[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 6/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari Bahagian 5/16.)
Bagaimanakah Barat yang kufur itu berjaya memasarkan idea-idea demokrasi yang kufur dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan hukum-hukum Islam di negara-negara Islam?
Sebagaimana diketahui, negara-negara Eropah yang kufur telah lama menyimpan kedengkian yang besar terhadap Islam dan umat Islam. Dalam hati mereka terdapat rasa dendam yang sangat mendalam terhadap Islam dan umat Islam, sebagaimana yang mereka zahirkan.
Maha Benar Allah dengan firman-Nya, “…Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi…” (TMQ Ali ‘Imrân [3]: 118).
Negara-negara Barat yang kufur itu juga telah memahami bahawa rahsia kekuatan umat Islam terletak pada ajaran Islam itu sendiri. Hal ini kerana akidah Islam merupakan sumber kekuatan yang sangat hebat bagi umat Islam. Oleh itu, mereka segera menyusun strategi jahanam untuk memerangi dunia Islam. Perkara ini mereka laksanakan melalui serangan misionaris (Kristianisasi) dan serangan kebudayaan (westernisasi).
Serangan kebudayaan (westernisasi) ternyata telah membawa budaya dan idea-idea Barat, termasuk demokrasi, serta peradaban dan pandangan hidup mereka ke dunia Islam. Negara-negara Eropah segera menyebarkan idea-idea tersebut kepada umat Islam dengan tujuan agar mereka menjadikannya sebagai asas, cara berfikir, dan pandangan hidup. Dengan demikian, negara-negara Eropah dapat menyelewengkan umat Islam serta menjauhkan mereka daripada keterikatan kepada Islam dan kewajipan melaksanakan hukum-hukumnya.
Tujuan akhirnya ialah agar Barat dapat dengan mudah menghancurkan Negara Islam, iaitu Negara Khilafah, lalu menghapuskan pelaksanaan hukum-hukum Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dengan demikian, umat Islam seterusnya akan mudah didorong untuk mengambil pelbagai idea, peraturan, dan undang-undang kufur sebagai pengganti Islam. Dengan cara itu juga, Barat akan dapat menjauhkan umat Islam daripada Islam serta mengukuhkan cengkamannya ke atas mereka.
Maha Benar Allah SWT yang telah berfirman, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 120).
Serangan misionaris dan kebudayaan Barat semakin sengit ketika kemerosotan umat Islam dalam bidang pemikiran dan politik semakin parah pada akhir zaman Khilafah Uthmaniyah (pada separuh kedua abad ke-19 Masihi). Pada ketika itu, berlaku perubahan dalam keseimbangan kuasa yang menunjukkan keunggulan negara-negara Eropah. Perubahan ini berlaku selepas tercetusnya revolusi pemikiran dan revolusi industri di Eropah, serta selepas terhasilnya pelbagai kreativiti dan penemuan ilmiah yang dengan cepat membawa Eropah menuju kemajuan dan pembangunan.
Sementara itu, dari hari ke hari, Khilafah Uthmaniyah terus mengalami kebekuan pemikiran dan semakin lemah. Keadaan inilah yang akhirnya menyebabkan pelbagai budaya, idea, peradaban, dan peraturan Barat mengalir dengan deras ke negara-negara Islam. Dalam serangan misionaris dan kebudayaan yang ditujukan kepada dunia Islam, negara-negara Eropah menggunakan pendekatan merendahkan ajaran Islam, menjelik-jelikkan hukum-hukumnya, menyebarkan keraguan dalam kalangan umat Islam terhadap kebenaran Islam, membangkitkan kebencian terhadap Islam, serta mendakwa bahawa Islamlah yang menjadi punca kemerosotan dan kemunduran mereka.
