Penjagaan Imaduddin Zanki Atas Hak Rakyatnya
Imaduddin Zanki sangat menjaga keadilan di tengah rakyatnya. Beliau berpesan kepada para pegawainya agar memperhatikan rakyat, serta melarang adanya pungutan yang memberatkan, buruh paksa, atau tindakan yang menyusahkan rakyat. Beliau adalah pemimpin yang baik dalam perilaku, sangat tegas, dan pandai mengatur urusan. Rakyatnya hidup dalam keamanan secara menyeluruh sehingga orang kaya tidak boleh menzalimi orang lemah.
Beliau juga melarang para pengikutnya untuk membeli dan memiliki banyak tanah peribadi. Menurutnya, cukup dengan tanah hasil pemberian (iqthā‘) sahaja. Sebab, jika tanah-tanah yang luas itu dikuasai oleh penguasa atau orang-orang kelilingnya (kerabatnya), biasanya mereka akan menzalimi penduduknya, melampaui batas, dan merampas hak-hak mereka. Disebabkan keadilan dan kebijaksanaannya inilah, banyak orang memilih untuk tinggal di wilayahnya dan menjadikannya sebagai tempat menetap.
Di antara keadilannya adalah ketika dia berjaya menawan kota Ma‘arrat dari pasukan Salib. Saat itu, penduduk datang menuntut kembali harta dan tanah mereka. Imaduddin Zanki yang bermazhab Hanafi berpegang pada pendapat Imam Abu Hanifah, iaitu: jika orang kafir menguasai suatu wilayah kaum muslimin, maka kepemilikan harta yang ada di dalamnya gugur, kerana wilayah itu telah menjadi “darul harb”. Jika wilayah itu kembali dikuasai oleh kaum muslimin, maka seluruh harta dan tanah yang ada di dalamnya menjadi milik Baitul Mal.
Maka, ketika penduduk menuntut harta mereka, Zanki meminta fatwa kepada para ulama. Para ulama pun menjawab sesuai dengan mazhab itu, bahawa semua harta dan tanah adalah milik Baitul Mal, dan pemilik lama tidak mempunyai hak lagi ke atasnya.
Namun, Zanki berkata: “Jika orang-orang Franka (al-Faranj) merampas harta mereka, lalu kita pun melakukan hal yang sama, apa bezanya kita dengan orang Franka? Siapa saja yang dapat menunjukkan bukti tertulis bahawa dia adalah pemilik suatu tanah, maka ambillah kembali.”
Akhirnya, semua harta dan tanah dikembalikan kepada pemiliknya, dan Zanki tidak mengambil sedikit pun darinya.
Sumber: “Ad-Daulah az-Zankiyyah” – Prof. Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi
#PemimpinAdil #PemimpinTeladan #inspirasi #HakRakyat