Tiada Penyelesaian bagi Isu Sudan Melainkan dengan Pemerintahan Islam
(Terjemahan)
Sejak kemerdekaannya pada 1/1/1956, Sudan telah menyaksikan beberapa siri rampasan kuasa ketenteraan. Yang pertama ialah percubaan gagal yang diketuai oleh Ismail Kabida, yang cuba menggulingkan kerajaan nasional pertama yang dipimpin oleh Ismail al-Azhari. Ini diikuti oleh rampasan kuasa berjaya pertama yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Ibrahim Abboud pada November 1958 terhadap kerajaan pilihan rakyat pimpinan al-Azhari.
Pada Mei 1969, rampasan kuasa paling terkenal dalam sejarah Sudan berlaku, diketuai oleh Brigadier Jeneral Jaafar Nimeiri bersama sekumpulan pegawai komunis dan nasionalis. Pemerintahannya berlangsung selama 16 tahun. Beliau berdepan dengan beberapa cubaan rampasan kuasa, yang pertama berlaku pada tahun 1971. Pada tahun 1975, Nimeiri berjaya menggagalkan cubaan rampasan kuasa terhadapnya, di mana perancang kudeta itu dihukum bunuh. Percubaan demi percubaan untuk rampasan kuasa terhadap Nimeiri terus berlaku, termasuk dengan percubaan rampasan yang ganas pada Julai 1976, yang membawa kepada pertempuran jalanan di ibu negara, Khartoum, antara pasukan tentera kerajaan dengan kumpulan pemberontak. Namun, percubaan itu juga gagal dan pemimpinnya dihukum bunuh. Tetapi selepas semua cabaran ini, pada April 1985, pemerintahan Nimeiri tidak dapat bertahan menghadapi kebangkitan rakyat. Dia digulingkan.
Fil Marsyal Abdel Rahman Swar al-Dahab, Menteri Pertahanan ketika itu, mengambil alih jawatan Presiden Majlis Tentera Peralihan. Beliau merupakan satu-satunya dalam sejarah negara dan rantau tersebut yang menunaikan janjinya, menyerahkan kuasa setahun kemudian kepada kerajaan pilihan rakyat yang dipimpin oleh Sadiq al-Mahdi. Walau bagaimanapun, pada tahun 1989, kerajaan ini juga digulingkan melalui rampasan kuasa ketenteraan yang diketuai oleh Omar al-Bashir, yang kemudian menyandang jawatan Pengerusi Majlis Perintah Revolusioner Keselamatan Nasional, pada masa yang sama turut berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan Presiden Republik Sudan.
Siri rampasan kuasa ini telah membelenggu rakyat Sudan, menyeret mereka ke dalam kancah peperangan dan ketidakstabilan yang membawa kepada kemusnahan. Keadaan ini berterusan di bawah pemerintahan Omar al-Bashir, yang memerintah Sudan dengan kuku besi selama 30 tahun, di mana dia telah menjerumuskan rakyat ke dalam kepahitan ketidakadilan dan penindasan, di samping menghumban negara ke dalam krisis ekonomi yang parah. Pada tahun 1999, beliau mengarahkan pembubaran Dewan Negara (Parlimen) dan mengisytiharkan darurat berikutan perebutan kuasa antara beliau dengan Speaker Parlimen Hassan al-Turabi.
Pemberontakan terhadap al-Bashir dan kerajaannya terus berlaku, dan direspon dengan penindasan dan penganiayaan. Pada tahun 2004, sebagai contoh, angkatan tentera dikerahkan ke Darfur di barat Sudan untuk menumpaskan gerakan pemberontak yang menuduh kerajaan pusat di Khartoum meminggirkan wilayah itu. Ratusan ribu penduduk Darfur dipaksa lari ke negara jiran, Chad, dan keadaan politik yang semakin memburuk ini digambarkan oleh Setiausaha Negara AS ketika itu, Colin Powell, sebagai “genosid.”
Pada tahun 2005, kerajaan menandatangani perjanjian damai dengan pemberontak selatan, namun ia telah dicabuli dan jenayah perang tetap dilakukan. Perlembagaan baharu dikeluarkan yang memberikan satu darjah autonomi yang ketara kepada selatan. Akhirnya, wilayah selatan menjadi merdeka pada tahun 2011 selepas referendum popular.
Selepas pemisahan Sudan Selatan, kerajaan kehilangan minyak yang dihasilkan daripada telaganya. Sudan Selatan menyumbang tiga perempat daripada keluaran dalam negara kasar. Sudan tidak lagi mampu memenuhi keperluan bahan bakarnya dan kehilangan sumber utama pertukaran asing. Kebanyakan statistik ekonomi menunjukkan bahawa 90% rakyat Sudan hidup di bawah garis kemiskinan dan kadar pengangguran melebihi 60%. Inflasi mencecah kira-kira 37% pada Jun 2012, dengan kenaikan mendadak harga semua barangan dan perkhidmatan. Ini selari dengan penurunan pendapatan individu yang turut berlaku dengan ketara.
