Restu Suami Akan Membawa Isteri kepada SyurgaNya
Penulis: Najmah Saiidah
Dalam Islam, perkahwinan adalah sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dua insan yang saling mencintai kerana Allah melangsungkan akad perkahwinan agar kedua-duanya sah untuk hidup bersama. Sudah tentu apabila seorang perempuan dan lelaki ingin berkahwin, maka mereka berdua perlu memiliki persiapan untuk memasuki lembaran hidup yang baharu kerana memang terdapat banyak peraturan yang mesti dipatuhi oleh kedua-duanya berdasarkan syariat Islam.
Lelaki merupakan pemimpin dalam keluarga, dia wajib mencari nafkah dan memenuhi keperluan isteri serta anak-anaknya, serta melindungi dan menjaga kehidupan keluarganya. Dia perlu berusaha melakukan segala perkara demi keselamatan isteri dan anak-anak tercinta. Manakala, perempuan dalam rumah tangga adalah seorang isteri yang wajib taat kepada suaminya, melayani segala sesuatu yang diperlukan oleh suaminya.
Salah satu perkara penting bagi seorang isteri dalam kehidupan rumah tangga adalah adanya restu atau keizinan daripada suami. Segala perkara yang akan dilakukan oleh isteri, sebaiknya telah diketahui dan direstui oleh suami. Dengan adanya restu daripada suami akan membawa kepada redha suami. Seterusnya, keredhaan suami terhadap isterinya akan membawa isteri kepada syurgaNya.
Al-Munawi rahimahullah berkata, “Suami adalah sebab yang memasukkan isteri ke syurga kerana keredhaan suami terhadap isterinya, juga sebab yang memasukkan isteri ke neraka kerana kemarahannya terhadap isterinya, maka perelokkanlah dalam mempergaulinya dan janganlah menyelisihi perintahnya selagi mana ia bukan maksiat kepada Allah.” [Faidhul Qadir, 3/78].
Jelaslah bahawa restu atau keizinan suami merupakan perkara penting yang harus diberikan perhatian oleh seorang isteri agar tenang dalam meniti jalan kehidupan dan akan membawa kepada kehidupan perkahwinan yang penuh ketenteraman. Lalu, bagaimana Islam mengaturnya?
Seorang Isteri Wajib Meminta Izin Suami Ketika Keluar Rumah
Dr. Abdu al-Qadir Manshur dalam kitabnya Fiqh al-Mar’ah al-Muslimah min Al-Kitab wa Al-Sunnah, menyatakan bahawa seorang perempuan yang telah berkahwin mesti meminta izin kepada suaminya ketika hendak keluar rumah. Terdapat banyak hadis yang membahaskan mengenai larangan perempuan keluar rumah tanpa keizinan daripada suaminya.
Abdullah bin Umar berkata, “Aku melihat seorang perempuan datang kepada Rasulullah dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah hak suami ke atas isterinya?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Hak suami ke atas isterinya adalah seorang isteri tidak dibenarkan keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suami. Jika dia melakukannya, maka dia akan dilaknat oleh malaikat rahmat dan malaikat ghadab (marah) sehingga dia bertaubat.’ Wanita itu bertanya, ‘Wahai Rasulullah, sekalipun suaminya berlaku zalim?’ Rasul menjawab, ‘Ya, sekalipun dia berlaku zalim.’” [HR Abu Daud]
Dalam hadis lain Nabi bersabda, “Hak suami ke atas isterinya adalah isterinya tidak keluar rumah kecuali dengan izinnya. Jika dia tetap keluar, Allah, malaikat pembawa rahmat, dan malaikat pembawa murka akan melaknatnya sehingga dia bertaubat dan kembali pulang.” [HR Ibnu Abu Syaibah].
Daripada beberapa hadis ini, jelaslah bahawa haram hukumnya bagi isteri keluar dari rumahnya tanpa keizinan suami. Bahkan, jika isteri tetap keluar rumah dan enggan untuk kembali semula, maka dirinya telah dianggap menentang suami atau disebut sebagai nusyuz.
