Usamah bin Zaid, Panglima Termuda dalam Sejarah Islam yang Dikasihi Nabi SAW
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Usamah bin Zaid merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang lahir daripada pasangan yang istimewa. Ayahnya, Zaid bin Harithah, ialah sahabat yang paling dikasihi oleh Rasulullah SAW. Zaid pernah diangkat sebagai anak oleh Nabi. Beliau tetap setia mendampingi Rasulullah SAW dalam suka mahupun duka hingga akhir hayatnya. Ibunya, Ummu Aiman Barakah al-Habsyiyah, ialah wanita mulia yang mengasuh Rasulullah ketika kecil selepas bonda baginda, iaitu Aminah, wafat. Rasulullah SAW amat menghormati, mengasihi dan menganggap beliau sebagai ibunya sendiri.
Usamah bin Zaid Membawa Kegembiraan
Pada tahun ketujuh sebelum hijrah, dalam suasana perjuangan yang berat untuk menyebarkan Islam, Nabi Muhammad SAW mendapat kegembiraan dengan kelahiran Usamah bin Zaid, putera kepada Zaid bin Harithah dan Ummu Aiman. Usamah membesar dalam limpahan kasih sayang Rasulullah SAW yang melihat pada diri Usamah penyatuan dua insan yang sangat dikasihinya.
Kegembiraan Nabi Muhammad SAW atas kehadiran Usamah bin Zaid turut dikongsi oleh para sahabat. Apabila melihat Nabi Muhammad SAW bergembira, mereka juga turut bergembira. Usia Usamah bin Zaid hampir sama dengan usia cucu Nabi Muhammad SAW, iaitu Hasan bin Ali. Usamah merupakan keturunan Habsyah kerana ibunya ialah orang Habsyah. Dari segi fizikal, Usamah berkulit hitam dan berhidung pesek.
Pada suatu hari, di sebuah sudut rumah Nabi di Madinah kelihatan suatu pemandangan yang mengharukan. Seorang anak kecil duduk di pangkuan Rasulullah di sebelah sisi. Beliau ialah Usamah bin Zaid. Darah istimewa daripada kedua-dua ibu bapanya yang juga istimewa mengalir dalam tubuhnya. Kasih sayang Rasulullah mengalir lebih mendalam lagi dalam jiwanya. Sementara itu, di sebelah sisi yang lain turut duduk Hasan bin Ali, cucu kesayangan baginda. Rasulullah merangkul mereka berdua, lalu mengangkat tangan baginda dan berdoa dengan suara perlahan yang penuh kasih sayang, “Ya Allah, kasihilah kedua-duanya kerana aku mengasihi mereka berdua.”
Berbakti kepada Ibu hingga Akhir Hayat
Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, Usamah pernah menebang pokok kurma miliknya dan mencabut akarnya. Pada waktu itu, harga sebatang pokok kurma sangat mahal, boleh mencecah seribu dirham. Pokok kurma merupakan komoditi yang paling dicari dan menjadi rebutan untuk dijual demi memperoleh keuntungan yang besar. Bahagian pangkal pokok kurma yang berwarna putih dan berlemak boleh dimakan bersama madu.
Jika orang lain akan terus menuju ke pasar selepas menebang pokok kurma, berbeza pula dengan Usamah. Beliau membawa dan memberikan pangkal kurma yang mahal itu kepada ibundanya. Beliau juga memerah kurma menjadi sari buah untuk ibundanya. Usamah amat mengasihi ibundanya.
Melihat perbuatan Usamah, para sahabat berasa hairan, “Usamah, apakah yang engkau lakukan? Sedangkan engkau tahu harga pokok kurma kini mencecah seribu dirham.” Usamah menjawab dengan kata-kata yang mengharukan, “Ibuku memintanya daripadaku. Aku akan memenuhi permintaannya selagi aku mampu melakukannya.” [Ṣifatush Ṣafwah, Jilid 1, hlm. 219].
Demikianlah akhlak Usamah terhadap ibunya. Apa sahaja permintaan ibundanya, tidak pernah ditolaknya untuk memenuhi kehendak wanita yang telah melahirkannya. Inilah bakti seorang anak yang tidak ternilai harganya.
Kehidupan di Medan Jihad
Usamah bin Zaid ketika kecil ialah seorang kanak-kanak yang cerdas, bijaksana dan berani. Beliau mampu menjaga maruah dirinya serta memiliki sifat takwa dan warak yang menjadikannya dikasihi oleh semua orang. Jiwa kepahlawanannya terserlah ketika berlakunya Perang Uhud. Pada waktu itu, beliau bersama anak-anak para sahabat yang lain sangat ingin turut serta dalam peperangan tersebut. Namun, Rasulullah SAW tidak membenarkannya kerana mereka belum cukup umur. Usamah bin Zaid pun pulang dengan air mata membasahi pipinya.
Dalam Perang Khandaq, Usamah bin Zaid yang berusia 15 tahun datang kembali bersama para pemuda daripada kalangan sahabat. Beliau meninggikan kedudukan kakinya agar kelihatan lebih tinggi, sehingga Nabi Muhammad SAW membenarkannya turut serta berjihad.
Dalam Perang Hunain, kaum Muslimin hampir mengalami kekalahan. Usamah bin Zaid turut berperang bersama Abbas, bapa saudara Rasulullah, Abu Sufyan bin al-Harith, sepupu Rasulullah, dan enam orang yang lain. Mereka berjuang dengan penuh semangat sehingga berjaya mengubah kekalahan menjadi kemenangan.
Dalam Perang Mu’tah, Usamah bin Zaid yang berusia 18 tahun berjuang di bawah pimpinan ayahnya, Zaid bin Harithah. Beliau menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri bagaimana ayahnya gugur syahid. Pimpinan kemudian diambil alih oleh Ja’far bin Abu Talib sehingga beliau juga gugur syahid. Seterusnya, Abdullah bin Rawahah menggantikannya sehingga beliau turut gugur dalam peperangan tersebut. Usamah terus berjuang di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid sehingga akhirnya berjaya melepaskan diri daripada tentera Rom.
Usamah bin Zaid, Panglima Termuda dalam Sejarah Islam
Sejarah Islam mencatatkan sejumlah panglima perang yang luar biasa. Mereka berperanan dalam menegakkan kalimah tauhid dan tidak gentar menentang musuh-musuh Allah. Salah seorang daripada mereka ialah Usamah bin Zaid. Sejarah mencatatkan namanya sebagai panglima Muslim termuda kerana pada usia 18 tahun beliau telah menjadi panglima perang terakhir yang dilantik oleh Rasulullah.
Pada ketika itu, Rom Timur (Byzantium) terus mengganggu sempadan Daulah Islam di kawasan berdekatan Syam (Syria). Mereka semakin giat melakukan provokasi apabila mengetahui bahawa Rasulullah SAW sedang sakit di Madinah. Mereka mencetuskan pergolakan di sempadan Syam. Dalam keadaan sakit, Rasulullah SAW tetap memerintahkan kaum Muslimin agar melakukan perlawanan. Untuk menyelesaikan krisis di sempadan Arab–Syam, Nabi SAW melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima perang. Dalam misi ini, pemuda yang cerdas dan berani itu mengetuai sejumlah sahabat yang lain yang lebih senior dari segi usia, termasuk Umar bin al-Khattab.
Beberapa orang sahabat sempat mempersoalkan keputusan Rasulullah SAW ini. Hal ini kerana, menurut penilaian mereka, masih ramai sahabat yang lebih senior dalam pasukan kaum Muslimin, seperti Sa’ad bin Abi Waqqas, Sa’id bin Zaid dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah. Mereka menganggap para sahabat yang lebih senior lebih layak memimpin pasukan menuju ke sempadan Syam. Mendengar pelbagai khabar angin tentang ketidakpuasan hati tersebut, Umar segera menemui Rasulullah dan menyampaikan bahawa terdapat tanggapan yang meremehkan kemampuan Usamah dalam memimpin pasukan. Rasulullah SAW memberikan respons terhadap perkara itu dengan wajah merah, tanda bahawa baginda tidak menyukai hal tersebut.
Kemudian, Rasulullah SAW segera mengumpulkan para sahabat di Masjid Nabawi. Baginda bersabda, “Wahai sekalian manusia, aku mendengar perbincangan mengenai pelantikan Usamah. Demi Allah, sekiranya kamu meragui kepimpinannya, bererti kamu juga meragui kepimpinan ayahnya, Zaid bin Harithah. Demi Allah, Zaid sememangnya layak memegang kepimpinan, begitu juga dengan puteranya, Usamah.”
Rasulullah SAW meneruskan sabdanya, “Jika ayahnya sangat aku kasihi, puteranya juga demikian. Mereka ialah orang-orang yang baik. Hendaklah kamu memandang baik kedua-duanya. Mereka juga merupakan sebaik-baik manusia dalam kalangan kamu.”
Selepas menyampaikan pidatonya, Rasulullah SAW kembali ke rumah baginda. Apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW ini menjadikan kaum Muslimin tidak lagi dilanda keraguan. Akhirnya, mereka semua menyokong kepimpinan Usamah bin Zaid dan bergabung bersama pasukan yang dipimpin oleh pemuda tersebut.
Sebelum berangkat ke medan perang, Usamah terlebih dahulu menemui Rasulullah SAW yang masih sakit. Beliau mencium wajah baginda. Kemudian, Nabi SAW mengusap kepala putera Zaid bin Harithah itu dan mendoakannya.
Pasukan kaum Muslimin belum jauh meninggalkan Madinah ketika berita kewafatan Rasulullah SAW sampai kepada mereka. Akibatnya, Usamah menghentikan pergerakan pasukannya. Seterusnya, beliau segera menuju ke rumah Rasulullah SAW bersama Umar dan Abu Ubaidah. Melalui musyawarah yang masih diselubungi kesedihan, kaum Muslimin bersetuju melantik Abu Bakar sebagai pengganti kepimpinan (khalifah) Rasulullah. Abu Bakar kemudian meminta Usamah kembali memimpin pasukan dan berangkat ke sempadan Syam, sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW sebelum ini.
Bersama pasukannya, Usamah bergerak pantas meninggalkan Madinah menuju ke sempadan Syam. Setelah melalui beberapa kawasan yang masih memeluk Islam, akhirnya mereka tiba di Wadilqura. Dengan strategi peperangan yang matang, pemuda ini berjaya memimpin pasukan kaum Muslimin. Mereka mengalahkan musuh dalam tempoh yang agak singkat.
Selepas 40 hari berlalu, mereka kembali ke Madinah. Usamah bin Zaid kembali dengan menunggang pelana yang pernah digunakan oleh ayahnya ketika terbunuh. Usamah bin Zaid dan pasukannya pulang membawa ghanimah yang melampaui jangkaan manusia. Sebahagian orang berkata, “Tidak pernah ada pasukan yang lebih selamat dan membawa ghanimah lebih banyak daripada pasukan Usamah bin Zaid.” Kemenangan ini membawa perasaan syukur dan kegembiraan. Lebih-lebih lagi, tidak ada korban jiwa yang gugur daripada kalangan kaum Muslimin. Sejak kejayaan misi ini, putera Ummu Aiman tersebut semakin disegani oleh para sahabat.
Pengajaran Berharga
Usamah bin Zaid telah tiada, tetapi kisahnya tetap hidup. Beliau ialah panglima perang yang masih muda dan dikasihi oleh Nabi SAW, namun beliau tetap rendah hati dan tidak sombong. Beliau ialah putera kepada dua insan mulia yang tetap berbakti kepada ibunya hingga akhir hayat. Beliau mengajarkan bahawa kecintaan kepada Nabi harus dizahirkan melalui ketaatan, keadilan mesti ditegakkan walaupun terhadap orang yang kita kasihi, nyawa manusia sangat berharga di sisi Allah, dan berbakti kepada ibu bapa merupakan amalan yang tidak ternilai harganya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT, “Dan orang-orang yang beriman dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka (di dalam syurga), dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Setiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” [TMQ aṭ-Ṭūur (52): 21].
Demikianlah kisah Usamah bin Zaid, panglima perang berusia muda yang dikasihi Nabi. Kasih sayang Rasulullah SAW kepada Usamah bukan lagi suatu rahsia. Di tengah-tengah ribuan sahabat yang mulia, Usamah disebut sebagai orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah. Sesungguhnya, ini merupakan suatu penghormatan yang tidak ternilai harganya. Kasih sayang ini bukan sahaja diucapkan, tetapi turut ditunjukkan oleh Rasulullah melalui tindakan baginda dalam kehidupan sehari-hari. Bahkan, Aisyah diminta untuk turut mengasihi Usamah. Rasulullah SAW bersabda:, “Wahai Aisyah, cintailah Usamah kerana sesungguhnya aku mencintainya.” [HR At-Tirmidzi].
Semoga Allah meredhai Usamah bin Zaid, serta menghimpunkan kita bersamanya, juga bersama ayahandanya, ibundanya dan Rasulullah SAW di dalam syurgaNya yang kekal abadi. Amin.
#PemudaMuslim #KisahSahabat #TeladanUmmah #AnakSoleh #KeperibadianPemudaIslam