Genosid Sudan: Peranan Omar al-Bashir
(Terjemahan)
Walaupun banyak yang diketahui tentang genosid yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin, namun jauh lebih sedikit pula yang diketahui—atau dikongsi—tentang saudara kita di Sudan, yang sejak 18 bulan lalu telah menanggung genosid secara senyap. Kekejaman ini telah meragut lebih daripada 15,000 nyawa, mengusir lebih 10 juta orang, dan meninggalkan separuh daripada populasi—25 juta orang—berdepan dengan ketidakterjaminan sumber makanan dan kebuluran.
Apa yang sedikit diketahui umum ialah bahawa genosid ini berpunca daripada konflik berterusan antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan pasukan paramiliter Rapid Support Forces (RSF). Walhal, masalah Sudan bukan baru bermula pada tahun 2023, tetapi sejak tahun 1956, ketika negara itu mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan British-Mesir. Sejak itu, Sudan telah mengalami tujuh rampasan kuasa ketenteraan, salah satu yang paling signifikan berlaku pada tahun 1989, yang membawa Omar al-Bashir ke tampuk kekuasaan—seorang lelaki yang memerintah sebagai diktator selama tiga dekad.
Selepas 30 tahun ditindas, rakyat Sudan akhirnya berjaya menyingkirkan al-Bashir dan meraikan kebebasan baru mereka. Namun, kebebasan itu tidak lama kemudian dirampas oleh Abdel Fattah al-Burhan, ketua SAF, dan Mohamed Hamdan Dagalo, atau lebih dikenali sebagai Hemedti, pemimpin RSF. Kedua-dua lelaki ini telah mendapat kuasa dan kekayaan yang besar di bawah rejim al-Bashir.
Kebangkitan Omar al-Bashir
Sebelum rampasan kuasa 1989 yang menjadikan Omar al-Bashir sebagai pemerintah Sudan, negara itu telah bergelumang dalam Perang Saudara Kedua dengan Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA), yang dipimpin oleh John Garang. Garang sering dituduh berkhidmat sebagai proksi Amerika, memperjuangkan kepentingan AS untuk memecah-belahkan Sudan demi keuntungan strategik dan ekonomi. Usaha ini memuncak dalam Perjanjian Naivasha 2005, yang ditandatangani oleh al-Bashir dan Garang, yang seterusnya membuka jalan bagi kemerdekaan Sudan Selatan.
Perlu diingat bahawa Sudan Selatan memiliki rizab minyak yang luas, mendorong AS untuk melabur lebih daripada $1.2 bilion di negara baru itu, di bawah nama “pembangunan keamanan” dan “tadbir urus”, dalam masa yang sama turut bersaing dengan China untuk penguasaan serantau.
Pada masa yang sama, ekonomi Sudan sedang runtuh. Bekas Perdana Menteri Sadiq al-Mahdi kehilangan sokongan popular apabila rakyatnya menghadapi kebuluran, kehilangan tempat tinggal, krisis hutang negara, dan hiperinflasi melebihi 70%, yang diperburuklan lagi oleh kejatuhan mata wang menyebabkan rakyat tidak mampu membeli keperluan asas.
Keadaan ini mencipta peluang untuk al-Bashir, dengan sokongan Front Islam Nasional (NIF), yang menyebelahi Arab Saudi dan Amerika Syarikat menentang Kesatuan Soviet—untuk melancarkan rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 30 Jun 1989. Setelah berkuasa, al-Bashir membubarkan parlimen, mengisytiharkan dirinya sebagai Ketua Negara, Perdana Menteri, dan Menteri Pertahanan, serta mengenakan tafsiran ketat “undang-undang Syariah”.
Rejimnya
Sebagai pemimpin baru, al-Bashir dengan pantas mengelilingi dirinya dengan pelindung setia, terutamanya Angkatan Tentera Sudan (SAF), di mana Abdel Fattah al-Burhan naik menjadi Inspektor Jeneral. Peranan Burhan adalah untuk memastikan keselamatan al-Bashir dan menghancurkan sebarang perbezaan pendapat.
