No Justice, No Merdeka
Oleh: Syamsiyah Jamil
Laungan “No Justice, No Merdeka” adalah kisah realiti di dunia nyata dalam bentuk kata-kata. Walaupun laungan ini baru sahaja kedengaran kuat sejak rakyat bangkit membela Justice For Zara, tetapi itu sebenarnya realiti yang telah lama berlaku di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Kadar kemiskinan masih kekal tinggi dalam kalangan rakyat walaupun mencatat penurunan. Perceraian masih meningkat terutama dalam kalangan golongan muda. Jenayah pula berlaku tidak kira tempat, masa, pemangsa dan mangsa, malah berlaku dalam bentuk yang tidak pernah disangka-sangka. Belum lagi mengambil kira krisis politik, perundangan dan kehakiman yang begitu hangat sejak akhir-akhir ini. Jadi, merdekakah kita jika masih hidup dalam persekitaran seperti ini?
Benarlah, tanpa keadilan, mana mungkin ada kemerdekaan. Sejak Khilafah Islam diruntuhkan pada 1924M, keadilan sudah tidak ada lagi. Manusia hidup dalam belenggu perhambaan kepada manusia, bukan lagi menjadi hamba kepada Tuhan yang Maha Esa, pencipta yang Maha Adil.
Manusia tidak lagi tunduk dan patuh pada hukum-hukum Allah SWT. Sistem politik dibangun berasaskan politik Machiavelli, sistem ekonomi dibina berasaskan teori Adam Smith dan sistem perundangan dan peradilan/kehakiman pula berpaksikan undang-undang sivil ciptaan penjajah dan dipaksakan ke atas rakyat Malaysia. Semuanya bukan berasal daripada Islam.
Dalam Forum Undang-undang ASEAN 2025, Datuk Seri Azalina Datuk Othman Said iaitu Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi mengatakan bahawa keadilan adalah hak setiap individu sejak lahir dan bukanlah keistimewaan yang hanya dinikmati oleh segelintir pihak sahaja.
Persoalannya, apakah ukuran keadilan yang digunakan saat ini? Yang pasti, keadilan yang diperjuangkan saat ini hanyalah berasaskan pendapat akal dan nafsu manusia semata-mata. Kerana itulah, saban tahun undang-undang tidak pernah berhenti melalui proses reformasi, pindaan, pengharmonian dan sebagainya.
Pendapat akal manusia memang selalu berubah mengikut hawa nafsu, keadaan, masa dan tempat sehingga tidak mampu menjanjikan keadilan yang sebenarnya bagi setiap individu manusia secara mutlak. Inilah yang diterapkan dalam sistem demokrasi-sekular yang memisahkan peranan agama dalam mengatur kehidupan manusia.
Sebaliknya, keadilan yang sebenar hanya dapat dicapai apabila hukum Allah SWT dilaksanakan di atas muka bumi ini. Tidak akan wujud keadilan selagi mana hukum Allah SWT berdasarkan al-Quran dan Sunnah RasulNya tidak dijadikan undang-undang dalam kehidupan manusia. Firman Allah SWT,
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan…” [TMQ al-Hadid (57):25]
Oleh itu, sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT, umat Islam mesti memerdekakan diri dan kehidupan mereka daripada belenggu sistem ciptaan manusia. Seterusnya kembali menghambakan diri kepada hukum Allah SWT semata-mata untuk mendapatkan keadilan yang sebenarnya. Firman Allah SWT,
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.” [TMQ al-Ma’idah(5): 50]
Rujukan:
- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kajian-unicef-pendapatan-isi-rumah-melonjak-kemiskinan-masih-ketara-469667
- https://asean.bernama.com/news-bm.php?id=2458505
- https://www.hmetro.com.my/rencana/2024/10/1149704/jangan-mudah-menghakimi