Sementara itu, kerajaan mendakwa akan mula melaksanakan undang-undang Syariah (hudud) dengan lebih ketat selepas pemisahan Sudan Selatan. Dalam ucapannya semasa sesi keempat Akademi Fiqh Islam, Naib Presiden Pertama menekankan bahawa Omar al-Bashir berhasrat agar Akademi itu meneruskan pendekatan saintifik, objektif, serta “mengutamakan (prioritize) dan mengeluarkan hukum Syariah tanpa pilih kasih.” Keutamaan apakah yang dimaksudkannya? Kerajaan, yang cepat menerapkan hudud ke atas rakyat, tetapi menafikan hak-hak asas kehidupan, membiarkan mereka hidup dalam kemiskinan, namun pada masa yang sama tidak segan silu menggunakan pinjaman riba (dengan alasan sumber kewangan negara tidak mencukupi dan keperluan pembiayaan luar), seperti yang didakwanya.
Kerajaan telah melaksanakan dasar kewangan yang gagal, menahan kecairan daripada rakyat dan gagal menyediakan tepung gandum, menyebabkan rakyat Sudan tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka dan prasarana asas hidup yang paling minimum. Ditambah pula dengan keadaan kesihatan yang dianggap tragis; menurut satu statistik yang diterbitkan oleh laman web Sudan Now pada 2018, seorang daripada 20 kanak-kanak di Sudan mengalami kekurangan zat makanan, dan penyakit seperti malaria serta schistosomiasis merebak, mencapai dua juta kes!
Mereka mengangkat slogan pelaksanaan undang-undang Syariah dan memilih sebahagian hukumnya, setelah diubahsuai, untuk kepentingan mereka dan kepentingan Barat, sementara hukum-hukum lain dibuang. Tiada pemerintahan dengan Islam dalam politik negara atau kedaulatan. Mereka adalah pengikut kafir Barat, bergantung kepadanya, berhutang dengannya, mengeluarkan fatwa untuk menghalalkan perkara tersebut, dan membenarkannya mencampuri urusan negara serta menentukan nasib rakyat. Tiada kepedulian atau penjagaan terhadap rakyat, sedangkan rakyat Sudan sedang kelaparan dan hidup dalam kemiskinan yang parah. Undang-undang Syariah apakah yang mereka laksanakan? Islam adalah menyeluruh yang tidak boleh dipisahkan dengan hukum-hukum dan had-hadnya, dilaksanakan sebagai satu sistem kehidupan yang Allah pilih untuk hamba-Nya, dan tiada seorang hamba pun berhak memilih sebahagian daripadanya lalu meninggalkan sebahagian yang lain. Sesiapa yang memilih untuk melaksanakan undang-undang Syariah wajib mematuhinya sepenuhnya tanpa mengurangkan apa-apa pun daripadanya.
Penghapusan subsidi roti dan bahan bakar, kenaikan harga komoditi asas, kekurangan banyak barangan, penerusan dasar kewangan yang ditentukan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pihak lain, serta kemerosotan taraf kesihatan telah memberi kesan mendalam terhadap ketidakpuasan hati seluruh rakyat Sudan terhadap cara hidup mereka. Keadaan ketidakpuasan itu merebak ke seluruh negara, semakin meningkat bahkan bertambah buruk dari hari ke hari.
Korupsi rejim Omar al-Bashir dan penglibatannya dalam memanipulasi dana negara menjadi semakin jelas terserlah. Laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Integriti Kewangan Antarabangsa mendedahkan bahawa rejim ini telah menyembunyikan kira-kira $31 bilion dalam eksport Sudan antara 2012 hingga 2018. Kerajaan mengumumkan bahawa eksport negara mencecah $65 bilion dalam tempoh itu, manakala 70 negara rakan dagang Sudan menganggarkan import mereka sekitar $96 bilion.
Protes dan demonstrasi meletus, dan api revolusi menyala menentang kerajaan ini di semua bandar Sudan. Rejim itu akhirnya tumbang pada 2019 selepas Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa al-Bashir telah berundur dari jawatannya dan tentera akan mengendalikan hal ehwal negara.
Namun, disebalik penggulingan rejim Bashir, penderitaan rakyat Sudan masih berterusan dalam bayang-bayang konflik yang didalangi oleh negara-negara Barat dan dipantau oleh organisasi mereka. Penderitaan ini tidak akan berhenti dan tidak akan berakhir melainkan hukum Syariah yang benar dan murni dilaksanakan sepenuhnya, dan negara diperintah oleh mereka yang hanya takut kepada Allah semata-mata, yang tidak tunduk kepada musuh, malah menjadikan pengibaran panji Islam sebagai matlamat dan pelaksanaan hukumnya sebagai objektif mereka.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Zeena As-Samit
#Sudan #KrisisSudan #SudanCrisis