Sebaliknya, negara-negara Eropah mengagungkan Barat dan peradabannya, membanggakan idea serta sistem demokrasi, serta menggembar-gemburkan kehebatan peraturan dan undang-undang demokrasi. Selain itu, negara-negara Eropah juga menggunakan pendekatan penyesatan, iaitu menyebarkan prasangka dalam kalangan umat Islam bahawa peradaban Barat tidak bertentangan dengan peradaban Islam. Mereka berhujah bahawa sebenarnya peradaban Barat juga berasal daripada Islam, dan peraturan serta undang-undangnya tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam.
Mereka juga melekatkan unsur Islam pada idea dan peraturan demokrasi, serta menyatakan bahawa demokrasi tidak bertentangan dengan Islam. Malah, mereka mengatakan bahawa demokrasi berasal daripada Islam atau demokrasi itu sama dengan konsep syura, amar makruf nahi mungkar, dan aktiviti menegur atau membetulkan kesalahan pemimpin.
Propaganda mereka ternyata sangat mempengaruhi umat Islam sehingga akhirnya mereka dapat dipengaruhi oleh idea-idea dan peradaban Barat. Propaganda tersebut juga berjaya mendorong umat Islam untuk mengambil sebahagian peraturan dan undang-undang Barat pada akhir zaman Khilafah Uthmaniyah. Selepas Negara Khilafah runtuh, umat Islam malah mengambil sebahagian besar peraturan dan undang-undang Barat.
Propaganda Barat itu turut berjaya mempengaruhi golongan terpelajar, para ahli politik, para pengemban tsqafah Islamiah, sebahagian pengemban dakwah Islam, serta majoriti umat Islam. Golongan terpelajar, misalnya, banyak yang terpengaruh oleh kebudayaan Barat yang telah dijadikan asas pendidikan mereka, sama ada ketika mereka mempelajari kebudayaan tersebut di Barat mahupun di negara-negara Islam sendiri.
Hal ini berlaku kerana kurikulum pendidikan di negara-negara Islam selepas Perang Dunia I telah disusun berasaskan falsafah dan pandangan hidup Barat. Keadaan ini menyebabkan ramai golongan terpelajar akhirnya menggemari, mengagumi, bahkan mengagungkan budaya Barat. Sebaliknya, pada masa yang sama, mereka menolak tsqafah Islam dan hukum-hukumnya apabila dianggap bertentangan dengan budaya, peraturan, dan undang-undang Barat. Akhirnya mereka juga membenci Islam, sebagaimana orang-orang kafir Eropah. Mereka turut memusuhi budaya, peraturan, dan hukum Islam sebagaimana orang-orang Eropah yang kafir tersebut.
Golongan terpelajar ini kemudian menjadi corong propaganda bagi peradaban, idea, dan peraturan Barat, sekaligus menjadi alat penghancur dan penghina bagi peradaban, hukum, dan peraturan Islam. Sementara itu, akibat propaganda Barat juga, para politikus telah benar-benar mengikhlaskan diri mereka untuk mengabdi kepada Barat dan peraturannya, mengikatkan diri dengan Barat, serta menjadikan Barat sebagai kiblat perhatian mereka.
Mereka meminta bantuan kepada Barat, bergantung kepada pertolongannya, dan menobatkan diri mereka sebagai penjaga pelbagai undang-undang dan peraturan Barat. Malah, dengan rela hati, mereka menempatkan diri sebagai hamba yang bertugas melestarikan kepentingan Barat dan melaksanakan semua konspirasinya yang sangat jahat.
Dengan demikian, mereka benar-benar telah menyatakan permusuhan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Mereka juga telah mengisytiharkan perang terhadap “Islam politik” berserta seluruh pengemban dakwahnya yang ikhlas. Mereka sentiasa mencurahkan segala potensi yang mereka miliki untuk menghalang penubuhan Negara Khilafah dan kembalinya hukum yang diturunkan Allah ke tampuk kekuasaan. Mereka pasti dilaknat oleh Allah Taala. Bagaimanakah mereka sampai boleh berpaling daripada kebenaran?
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung ke Bahagian 7/16.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik