[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 7/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari Bahagian 6/16.)
Di sisi lain, para pengemban tsqafah Islam juga tidak lagi memiliki kesedaran terhadap Islam dan hakikat atau realiti hukum-hukumnya. Mereka juga tidak menyedari hakikat peradaban, idea, dan peraturan Barat. Selain itu, mereka tidak mengetahui kontradiksi antara peradaban, idea, dan pandangan hidup Barat dengan akidah, hukum, peradaban, dan pandangan hidup Islam.
Keadaan tersebut berlaku kerana taraf pemikiran umat Islam telah merosot. Mereka menjadi sangat lemah dalam memahami Islam dan hukum-hukumnya. Mereka juga salah dalam memahami cara pelaksanaan syariat Islam dalam masyarakat. Akibatnya, Islam kemudian ditafsirkan dengan pengertian yang tidak sesuai dengan kandungan nas-nas syariat. Sementara itu, hukum-hukum Islam pula ditakwilkan agar sesuai dengan keadaan yang ada, bukan sebaliknya, iaitu mengubah keadaan yang ada agar selaras dengan hukum-hukum Islam.
Kemudian mereka mengambil berbagai hukum yang tidak ada dasarnya dalam syariat, atau yang dasarnya lemah, atau dengan hujah yang didasarkan kepada kaedah yang sangat keliru. Menurut mereka, perubahan hukum tidak dapat dinafikan kerana adanya faktor perubahan zaman. Dengan berpedoman pada kaedah semacam ini, maka tidak hairanlah jika Islam kemudiannya ditakwilkan oleh ramai pihak dalam rangka disesuaikan dengan setiap aliran, gagasan, dan ideologi, walaupun penakwilan tersebut bertentangan dengan hukum-hukum dan pandangan hidup Islam.
Mereka kemudian mengatakan bahawa peradaban dan idea-idea Barat tidak bertentangan dengan Islam dan hukum-hukumnya kerana semuanya kononnya diambil daripada peradaban Islam. Mereka juga menyatakan bahawa sistem pemerintahan demokrasi dan sistem ekonomi kapitalisme tidak bertentangan dengan hukum Islam. Namun hakikatnya, kedua-dua sistem tersebut adalah sistem kufur. Mereka juga mengatakan bahawa idea demokrasi dan kebebasan umum bagi setiap individu berasal daripada Islam. Akan tetapi, kedua-dua idea itu pada hakikatnya sangat bertentangan dengan Islam.
Dengan demikian, timbullah kekaburan dalam pemikiran mereka mengenai apa yang boleh diambil oleh umat Islam daripada bangsa dan umat lain, serta apa yang haram untuk diambil. Perkara yang boleh diambil daripada bangsa dan umat lain misalnya ialah ilmu perubatan, farmasi, kejuruteraan, kimia, pertanian, industri, peraturan lalu lintas, pengangkutan, dan perkara-perkara harus lain yang tidak bertentangan dengan Islam. Sementara itu, perkara yang haram diambil daripada bangsa dan umat lain ialah segala sesuatu yang bertentangan dengan akidah Islam dan hukum-hukumnya.
Segala perkara yang berasal daripada bangsa dan umat lain adalah haram diambil, kecuali jika bersumber daripada al-Quran dan sunnah serta dalil-dalil syarak yang ditunjukkan oleh kedua-duanya, iaitu qiyas dan ijmak sahabat. Keadaan seperti ini akhirnya memberi peluang kepada Barat untuk memasarkan peradaban dan pandangan hidup mereka, iaitu idea demokrasi dan kapitalisme, serta idea kebebasan umum ke negara-negara Islam.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung ke Bahagian 8/16.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik #AyuhUmatBangkit #KembalikanSistemIslam