[Mafahim Islamiyyah] Hak-Hak Syarie Manusia dalam Islam (Bahagian 4/6)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Nabi SAW bersabda, “Sesiapa sahaja yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.”
Semua ini adalah kerana akidah Islam yang telah dianutinya itu sesuai dengan fitrah manusia dan memuaskan akal manusia. Oleh itu, kemurtadan manusia meninggalkan akidah Islam telah melanggar fitrah Islam dan menyalahi akal. Murtad adalah penyakit kronik yang mesti dibuang dari akar umbinya agar penyakit berjangkit itu tidak menular ke seluruh masyarakat.
Semua ini adalah untuk menjaga agama Allah yang diredhai-Nya untuk manusia dan Allah telah memuliakan manusia dengan agama ini. Islam telah menetapkan hukum-hukum untuk menjaga agama, seperti mengemban dakwah Islam, menolak sikap sembarangan dalam agama, serta mewajibkan jihad untuk melawan institusi-institusi kafir dan untuk menyebarkan agama.
Allah SWT berfirman, “Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu semata-mata untuk Allah.” [TMQ Al-Baqarah (2): 193].
Menjaga agama seorang Muslim adalah hak dari hak-hak syarak. Dia membela agama itu dengan jiwa dan hartanya, manakala negara membela agama itu dengan sistem dan kekuatannya.
Kedua: Menjaga Jiwa
Islam telah menetapkan syariat yang dapat menjaga kelangsungan hidup manusia. Oleh kerana itu, Islam telah melarang membunuh dan bertindak sembarangan. Islam menetapkan qisas untuk mengekalkan kelangsungan hidup. Allah SWT berfirman, “Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagi kalian.” [TMQ Al-Baqarah (2): 179].
Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah akan mengazab orang-orang yang mengazab jiwa di dunia.” (HR Muslim dan Abu Dawud daripada Hisyam bin Hakim bin Hizam).
Islam telah memubahkan (membolehkan) bagi manusia sebahagian perkara yang telah diharamkan kepada mereka supaya manusia itu dapat menjaga jiwanya daripada kebinasaan. Allah SWT berfirman, “… Tetapi siapa sahaja dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedangkan dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. …” [TMQ Al-Baqarah (2): 173].
Allah SWT telah memberikan hak kepada manusia untuk berperang kerana membela jiwanya. Nabi SAW bersabda, “Dan siapa sahaja mati kerana membela darah (jiwa)nya, maka dia mati syahid. …”
Ketiga: Menjaga Akal
Islam telah meletakkan akal pada tempatnya yang tinggi dan sepatutnya. Islam juga telah menjadikan akal sebagai objek hukum (manaathut takliif). Islam menggalakkan manusia untuk menggunakan akal, serta menuntut tadabbur dan tafakur agar dapat sampai kepada akidah yang benar sehingga akal merasa puas dengan akidah itu.
Islam telah menuntut akal untuk berijtihad agar dapat sampai kepada hukum syarak. Islam juga telah mengangkat darjat ulama. Allah SWT berfirman, “Katakanlah, ‘Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’” [TMQ Az-Zumar (39): 9].
Islam telah mengharamkan setiap perkara yang boleh merosakkan aktiviti akal, seperti meminum arak, menggunakan dadah, dan menjadi tukang sihir. Islam telah mengenakan hukuman kepada orang yang melakukan perbuatan tersebut. Semua ini untuk memelihara akal.
Keempat: Menjaga Keturunan
Islam telah menganjurkan memperbanyak keturunan. Oleh kerana itu, Islam menganjurkan mengahwini perempuan yang mencintai suaminya dan subur, mengharamkan pemandulan (proses menjadi mandul), menganjurkan memelihara keturunan, mengharamkan zina, dan menetapkan hukuman yang dapat membuat pelakunya insaf.
Islam mewajibkan nafkah kepada ibu bapa, lelaki dan menggalakkan memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak, terutamanya anak-anak perempuan. Ini kerana, mereka akan menjadi isteri, sedangkan isteri merupakan rukun dasar dalam membina keluarga dan mendidik anak-anaknya.
Nabi SAW bersabda, “Siapa sahaja yang mempunyai seorang anak perempuan, lalu dia mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan dia mengajarinya dengan pengajaran yang baik, maka anak perempuan itu menjadi perisai baginya daripada neraka pada hari kiamat.”
Jadi, Islam telah memberikan hak kepada seorang Muslim untuk memilih isterinya, mendidik anak-anaknya, dan menjaga keturunannya mengikut hukum-hukum Islam.
Kelima: Menjaga Harta Benda
Islam telah membolehkan manusia memperoleh harta benda. Islam juga telah mensyariatkan bagi manusia sebab-sebab pemilikan dan menggalakkan pengembangan harta dengan metode-metode syarie. Pada masa yang sama, Islam telah menjadikan hak bagi orang-orang fakir dalam harta orang-orang yang kaya dan melarang mengambil harta milik orang lain, kecuali dengan persetujuannya.
Islam telah mensyariatkan hukum-hukum untuk menjaga harta benda dan untuk mengekalkan pemilikan individu. Islam melarang mencuri dan menetapkan hukuman pencegahan baginya, iaitu memotong tangan pencuri. Islam melarang kemusnahan harta benda dan mensyariatkan pengawasan (hijr) terhadap orang bodoh, orang gila, dan orang yang masih di bawah umur untuk menjaga harta benda mereka.
Islam telah menetapkan hukum-hukum tertentu bagi setiap pemilikan umum, pemilikan negara, dan kepemilikan individu supaya hak harta benda dapat sampai kepada setiap manusia dari semua rakyat negara Islam.
Keenam: Menjaga Kehormatan
Allah SWT telah memuliakan manusia semenjak dia diciptakan. Allah menyuruh malaikat agar bersujud (hormat) kepada Adam. Allah SWT berfirman, “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkat mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [TMQ Al-Isra’ (17): 70].
Allah SWT telah menundukkan semua makhluk kepada manusia. Allah SWT berfirman, “Tidakkah kalian memperhatikan, sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk kepentingan kalian apa yang di langit dan apa yang di bumi.” [TMQ Luqman (31): 20].
Islam juga menegaskan kemuliaan, kehormatan, dan harga diri bagi manusia beserta kemuliaan darah dan harta benda. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas kalian darah kalian, harta benda kalian, dan kehormatan kalian.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #HakSyarie #HukumSyarak