Keluarga Muslim Meneladani Keluarga Imran
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Salah satu keluarga yang disebut di dalam Al-Quran ialah keluarga Imran, yang namanya diabadikan sebagai surah Ali Imran. Ini menunjukkan bahawa keluarga Imran atau Ali Imran memiliki kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT. Tidak banyak nama individu atau nama keluarga yang disebut dalam Al-Quran, selain para nabi dan rasul. Bahkan, boleh dihitung dengan jari. Ketika Allah SWT menyebut nama mereka dan mengabadikannya sebagai nama surah dalam Al-Quran, sudah tentu ia memiliki keistimewaan. Apakah keistimewaan keluarga Ali Imran? Bagaimana keluarga Muslim masa kini dapat mengambil pelajaran daripada keluarga yang mulia ini?
Keistimewaan Keluarga Imran
Imran bukanlah seorang nabi mahupun rasul. Namun, beliau adalah seorang lelaki yang soleh dan namanya tercatat secara abadi di dalam Kitab Suci. Di dalam Al-Quran, dijelaskan bahawa kedudukan keluarga Imran sangat mulia, sebaris dengan keluarga Nabi Ibrahim yang dianggap melebihi seluruh umat pada zaman mereka. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
اِنَّ اللّٰهَ اصْطَفٰىٓ اٰدَمَ وَنُوْحًا وَّاٰلَ اِبْرٰهِيْمَ وَاٰلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعٰلَمِيْنَۙ * ذُرِّيَّةً ۢ بَعْضُهَا مِنْۢ بَعْضٍۗ وَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌۚ
“Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). Yakni sebagai satu keturunan (zuriat) yang sebahagiannya berasal daripada sebahagian yang lain. (Ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [TMQ Ali Imran (3): 33–-34]
Beliau adalah Imran bin Matsan bin Al-Azar bin Al-Yud. Beliau merupakan keturunan Nabi Sulaiman bin Nabi Daud AS. Keluarga Imran mempunyai ramai anggota, dan beberapa daripadanya masyhur kerana disebutkan secara langsung dalam Al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW, seperti isterinya, anak-anak dan cucu-cucu mereka, serta anggota keluarga yang lain.
Isteri kepada Imran adalah Hannah binti Faquda, yang dikenali sebagai wanita solehah pada zamannya. Melalui perkahwinan ini, mereka dikurniakan beberapa orang anak perempuan. Anak sulungnya adalah seorang puteri bernama Asy-ya’. Wanita ini kemudian berkahwin dengan Nabi Zakaria AS dan dikurniakan seorang putera, iaitu Nabi Yahya AS, yang merupakan seorang rasul utusan Allah SWT. Anak kedua Imran adalah Maryam. Namanya juga diabadikan dalam salah satu surah Al-Quran. Beliau merupakan ibu yang melahirkan Nabi Isa AS, dan Rasulullah SAW turut memuliakannya. Sebagaimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis:
“Ada banyak lelaki yang sempurna, namun tiada wanita yang sempurna melainkan Maryam binti Imran dan Asiyah, isteri Firaun.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Quran turut mengisahkan proses bersalin Maryam. Orang-orang Yahudi menuduhnya melakukan zina. Namun, atas petunjuk Allah SWT, wanita mulia ini memilih untuk berdiam diri dan hanya memberi isyarat agar mereka berbicara langsung kepada bayi yang baru dilahirkannya. “Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya (supaya bertanya kepada anaknya). Mereka berkata, “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang kanak-kanak yang masih dalam buaian (masih bayi)?” Isa menjawab:” Sesungguhnya aku hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan aku seorang Nabi. Dan Dia memberkatiku di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan aku mengerjakan solat dan memberi zakat sepanjang hayatku; “Dan berbuat baik kepada ibuku, Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi derhaka. Dan segala kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku wafat, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)’” [TMQ Maryam (19): 29—33]
Sosok seterusnya daripada keluarga Imran adalah Nabi Isa AS, cucu kepada Imran. Allah SWT mengangkat putera Maryam ini sebagai Nabi dan Rasul-Nya yang diutus kepada kaum Bani Israil untuk mengajak mereka agar teguh bertauhid. “Sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dia juga tiupan) roh daripada-Nya.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 171]
Demikianlah gambaran keluarga Imran sebagaimana yang diabadikan dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad ﷺ. Maka, sudah sepatutnya kita mengambil pelajaran dari keluarga mulia ini.