Walaupun berjanji membawa kemakmuran, kerajaan al-Bashir dengan cepat mula menindas golongan minoriti. Tahun 1990-an, sering digelar “tahun keganasan”, menyaksikan kemunculan `rumah-rumah hantu’, iaitu pusat tahanan rahsia di mana penentang, termasuk golongan intelektual, komunis, dan pegawai tentera, diseksa. Pelaksanaan hukuman sebat dan mati secara umum juga bermula, termasuk pelaksanaan hukuman bunuh terhadap tiga lelaki kerana memiliki dolar AS, yang menimbulkan gelombang ketakutan dalam kalangan rakyat.
Al-Bashir turut menguatkuasakan tafsiran keras undang-undang Syariah, seperti pemotongan tangan bagi pencurian, walaupun kecurian itu dilakukan kerana kelaparan atau kemiskinan. Padahal, menurut fiqh Islam yang sahih, hukuman sebegini digantung pada masa kebuluran atau kesusahan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar ibn al-Khattab yang menolak melaksanakannya ketika musim kebuluran. Sementara itu, al-Bashir dan rejimnya turut menggelapkan berbilion dolar, dengan $90 juta ditemui di rumahnya selepas beliau disingkirkan pada 2019. Ini membuktikan sikap berat sebelahnya dalam penerapan undang-undang agama.
Perang dan Genosid
Walaupun dengan kaedah kejamnya, perang saudara dan pemberontakan tetap meletus. Di Sudan selatan, Perang Saudara Kedua berkecamuk antara kerajaan Sudan dan SPLA, meragut lebih 2 juta nyawa, kebanyakan daripada mereka adalah orang awam. Perang ini sebahagian besarnya dipimpin oleh SAF, dengan Burhan memainkan peranan penting dalam operasi ketenteraan.
Sementara itu, di Sudan Barat, wilayah Darfur—yang telah lama diabaikan oleh Khartoum—bangkit dalam pemberontakan. Berbanding mengerahkan SAF, al-Bashir sebaliknya mengupah militan Janjaweed, termasuk Hemedti, untuk menindas kebangkitan itu dengan kejam. Inilah yang menandakan permulaan Genosid Darfur.
Janjaweed, terkenal dengan kekejaman mereka, telah melancarkan kempen pembersihan etnik. Lebih 300,000 orang terbunuh, 2.5 juta kehilangan tempat tinggal, para wanita diperkosa, kaum lelaki dibunuh, dan kanak-kanak didera. Hemedti dan pasukannya diberikan pampasan berupa lombong emas di Darfur. Ini menjadikan pengusiran penduduk tempatan bukan sekadar matlamat ketenteraan, tetapi juga ekonomi. “Ganjaran” mereka atas genosid ini ialah pengiktirafan rasmi oleh kerajaan Sudan dan penjenamaan semula sebagai Rapid Support Forces (RSF).
Ketika al-Bashir memperkayakan dirinya dan meraikannya, rakyat pula terus ditimpa kebuluran, dan ekonomi pun runtuh. Dengan kemerdekaan Sudan Selatan, Sudan kehilangan sebahagian besar kekayaan minyaknya. Kajian semula belanjawan negara menunjukkan bahawa 70% perbelanjaan negara disalurkan kepada tentera, meninggalkan sedikit untuk sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, atau sekuriti makanan.
Apabila digabungkan dengan puluhan tahun korupsi, kekayaan yang dicuri, hutang yang melambung, dan inflasi yang menghimpit, rakyat Sudan dipaksa menanggung mimpi ngeri selama tiga dekad. Namun, ketika mereka menyangka ia sudah berakhir, dan harapan muncul selepas penyingkiran al-Bashir, para pengikutnya segera mengisi kekosongan itu. Burhan dan Hemedti, lelaki yang diberikan kekuasaan ketika pemerintahannya, kini berperang sesama sendiri sementara Sudan terus berdarah.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Amatullah Hechmi
#SudanCrisis
#Sudan
#KrisisSudan