Cari Solusi, Atasi Buli, Jangan Berbalah Lagi
Oleh: Syamsiyah Jamil
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilihat menerima kecaman hebat daripada rakyat Malaysia di media sosial sejak akhir-akhir ini. Selain isu kematian adik Zara Qairina, beliau juga dikritik kerana polisi terbarunya untuk melaungkan ‘Kami Benci Buli’ oleh pelajar sekolah dan menawarkan insentif pada sekolah yang berjaya mencatatkan kes sifar buli sebagai langkah untuk mengatasi masalah buli.
Langkah-langkah itu dikritik kerana bukan setakat tidak menyelesaikan masalah, malah boleh membuatkan masalah lagi parah. Orang ramai begitu marah kerana masalah buli sekarang bukan biasa-biasa, ada yang sampai menyebabkan kematian. Ibu bapa merasakan anak-anak mereka sudah tidak selamat lagi berada di sekolah.
Antara yang mengkritik tindakan Menteri Pendidikan tersebut, ramai yang mengutarakan pendapat tentang solusi bagi masalah buli ini. Ada juga yang berbalah, menteri juga tidak mahu mengalah. Pendapat mereka beragam, ditujukan kepada pelbagai pihak berkedudukan, menuntut berbagai perubahan. Tetapi mereka semua mempunyai satu tujuan yang sama iaitu untuk memastikan sekolah kembali menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak menimba ilmu.
Persoalannya, solusi manakah yang sepatutnya dilakukan oleh pemerintah? Solusi manakah yang dituntut dalam Islam terhadap pemerintah?
Memang benar bahawa Islam meletakkan kewajipan dan tanggungjawab kepada ibu bapa untuk mendidik anak sejak kecil. Memang benar ibu bapa yang mencorakkan keperibadian anak-anak. Namun, itu tidak cukup. Masyarakat juga mempunyai tanggungjawab untuk membentuk persekitaran yang kondusif dalam proses pembinaan keperibadian anak-anak melalui kaedah amar makruf nahi mungkar.
Tetapi, yang paling penting adalah peranan dan kewajipan pemerintah atau negara. Rakyat berhak mendapat jaminan keamanan dan kesejahteraan di semua tempat dan pada bila-bila masa dengan cara menerapkan Islam dalam seluruh urusan rakyatnya.
Pertama, negara wajib menerapkan sistem pendidikan Islam. Kurikulumnya wajib berteraskan aqidah Islam. Tujuannya mesti untuk melahirkan generasi yang berkeperibadiaan Islam. Anak-anak dididik menjadi Muslim yang bertaqwa dan mempunyai karakter yang teguh sehingga mampu terhindar daripada berbagai perbuatan kasar, zalim dan kejahatan lainnya termasuk buli.
Islam mengajar kita melindungi orang lain, bukannya menzalimi atau menghina seperti perbuatan buli. Rasulullah SAW bersabda, “Seorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya.” [HR Muslim].
Kedua, negara wajib menutup semua media yang mempunyai unsur kekerasan dan kezaliman. Tujuannya supaya anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif tersebut. Negara wajib mengatur dan memantau semua media agar media hanya digunakan untuk tujuan pendidikan dan dakwah.
Ketiga, negara wajib menerapkan sistem hukuman Islam. Setelah anak-anak dididik untuk menghindari perbuatan buli tetapi masih ada yang melakukannya, maka mereka layak mendapat pengajaran atau hukuman sesuai dengan umur mereka sama ada sudah baligh atau belum.
Jika semua ini dilakukan oleh pemerintah, seluruh generasi dapat dilindungi daripada masalah buli. Pemerintah wajib melaksanakannya secara serius kerana rakyat adalah tanggungjawab mereka dan mereka adalah pelindung rakyat. Rasulullah SAW bersabda,
“Imam (kepala negara) itu adalah pengurus rakyat dan ia akan dimintai pertanggungjawaban atas rakyat yang ia urus.” [HR Muslim dan Ahmad].
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya imam itu laksana perisai, tempat orang-orang berperang di belakangnya dan berlindung kepadanya.” [HR Muslim].
Kesimpulannya, Islam telah menyediakan solusi yang tepat untuk mengatasi masalah buli. Maka, menteri atau rakyat tidak perlu berbalah lagi. Jika pemerintah tidak mahu mengambil Islam sebagai solusi, ini bermakna rakyat tidak mempunyai cara lain selain berjuang menegakkan Khilafah, satu-satunya negara yang akan menegakkan seluruh hukum Islam dalam kehidupan rakyatnya secara pasti, tanpa nanti.