[Mafahim Islamiyyah] Hak-Hak Syarie Manusia dalam Islam (Bahagian 5/6)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Islam melarang memukul manusia tanpa hak dan menakutkan orang yang memukul manusia secara zalim dengan mendapat laknat. Islam telah melarang menyakiti secara maknawi kepada manusia. Islam juga melarang mempersendakan, mengejek manusia, dan mengumpat mereka.
Islam telah melarang mengumpat, memfitnah, saling mencela, dan memberi gelaran yang buruk. Islam telah menetapkan had sebanyak 80 sebatan kepada orang-orang yang mencemarkan nama baik perempuan-perempuan suci dan terpelihara dengan perilaku zina. Islam juga menetapkan hukuman berbentuk takzir kepada orang yang mencemarkan kehormatan manusia atau bersaksi secara palsu terhadap mereka.
Islam bukan hanya menjaga kehormatan manusia ketika dia hidup. Malah Islam menjamin kehormatannya selepas dia meninggal dunia. Islam telah mensyariatkan memandikan, mengkafankan, dan menguburnya. Islam melarang berlaku kezaliman ke atas tubuhnya.
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Mematahkan tulang mayat itu seperti mematahkannya ketika masih hidup.” (HR Abu Dawud).
Ketujuh: Menjaga Keselamatan
Islam telah mensyariatkan had untuk memerangi orang-orang yang mengganggu keselamatan, iaitu orang-orang yang melakukan rompakan dan secara sembarangan merampas harta benda dan nyawa, serta menakut-nakutkan manusia.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya balasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, ialah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya).” [TMQ Al-Mâidah (5): 33].
Islam telah mensyariatkan hukuman dalam bentuk takzir yang menjadi penghalang kepada orang-orang yang merosakkan keselamatan dengan cara memfitnah atau membuat keresahan dan ketakutan kepada masyarakat. Nabi SAW bersabda, “Orang-orang yang menimbulkan ketakutan itu di neraka.”
Beliau juga bersabda, “Sesiapa sahaja memberi isyarat kepada saudaranya dengan senjata tajam, maka malaikat melaknatnya.”
Dalam sistem Islam, seorang Muslim mempunyai hak untuk hidup dengan aman, sama ada nyawa, harta, keluarga, dan maruah diri.
Kelapan: Menjaga Negara
Islam telah mewajibkan kepada umat Islam agar mereka mempunyai negara yang memerintah mereka mengikut hukum yang telah diturunkan oleh Allah dan mengemban risalah Islam kepada semua manusia. Islam telah mewajibkan kepada umat Islam supaya mereka melantik satu khalifah sahaja. Kemudian umat Islam membaiatnya agar menerapkan undang-undang mengikut Kitabullah dan sunnah rasul-Nya. Islam melarang umat Islam hidup lebih daripada tiga hari tanpa khalifah dan tanpa negara Islam.
Islam telah mengenakan hukuman yang berat terhadap sesiapa saja yang mengabaikan atau melalaikan masalah tersebut. Rasulullah SAW bersabda, “Dan barang siapa yang mati sedangkan pada lehernya tidak ada baiat, maka dia mati dalam jahiliah.”
Sesungguhnya para sahabat telah selesai mengebumikan Rasulullah SAW kerana untuk memelihara negara. Mereka kemudian membaiat Abu Bakar as-Siddiq RA menjadi khalifah Rasulullah SAW sebelum baginda dikebumikan. Menurut mereka, masalah negara yang menguruskan urusan umat Islam dengan Islam adalah amat mendesak.
Negara ini juga menjaga sempadan negara, menerapkan hudud, dan menjaga jiwa. Oleh kerana itu, perlu ada sebuah negara yang menguruskan urusannya dengan Islam yang telah diimaninya sebagai akidah dan sistem kehidupannya adalah hak seorang Muslim. Sesungguhnya Islam telah menjamin hak ini. Islam telah menjadikan usaha mendirikan negara Khilafah sebagai fardhu kifayah. Ini adalah kewajipan yang paling agung dan besar di antara fardhu-fardhu yang lain, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh nas-nas syarak.
Keperluan-keperluan (Haajiyaat)
Adapun keperluan-keperluan (al-haajiyaat) adalah perkara-perkara yang diperlukan oleh manusia untuk meringankan kesusahan dan untuk meringankan beban hidup yang berat. Dari segi ibadah, Islam telah membebani mereka dengan ibadah yang mampu dilaksanakan.
Islam telah mensyariatkan keringanan-keringanan (rukhsah) kepada mereka sebagai keringanan apabila penerapan hukum dalam salah satu situasi atau keadaan mengandungi keberatan (masyaqah) bagi mereka.
Dalam urusan ibadah, Islam telah membolehkan bagi musafir atau orang sakit untuk berbuka pada bulan Ramadhan. Islam juga membenarkan orang yang tidak mampu solat berdiri untuk duduk, dan sebagainya.
Dalam soal makanan, Islam telah menghalalkan makanan yang baik-baik untuk mereka. Sebaliknya, Islam mengharamkan atas mereka makanan yang buruk-buruk. Islam memudahkan mereka yang dipaksa (mudhthar) untuk memakan sesuatu yang diharamkan ke atasnya kerana ia memelihara kehidupan mereka daripada kebinasaan.
Allah SWT berfirman, “Maka sesiapa sahaja yang terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja melakukan dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ Al-Maidah (5): 3].
Bagi hukuman dalam Islam, Islam telah membuat kaedah, “Hudud itu boleh ditolak dengan syubuhat.”
Islam juga telah menetapkan diyat dalam pembunuhan tanpa disengajakan sebagai peringatan bagi orang yang membunuh.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #HakSyarie #HukumSyarie