[Mafahim Islamiyyah] Muhasabah dan Penentangan (Bahagian 3/3)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Bukan merupakan kewajipann bagi penguasa Muslim untuk mengikuti pendapat para pengkritiknya apabila dia melihat bahawa pendapat mereka itu tidak bersandarkan pada dalil syarak. Begitu pula apabila dia melihat bahawa pendapatnya bersandar kepada dalil yang lebih kuat daripada dalil yang dijadikan sandaran oleh para pengkritiknya.
Rasulullah SAW juga dalam perdamaian Hudaibiyah tidak mengambil kira pendapat Umar bin Khattab RA dan orang-orang yang menentang—selain Umar—kepada syarat-syarat perdamaian bersama orang Quraisy. Wahyulah yang menuntut Nabi SAW bersikap seperti itu. Kemudian Nabi SAW bersabda kepada mereka, “Sesungguhnya aku hanyalah hamba Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak akan pernah menyelisihi perintah-Nya dan Dia pun tidak pernah akan menelantarkanku.”
Begitu juga keadaan Umar bin Khattab RA yang pernah menentang Abu Bakar dalam memerangi orang-orang yang menolak membayar zakat. Abu Bakar juga tidak menghiraukannya. Bahkan Abu Bakar menjelaskan kepada Umar akan kebenaran pendapatnya dan kekuatan dalil syarak sebagai sandarannya.
Khalifah Umar bin Khattab pernah menolak pendapat Bilal bin Rabah dan teman-temannya ketika mereka menuntut Umar supaya menetapkan bumi Irak dalam kekuasaan penduduknya. Umar menghadapi mereka dengan dalil syarak yang dijadikan sandaran dalam pengagihannya, iaitu ayat-ayat tentang pembahagian harta fai daripada surah Al-Hasyr, lalu mereka terdiam.
Mengkritik para penguasa untuk mengubah mereka sebagaimana dituntut daripada kaum Muslim dalam Negara Khilafah, maka sekarang, bahkan sampai Hari Kiamat, kritik itu tetap dituntut daripada kaum Muslim. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang kita sedang hidup pada dekad terakhir daripada abad ke-20 Masihi dengan kehidupan yang rosak. Kerosakan merajalela, kemungkaran makin berleluasa, dan berbagai penipuan telah tersusun rapi untuk memukul umat Islam dan mencegah mereka menerapkan hukum agamanya dan mengembalikan negaranya.
Sungguh, Rasulullah SAW telah memberi berita kepada kita tentang realiti seperti ini yang terjadi dalam kehidupan kita kini. Beliau telah menjelaskan kepada kita tentang sikap benar yang perlu kita ambil dalam menghadapi realiti yang rosak. Dengan demikian, kita akan mendapat kemuliaan di dunia dan redha Allah SWT di akhirat.
Rasulullah SAW bersabda, “Ingat, sesungguhnya roda Islam selalu berputar, maka berputarlah kalian mengikutinya. Ingat, sesungguhnya kekuasaan dan Al-Quran akan terpisah, maka sentiasalah berpegang kepada Al-Kitab (Al-Quran). Ingat, sesungguhnya kalian akan dikuasai (dipimpin) oleh para penguasa yang sesat dan menyesatkan. Apabila kalian mengikuti mereka, maka mereka menyesatkan kalian. Apabila kalian menyelisihi mereka, maka mereka membunuh kalian. Sahabat berkata, “Lalu apa yang kami lakukan, wahai Rasulullah?” Beliau bersabda, “Seperti yang telah dilakukan oleh sahabat Nabi Isa AS, mereka disalib dan dibelah dengan gergaji. Maka demi Tuhan yang jiwa Muhammad dalam kekuasaan-Nya, sungguh kematian di jalan Allah adalah lebih baik daripada hidup dalam maksiat.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Muhasabah #kritik #UmatIslam #Pemimpin