Isteri Dilarang Berpuasa Sunat Ketika Suami Berada di Sampingnya dan Mesti Mendapat Keizinan Suaminya
Hadis-hadis tentang larangan seorang isteri berpuasa sunat ketika suami berada di sampingnya dan itu pun mesti dengan keizinan suaminya sering kita temui, antaranya ialah:
لاَ يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِهِ
“Tidaklah halal bagi seorang wanita untuk berpuasa sedangkan suaminya ada (tidak dalam musafir), kecuali dengan izin suaminya.” [HR Bukhari dan Muslim]
لاَ تَصُومُ الْمَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِهِ غَيْرَ رَمَضَانَ
“Tidak boleh seorang wanita berpuasa selain Ramadhan, sedangkan suaminya sedang ada (tidak dalam musafir), kecuali dengan izin suaminya.”
“Tidak halal bagi seorang isteri berpuasa ketika suaminya ada, kecuali jika telah mendapat keizinan daripada suaminya.” [HR Bukhari dan Muslim]
Imam An-Nawawi rahimahullah menerangkan, “Larangan dalam hadis-hadis ini merujuk kepada puasa tathawwu’ (sukarela) dan puasa sunat yang tidak ditentukan waktunya. Menurut ulama Syafi’iyah, larangan yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah larangan yang bersifat haram.”
Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah dalam kitabnya Fath al-Bari mengatakan, “Yang dimaksudkan dengan larangan berpuasa tanpa keizinan suami adalah untuk puasa selain puasa Ramadhan, atau dengan kata lain puasa sunat. Adapun jika puasanya adalah puasa wajib (seperti qadha puasa), yang dilakukan di luar Ramadhan dan waktunya masih lapang untuk menunaikannya, maka tetap perlu mendapat keizinan suami.”
Dalam Al-Mawsu’ah al-Fiqhiyah disebutkan, “Jika seorang wanita menjalankan puasa (selain puasa Ramadhan) tanpa keizinan suaminya, puasanya tetap sah, tetapi dia telah melakukan perkara yang haram. Berdasarkan pemahaman dalil ini, jika suami tidak berada di tempat, isteri tidak perlu meminta keizinan suami ketika hendak melakukan puasa sunat. Keadaan yang dimaksudkan seperti ketika suami sedang bersafar, sedang berihram, atau suami sendiri sedang berpuasa. Keadaan ihram adalah terlarang untuk melakukan jima‘, begitu juga ketika suami sedang berpuasa. Inilah yang dimaksudkan dengan keadaan suami tidak berada di tempat.”
Membelanjakan Harta Suami Perlu dengan Izinnya
Berkaitan dengan pembelanjaan harta suami yang telah diberikan kepada isteri, memang terdapat banyak hadis yang menjelaskannya. Di satu sisi, isteri memang diberi hak, tetapi di sisi lain terdapat beberapa hadis yang melarang isteri daripada membelanjakannya tanpa keizinan suami. Di sinilah perlunya kita menggabungkan dan mengharmonikan nas-nas tersebut sesuai dengan panduan syarak.
