[Siri Kitab Nizhamul Ijtimaie]
LELAKI DAN WANITA
1.1 Penciptaan Lelaki & Wanita
Allah SWT berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ ١٣
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan wanita, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain).”(TMQ Al-Hujurat [49]:13)
Umumnya, Allah menyeru manusia dengan pelbagai taklif (beban hukum) melalui syariatNya. Lalu kemudian di akhirat kelak, seluruh manusia ini akan dibangkitkan, dihisab amal perbuatannya dan akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.
Allah telah menciptakan manusia terdiri dari lelaki dan wanita dengan fitrah tertentu yang sama sekali berbeza dengan haiwan. Dari aspek kemanusiaan, wanita dan lelaki adalah sama dan tidak melebihi antara keduanya. Bahkan, Allah telah menjadikan lelaki dan wanita untuk hidup bersama berinteraksi dalam masyarakat dengan keberadaan serta posisi yang tersendiri.
Kedua-dua lelaki dan wanita juga memiliki potensi kehidupan (thaqah hayawiyah) yang serupa. Mereka dikurniakan oleh Allah keperluan jasmani seperti rasa lapar atau dahaga; serta pelbagai naluri iaitu naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’), naluri melestarikan keturunan (gharizah al-naw’) dan naluri beragama (gharizah al-tadayyun). Kedua-duanya juga dikurniakan keupayaan akal untuk berfikir dan memahami. Ini menunjukkan bahawa lelaki dan wanita mempunyai potensi yang sama untuk berkembang dan berperanan dalam kehidupan.
1.2 Penciptaan Gharizah An Naw’ Bagi Lelaki & Wanita
Penciptaan manusia oleh Allah SWT dilengkapi dengan pelbagai naluri termasuklah naluri melestarikan jenis / seksual (gharizah al-naw’). Naluri ini memainkan peranan penting bagi memelihara kelestarian keturunan manusia dan ianya bersifat alami. Tujuan adanya naluri ini adalah tidak lain untuk melahirkan zuriat dalam rangka melestarikan keturunan bagi manusia. Namun, naluri ini perlulah diatur dan tidak boleh dibiarkan bebas kerana memudaratkan kehidupan bermasyarakat seperti mana yang sedang berlaku.
Perspektif dan pemahaman masyarakat masa kini seringkali melihat hubungan antara lelaki dan wanita pada orientasi kenikmatan seksual semata. Pandangan perlu diubah dengan memahami bahawa konteks pemuasan naluri ini adalah sesuatu yang alami bagi setiap diri manusia dan mesti ditempatkan secara benar pada tujuan penciptaan naluri ini. Tambahan, ianya mestilah didominasi oleh dasar ketakwaan kepada Allah tanpa menafikan kenikmatan yang boleh dikecapi dengan cara yang dibenarkan oleh syariat melalui perkahwinan. Dalam erti kata lain, kenikmatan ini bukanlah matlamat utama dalam perkahwinan.
Justeru, secara dasarnya penciptaan gharizah an naw’ hanya sah dalam konteks hubungan sebagai suami dan isteri. Banyak ayat dalam Quran menjelaskan pengertian ini dengan pelbagai cara dan makna yang pelbagai. Antaranya adalah firmanNya dalam Surah al A’raf ayat 189 :
الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِّنْ نَّفْسٍ وَّاحِدَةٍ وَّجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ اِلَيْهَاۚ فَلَمَّا تَغَشّٰىهَا حَمَلَتْ حَمْلًا خَفِيْفًا فَمَرَّتْ بِهٖ ۚفَلَمَّآ اَثْقَلَتْ دَّعَوَا اللّٰهَ رَبَّهُمَا لَىِٕنْ اٰتَيْتَنَا صَالِحًا لَّنَكُوْنَنَّ مِنَ الشّٰكِرِيْنَ
“Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan dari padanya Dia menciptakan pasangannya, agar dia merasa senang kepadanya. Maka setelah dicampurinya (isterinya), mengandunglah dia kandungan yang ringan, lalu dia merasa ringan (beberapa waktu). Dan (setelah itu) tatkala dia merasa berat, keduanya (Adam dan Hawa) berdoa kepada Allah, Tuhan mereka: “Jika Engkau memberikan kami anak yang soleh, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur.”
Allah swt menegaskan bahawa hubungan antara lelaki dan wanita mestilah berfokus pada hubungan suami isteri yakni sebagai suatu ibadah untuk melahirkan keturunan demi melestarikan jenis manusia
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#NizhamulIjtimaie #jantina