguasai hamba-hamba Allah dengan dosa dan penganiayaan, serta dia tidak mahu mengubahnya dengan ucapan atau dengan perbuatan, maka wajib atas Allah untuk memasukkan pada tempatnya penguasa itu (yakni di neraka).”
Juga sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa sahaja di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya dengan tangan. Apabila tidak mampu, maka dengan lisan. Apabila tidak mampu, maka dengan hati. Dan (mengubah dengan hati) itu adalah selemah-lemahnya iman.”
Jadi, tujuan memuhasabah bukan sahaja menunjukkan ketidakredhaan, tetapi juga merupakan aktiviti untuk mengubah sesuatu yang dilihat oleh orang yang memuhasabah sebagai kemungkaran yang menyalahi syariat Allah SWT dengan apa yang dia mampu melalui ucapan atau perbuatan.
Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah seseorang di antara kamu menghinakan dirinya!” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang di antara kami menghinakan dirinya?” Rasulullah bersabda, “Dia tahu bahawa dia perlu berkata, tetapi dia tidak mahu berkata. Maka Allah ‘azza wa jalla pada Hari Kiamat berfirman, “Apa yang mencegahmu untuk berkata kerana Aku?” Lalu dia menjawab, “Aku takut manusia.” Kemudian Allah SWT berfirman, “Maka hanya kepada-Ku kamu lebih berhak untuk takut.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Muhasabah #Pemimpin #UmatTerbaik