“Jika wanita menginfakkan daripada penghasilan suaminya tanpa perintahnya, maka suaminya memperoleh separuh pahala.” [HR Bukhari]
“Jika wanita menafkahkan daripada makanan rumahnya tanpa menimbulkan mafsadah (masalah), dia akan mendapat pahala atas apa yang dinafkahkannya, dan suaminya pula mendapat pahala atas apa yang diusahakannya. Orang yang bertanggungjawab terhadap gudang juga mendapat ganjaran yang sama. Masing-masing daripada mereka tidak mengurangkan pahala antara satu sama lain walau sedikit pun.” [HR Bukhari Muslim]
Daripada Asma’ binti Abu Bakar bahawa beliau datang kepada Nabi SAW dan bertanya, “Wahai Rasulullah, aku tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan selain apa yang diberikan oleh Zubair kepadaku (untuk belanja rumah tangga). Adakah aku berdosa jika wang belanja itu aku sedekahkan sekadar seadanya?” Maka baginda menjawab,“Bersedekahlah sekadar seadanya mengikut kemampuanmu.”[HR Muslim]
Manakala, beberapa hadis Rasulullah SAW yang lain menjelaskan bahawa isteri tidak boleh menggunakannya kecuali dengan keizinan suami. Antaranya ialah: “Tidak boleh bagi seorang wanita memberikan sesuatu, kecuali dengan keizinan suaminya.” [HR Ahmad]
Hadis lainnya, “Janganlah seorang wanita menafkahkan sesuatu dari rumah suaminya kecuali dengan izinnya.” [HR Tirmidzi]
Imam Nawawi menjelaskan bahawa perbezaan makna hadis Rasulullah SAW tersebut disebabkan oleh perbezaan konteks. Setiap isteri dibenarkan untuk mengambil dan memanfaatkan harta suami bagi keperluan yang secara umumnya diizinkan oleh suami, seperti keperluan harian dan perbelanjaan ringan. Namun, jika melebihi kadar yang lazim tersebut, ia tidak dibenarkan. Manakala untuk peruntukan dan keperluan perbelanjaan yang besar, isteri wajib mendapatkan keizinan daripada suami, baik secara lisan, bertulis, atau adat kebiasaan yang diterima.
Kesimpulan ini adalah makna sabda Rasulullah SAW, “Jika isteri menggunakan makanan milik suami dan tidak merosakkannya.” Kemudian Imam An-Nawawi menjelaskan bahawa dalam hadis tersebut, diberikan contoh dengan makanan kerana secara umumnya diizinkan oleh suami untuk digunakan. Ini berbeza dengan penggunaan dirham dan dinar yang menurut kebanyakan individu atau keluarga serta bergantung kepada keadaan [Syarh Sahih Muslim].
Manakala, Syeikh ‘Athiyah menjelaskan bahawa apabila terdapat kesepakatan antara suami dan isteri berkenaan penggunaan harta, maka kesepakatan tersebut menjadi rujukan utama. Namun, jika tiada kesepakatan, isteri wajib mendapatkan pengesahan dan keizinan daripada suami, kecuali bagi keperluan yang ringan dan lazim. Sekiranya suami bersikap bakhil dan tidak menyediakan keperluan asas yang mencukupi untuk isteri dan anak-anaknya, maka isteri dibolehkan menggunakan harta tersebut sebagaimana disebut dalam hadis Hindun.
Berkaitan dengan penggunaan harta milik sendiri, maka isteri dibolehkan menggunakannya tanpa keizinan suami bagi peruntukan yang halal, sebagaimana Zainab yang membuat sesuatu dengan tangannya sendiri dan bersedekah daripada hasil usahanya itu.[Az-Zarqani ‘ala Mawahib].
Dilarang Membawa Masuk Tetamu ke Rumahnya Tanpa Keizinan Suami
Apabila suami tiada di rumah atau tinggal berjauhan, seorang isteri tidak dibenarkan menerima tetamu lelaki, apatah lagi membenarkan mereka masuk ke dalam rumah, kecuali jika tetamu tersebut adalah ahli keluarga atau mahramnya sendiri, dan suami memaklumi serta meredhainya.
Begitu juga, jika terdapat uzur syarak seperti membetulkan saluran air atau keperluan yang sangat penting di dalam rumah, sebagaimana disebut dalam hadis.