Pelajaran bagi Keluarga Muslim
Berdasarkan penjelasan-penjelasan sebelum ini, jelas bahawa keluarga Imran merupakan sebuah keluarga yang sangat istimewa. Mereka dikurniakan keistimewaan oleh Allah SWT agar umat Islam dapat mengambil ibrah daripadanya. Berikut adalah beberapa ibrah penting yang boleh dijadikan panduan oleh keluarga Muslim:
- Keluarga Imran adalah keluarga yang bersikap dan berakhlak mulia
Kejayaan keluarga Imran dalam mendidik ahli keluarganya dapat dilihat melalui sikap dan karakterisktik yang dimiliki oleh mereka. Keluarga Imran adalah keluarga yang bersikap dan berperilaku mulia, satu perkara yang diakui oleh masyarakat pada zaman tersebut. Firman Allah SWT:
يٰٓاُخْتَ هٰرُوْنَ مَا كَانَ اَبُوْكِ امْرَاَ سَوْءٍ وَّمَا كَانَتْ اُمُّكِ بَغِيًّا ۖ
“Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat (pelacur)!” [TMQ Maryam (19): 28]
- Seorang ibu yang mempersiapkan anaknya sejak dalam kandungan
Betapa pentingnya peranan seorang wanita sebagai bakal ibu kelak. Mempersiapkan seorang wanita menjadi ibu yang baik bermakna menyiapkan satu generasi istimewa. Sebaliknya, kegagalan dalam mendidik wanita menjadi isteri dan ibu yang baik merupakan petanda kegagalan membentuk generasi yang baik.
Isteri Imran dikenali sebagai seorang wanita solehah dan sangat taat dalam beribadah. Usaha beliau untuk mempersiapkan zuriat dengan sangat baik diabadikan dalam Al-Quran surah Ali Imran ayat 35,
اِذْ قَالَتِ امْرَاَتُ عِمْرَانَ رَبِّ اِنِّيْ نَذَرْتُ لَكَ مَا فِيْ بَطْنِيْ مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّيْ ۚ اِنَّكَ اَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu (untuk menjadikan) anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (daripada segala urusan dunia demi berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah daripadaku; sesungguhnya Engkau Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Kesolehan isteri Imran tergambar jelas dalam ayat ini. Beliau memohon kepada Allah agar anak dalam kandungannya menjadi hamba yang taat, terpilih, dan mendapat penjagaan serta bimbingan daripada Allah SWT. Ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh doa dan harapan seorang ibu terhadap perkembangan dan jiwa anak-anak.
Ayat ini juga menunjukkan bahawa fasa kehamilan adalah suatu tahap yang sangat penting. Mengabaikannya bererti kehilangan satu fasa yang penting. Ayat ini mengajarkan keluarga Muslim agar para isteri sentiasa menyematkan harapan mulia dan mendoakan janin yang dikandung dengan harapan semulia isteri Imran, supaya kelak menjadi insan yang soleh dan mulia.
- Tidak Berputus Asa dalam Mengharap kepada Allah Taala
Daripada Surah Ali ‘Imran ayat 35, kita dapat meneladani sifat seorang isteri yang tidak pernah berputus asa dalam berharap kepada Allah SWT. Hannah terus berdoa kepada Allah kerana dia tidak dikurniakan seorang anak lelaki sehingga saat dia telah menopause.
