Kepentingan Strategik Geopolitik Sudan
(Terjemahan)
Sudan adalah sebuah negara yang memiliki kepentingan geopolitik yang sangat besar, dibentuk oleh luasnya daratan, sumber semulajadi yang banyak, dan lokasinya yang menempatkannya di tengah-tengah laluan perdagangan dan politik terpenting di dunia. Walaupun berdepan dengan ketidakstabilan politik selama berdekad-dekad, Sudan tetap menjadi tumpuan kuasa besar serantau dan global kerana kedudukan strategiknya dan potensinya yang masih belum diterokai sepenuhnya. Kepentingannya bukan hanya kontemporari, tetapi juga pada masa lalu secara sejarahnya, khususnya ketika ia menjadi sebahagian daripada Khilafah Islam (daulah) yang agung, di mana ia memainkan peranan penting dalam menghubungkan dan menguatkan dunia Islam yang lebih luas. Dan kepentingannya akan tetap kekal pada masa hadapan, apabila Khilafah kembali.
Kedudukan geografi Sudan adalah antara aset strategik terbesarnya. Terletak di timur laut Afrika, Sudan bersempadan dengan tujuh negara: Mesir, Libya, Chad, Republik Afrika Tengah, Sudan Selatan, Ethiopia, dan Eritrea. Ini menjadikannya sebagai penghubung utama antara Afrika Utara, rantau Sahel, dan Afrika Sub-Sahara. Sudan juga mempunyai garis pantai yang signifikan di sepanjang Laut Merah, berhadapan secara langsung dengan Semenanjung Arab dan berhampiran Selat Bab al-Mandeb, salah satu titik `chokepoints’ laluan maritim paling kritikal di dunia.
Selat Bab al-Mandeb menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan Laut Arab, menjadikannya koridor penting bagi perdagangan antarabangsa dan penghantaran minyak. Hampir 10% daripada minyak dunia yang dihantar melalui laut melintasi laluan sempit ini. Kedekatan Sudan dengan laluan air ini menjadikannya lokasi strategik yang diidamkan kuasa-kuasa global yang mahu menguasai laluan maritim dan logistik tentera laut. Kawalan atau pakatan dengan Sudan mampu memberi pengaruh besar dalam mengurus keselamatan Laut Merah dan aliran perdagangan antara Asia, Eropah, dan Afrika.
Selain itu, Sudan kaya dengan sumber semula jadi yang meningkatkan lagi nilai geopolitiknya. Ia merupakan antara pengeluar emas terbesar di Afrika, dengan kekayaan mineral termasuk kromium, mangan, zink, bijih besi, dan uranium. Walaupun pemisahan Sudan Selatan pada tahun 2011 telah membawa pergi sebahagian besar telaga minyak, Sudan masih memiliki simpanan minyak dan gas yang signifikan, khususnya di bahagian timur dan kawasan sempadan.
Tambahan pula, Sudan mempunyai kawasan tanah pertanian subur yang luas serta menjadi lokasi bagi Sungai Nil Biru dan Nil Putih, memberinya potensi besar dalam pertanian dan pengeluaran makanan. Ia telah lama dilihat sebagai “bakul makanan” bagi Afrika dan dunia Arab. Dengan infrastruktur dan pentadbiran yang baik, Sudan boleh memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan makanan di rantau ini.
Selain geografi dan sumbernya, nilai strategik Sudan yang lebih luas terletak pada pengaruhnya dalam lingkaran politik Afrika dan Arab. Ia berfungsi sebagai jambatan budaya dan ekonomi antara Afrika Utara yang berbangsa Arab dan wilayah Afrika Sub-Sahara yang majoriti Muslim. Kedudukan ini menjadikannya pemain penting dalam diplomasi serantau dan dalam projek-projek yang lebih besar yang bertujuan ke arah integrasi ekonomi atau kesatuan politik.
Kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, serta aktor serantau seperti negara-negara Teluk dan Turkiye, semuanya menunjukkan minat terhadap Sudan, sama ada melalui kerjasama ketenteraan, pelaburan ekonomi, atau pakatan politik. Koridor Laut Merah semakin dipersenjatai, dan wilayah Sudan sering menjadi pusat kepada persaingan ini. Pelabuhan, ruang udara, dan wilayah negara itu menawarkan peluang strategik untuk pengaruh, terutamanya dalam konteks perubahan pakatan global dan kemerosotan dominasi Barat di sesetengah wilayah tertentu.
Kepentingan strategik dan sumber asas semulajadi Sudan jelas terbukti sejak ketika ia menjadi sebahagian daripada Khilafah Islam. Di bawah Khilafah Uthmaniyah, Sudan berperanan sebagai sempadan penting dunia Islam. Pelabuhan-pelabuhan Laut Merahnya sangat kritikal untuk perdagangan dan perjalanan untuk tujuan keagamaan antara Afrika dan Semenanjung Arab, memudahkan laluan haji serta pertukaran ekonomi dalam kalangan ummah.
Tanah subur dan kekayaan mineral Sudan menyokong pembangunan tempatan dan perdagangan serantau, manakala integrasinya ke dalam Khilafah membolehkan ia mendapat manfaat serta menyumbang kepada sistem ekonomi dan perundangan Islam yang lebih luas. Pada zaman ini, pemerintahan Islam menyatukan kumpulan etnik dan suku yang berbeza di bawah panji Islam, menerapkan hukum syariah serta mempromosikan keadilan dan kestabilan. Kedudukan Sudan sebagai pos (kawasan terdepan) selatan Khilafah membolehkannya berfungsi sebagai titik mula pelancaran dakwah Islam yang menjangkau sehingga ke Afrika Sub-Sahara, sekaligus menguatkan kesatuan berdasarkan ideologi dan spiritual dunia Islam.
Semua potensi strategik dan berasaskan sumber Sudan yang begitu besar hanya boleh dimanfaatkan dengan benar dan adil di bawah sebuah Negara Islam, yakni Khilafah. Hanya melalui penerapan sistem Islam yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah, kekayaan, geografi, dan pengaruh Sudan dapat diuruskan dengan cara yang memberi manfaat kepada kepentingan rakyatnya, dan bahkan lebih luas kepada seluruh ummah.
Ketidakstabilan politik yang berulang, kejatuhan ekonomi, campur tangan asing, dan perpecahan dalaman yang dialami Sudan adalah akibat langsung daripada ketiadaan Khilafah. Tanpa kepimpinan Islam yang menyatukan dan mentadbir dengan hukum Ilahi, negara ini akan terus terdedah kepada eksploitasi kuasa asing dan manipulasi oleh puak-puak berasaskan sekular, kesukuan, atau ideologi. Khilafah akan memastikan perlindungan terhadap kedaulatan Sudan, menyatukan rakyatnya di bawah satu akidah, dan mengarahkan kedudukan strategik serta kekayaan semula jadinya untuk mengangkat seluruh dunia Islam, bebas daripada pengaruh penjajah dan kekacauan dalaman.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Sumaya Bint Khayyat
#Sudan #KrisisSudan #SudanCrisis