“Tidak halal bagi seorang wanita untuk berpuasa sunat, sedangkan suaminya berada bersamanya, kecuali dengan keizinan suaminya. Dan janganlah wanita itu membenarkan seseorang masuk ke rumahnya, kecuali dengan izin suaminya juga..” [HR Bukhari Muslim]
“Hak kalian ke atas isteri ialah bolehnya kalian melarang isteri daripada membenarkan orang yang kalian tidak suka untuk tidur di tempat tidur kalian (menginap), dan hendaklah isteri kalian tidak mengizinkan orang yang kalian tidak sukai untuk masuk ke dalam rumah kalian.” [HR Tirmizi]
Rumah keluarga adalah rumah kemuliaan dan kehormatan. Allah memerintahkan kedua-dua suami isteri agar saling menjaganya. Terutama sekali isteri, yang secara khusus telah diperintahkan oleh Allah untuk menjaga amanah di rumah suaminya, kerana isteri adalah rabbatul bait (ratu di rumah suaminya), yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara rumah suaminya.
Di antara ciri wanita solehah, Allah SWT sebutkan dalam Al-Quran, yang bermaksud, “Sebab itu wanita yang solehah adalah yang taat kepada Allah dan menjaga diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.”[TMQ An-Nisa(4): 34]
Usaha wanita dalam menjaga kehormatan dirinya, harta suaminya, dan rumahnya merupakan hak suami yang menjadi kewajipan seorang isteri. Jabr RA meriwayatkan bahawa dalam Haji Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan pesan dalam khutbahnya,
“Bertakwalah kepada Allah dalam urusan isteri-isteri kalian. Kalian mengambil mereka dengan amanah daripada Allah, dan kalian menghalalkan hubungan dengan mereka kerana Allah halalkan melalui akad nikah. Hak kalian yang menjadi kewajipan mereka adalah mereka tidak boleh membenarkan lelaki asing masuk ke rumah kalian. Jika mereka melanggarnya, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Adapun hak mereka yang menjadi kewajipan kalian ialah menyediakan makanan dan pakaian dengan cara yang wajar, yang menjadi kewajipan kalian.”[HR Muslim]
Dalam Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah dijelaskan bahawa hak suami yang menjadi kewajipan isterinya, dia tidak boleh mengizinkan seorang pun masuk rumah, kecuali dengan izin suaminya. Berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak halal bagi wanita untuk puasa sunat, sementara suaminya ada di rumah, kecuali dengan izin suaminya. Dan isteri tidak boleh mengizinkan orang lain masuk ke rumahnya kecuali dengan izin suaminya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Ibnu Hajar menukil keterangan daripada Imam An-Nawawi mengenai hadis ini bahawa dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa isteri tidak boleh membuat keputusan sendiri dalam memberi keizinan masuk ke rumah, kecuali dengan izin suami. Ini difahami untuk situasi di mana dia tidak tahu sama ada suami redha ataupun tidak.
Namun, jika dia yakin suami redha dengan keputusannya, maka tidak menjadi masalah baginya (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah). Sebagai contoh, tetamu yang tidak memerlukan keizinan suami ialah tetamu daripada kalangan kerabat suami atau kerabat isteri. Mereka boleh dipersilakan masuk, selagi mana masih merupakan mahram kepada isteri.
Demikianlah, telah sangat jelas hadis-hadis Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita bahawa restu dan keizinan suami sangat penting bagi seorang isteri. Apabila seorang suami redha terhadap apa yang dilakukan oleh isterinya, maka ia akan membawa kebahagiaan dan ketenteraman dalam kehidupan rumah tangganya, bahkan juga dalam kehidupan akhiratnya kerana Allah hanya akan redha kepada seorang perempuan apabila suaminya telah redha kepadanya.
Seorang perempuan yang tidak mendapat redha suami, nescaya tidak akan diterima ibadahnya. Sebaliknya, perempuan yang sentiasa mengharapkan redha suami, sama seperti mengharapkan redha Allah. Sudah tentu balasannya adalah syurga. Daripada Ummu Salamah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ
“Perempuan mana sahaja yang meninggal dunia sedangkan suaminya redha kepadanya, maka dia akan masuk syurga.” [HR Tirmidzi dan Ibnu Majah ].