Suatu hari, saat dia sedang berteduh di bawah sepohon pokok, beliau melihat seekor induk burung yang memberi makan anak-anaknya. Keinginan untuk memiliki anak lelaki kembali muncul. Kemudian, beliau memohon kepada Allah SWT agar permohonannya dimakbulkan. Dengan izin Allah, doa Hannah diterima, dan beliau kembali mengalami haid dan beliau memberitahu akan hal itu kepada suaminya, Imran. Tidak berapa lama, beliau hamil. Namun, bayi yang dilahirkannya adalah seorang perempuan.
Ternyata, ketentuan Allah berbeza dengan harapan awalnya. Hannah melahirkan seorang anak perempuan, yang menyebabkan beliau merasa sedikit gelisah. Namun begitu, beliau tetap menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Hal ini diabadikan dalam surah Ali Imran ayat 36,
“Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan sedangkan Allah lebih mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu. Anak lelaki tidaklah sama dengan anak perempuan; dan sesungguhnya aku telah menamakannya Maryam serta aku melindunginya (Maryam) dengan peliharaan-Mu, dan juga zuriat keturunannya daripada syaitan yang direjam (yang dikutuk dan disingkirkan).”
- Memberikan Nama yang Baik dan Memilih Pembimbing yang Baik
Apabila bayi yang dikandung telah lahir, Hannah menamakan anak perempuannya itu dengan nama yang telah dirancang bersama suaminya, iaitu Maryam, satu nama yang penuh dengan harapan agar menjadi insan yang taat dan dekat dengan Allah SWT. Bersama nama tersebut, mereka menyertakan doa agar anak itu dilindungi daripada godaan syaitan.
Seterusnya, kedua-duanya mempersiapkan pembimbing yang terbaik untuk Maryam. Bagi mewujudkan generasi yang mulia, mereka memilih guru dan pembimbing yang bijaksana dan soleh buat puteri mereka. Hannah meminta Nabi Zakaria agar membimbing Maryam menjadi manusia yang dekat dengan Allah Taala.
Khatimah
Keluarga Imran memang bukan dari kalangan para Nabi dan Rasul. Mereka adalah daripada golongan manusia biasa. Namun, mereka merupakan insan-insan yang telah diistimewakan oleh Allah SWT, sehingga nama keluarga Imran diabadikan di dalam Al-Quran. Dengan meneliti ayat-ayat dalam surah Ali Imran ayat 33 hingga 37, terdapat begitu banyak ibrah yang boleh kita ambil daripada kehidupan keluarga ini. Segala ikhtiar yang dilakukan oleh Imran dan Hannah bermula daripada perancangan yang rapi, doa-doa terbaik dan permohonan yang tidak pernah putus, pemberian nama yang terbaik, penyediaan persekitaran yang sesuai serta pemilihan pembimbing yang tepat, akhirnya mendapat keredhaan Allah SWT. Allah menerima segala usaha keluarga ini dengan memberikan perhatian, mencukupkan keperluan, membimbing serta memelihara Maryam dalam setiap fasa kehidupannya. Maryam merupakan seorang wanita yang dipelihara kesuciannya oleh Allah SWT. Daripada rahimnya, lahirlah Nabi Isa AS, seorang nabi yang mulia.
Kisah keluarga Imran juga menyampaikan satu mesej penting kepada para ibu bapa hari ini agar mempersiapkan generasi yang terbaik dengan perancangan yang terbaik sejak awal. Ia mengajak setiap ibu bapa agar mula membina cita-cita mulia untuk anak-anak mereka, bahkan sejak pasangan suami isteri merancang untuk memiliki zuriat. Setelah itu, ibu bapa hendaklah memberikan nama yang baik kepada anak-anak, sesuai dengan harapan dan cita-cita yang ingin dicapai. Dengan langkah-langkah ini, setiap ibu bapa akan lebih ikhlas dalam membersamai anak dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anaknya. Wallahu a‘lam bis-sawab.
Sumber: https://muslimahnews.net/2023/12/13/25487/
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#KeluargaAl-Quran #KeluargaImran