[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 2
Masalah 1 : Tidak Mempedulikan Pasangan
Refleksi:
Dalam sebuah kisah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sanadnya daripada Aun bin Abu Juhaifah dari ayahnya, dia berkata, “Nabi SAW mempersaudarakan Salman dengan Abu Darda. Suatu Ketika, Salman mengunjungi Abu Darda, dia melihat Ummu Darda dalam keadaan kusut. Salman bertanya kepadanya, “Apa yang berlaku denganmu?”
Tidak lama kemudian Abu Darda’ datang dan menyambut Salman, lalu menghidangkan makanan. Salman berkata kepadanya, “Makanlah!” “Aku sedang berpuasa,” jawab Abu Darda’. Salman menegaskan, “Aku tidak akan makan melainkan engkau makan bersamaku.” Maka Abu Darda’ pun berbuka dan makan bersamanya.
Pada malam itu Salman bermalam di rumah Abu Darda’. Ketika tiba tengah malam, Abu Darda’ bangun untuk solat, tetapi Salman menahannya. Salman berkata, “Sesungguhnya tubuhmu ada hak ke atas dirimu, Tuhanmu juga mempunyai hak ke atasmu, demikian juga keluargamu mempunyai hak ke atasmu. Oleh itu, berpuasalah dan berbukalah, bangunlah beribadat dan tidurlah, serta berikanlah kepada setiap orang yang berhak akan haknya.”
Apabila masuk waktu Subuh, Salman berkata kepadanya, “Bangunlah sekarang.” Lalu mereka berdua bangun, berwuduk dan menunaikan solat Subuh.
Selepas itu, Abu Darda’ pergi menemui Rasulullah SAW untuk menceritakan apa yang berlaku. Rasulullah bersabda: “Abu Darda, tubuhmu mempunyai hak atas dirimu, seperti apa yang diucapkan Salman kepadamu.” [HR Bukhari]
Pengajarannya, setiap pasangan—baik suami mahupun isteri—perlu menyedari bahawa pasangan mereka adalah sebahagian daripada diri mereka sendiri. Justeru, seorang suami hendaklah peka dan mengambil berat terhadap isterinya, belajar untuk berkongsi suka dan duka yang dilalui bersama. Begitu juga seorang isteri, perlu memberi perhatian dan berkongsi rasa dengan suaminya. Rasulullah SAW telah mengajar kita bahawa setiap hamba Allah wajib menunaikan hak orang lain sebagaimana yang telah ditetapkan oleh-Nya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim