[Mafahim Islamiyyah] Hak-Hak Syarie Manusia dalam Islam (Bahagian 6/6)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Perbaikan-Perbaikan (Tahsiinaat)
Tahsinaat adalah kumpulan perkara yang memperbaiki keadaan manusia dan menjadikan keadaan itu sesuai tuntutan kehidupan yang mulia dan terhormat, seperti menjaga kehormatan (maruah) dan etika-etika yang luhur. Oleh kerana itu, dalam urusan ibadah, Islam telah mensyariatkan bersuci pada badan, pakaian, dan tempat.
Islam telah menganjurkan berhias setiap kali ke masjid, iaitu setiap kali melaksanakan solat. Dalam muamalah, Islam melarang penipuan, percampuran, dan pengkhianatan. Islam juga menggalakkan sikap toleransi dan amanah.
Dalam peperangan, Islam melarang membunuh paderi, kanak-kanak kecil, dan wanita yang tidak ikut serta memerangi umat Islam. Islam juga melarang mencincang, berkhianat, serta membunuh duta-duta dan orang-orang yang tidak ikut berperang, seperti petani dan buruh.
Dalam soal hukuman, Islam telah melarang penyeksaan dalam soal-siasat dan Islam memerintah pelaksanaan hukuman dengan sebaik-baiknya.
Dalam masalah etika, Islam menuntut sifat jujur, iffah (menjauhi hal-hal yang tidak baik), dan amanah. Islam melarang dusta, ucapan yang kotor, dan khianat. Semua ini dapat mewujudkan kasih sayang, saling menghormati, dan saling mempercayai antara individu dalam masyarakat.
Keperluan-keperluan dan perbaikan-perbaikan ini akan menyempurnakan dan memuliakan hal-hal yang merupakan kewajipan. Dengan demikian, semua ini dapat membantu seorang Muslim menjalani hidup secara selamat, mulia, dan terhormat.
Oleh kerana itu, apabila umat Islam mahukan suatu kebangkitan, kejayaan, dan kehidupan yang penuh keimanan dan kemuliaan, mereka mesti kembali kepada agama mereka yang benar. Mereka juga hendaklah sentiasa mencari jawapan daripada sumber-sumber dan nas-nas agama dalam setiap masalah kehidupan yang mereka hadapi, serta dalam setiap peristiwa dan istilah yang dijumpai. Dengan demikian, mereka dapat mencari solusi yang memuaskan dan terperinci mengenai agama.
Umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan slogan-slogan palsu dan istilah-istilah Barat yang memukau. Sesungguhnya, pemikiran Islam adalah pemikiran mulia yang memancar daripada wahyu Allah Taala. Sebaliknya, pemikiran Barat yang kapitalistik adalah pemikiran buatan yang telah dibina oleh manusia atas dasar akidah kufur.
Betapa jauhnya kedua-dua pemikiran itu. Allah SWT berfirman, “Adakah mereka berkehendak lagi kepada hukum jahiliah? Padahal bagi orang yang benar-benar yakin (kepada Allah) – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.” [TMQ al-Maidah (5): 50].
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #HakSyarie #HukummSyarak