Ingatlah 5 Perkara Ini Ketika Merasa Marah Pada Isteri
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Angry. Seperti kata pepatah; every rose has its torn. Tidak ada perkahwinan tanpa pertengkaran.
Hampir selalu ada sahaja perkara yang membuatkan suami dan isteri sangat marah. Urat leher menegang dan nadi darah terasa lebih laju. Bermula dari masalah remeh seperti isteri menyediakan kopi, atau kebiasaan suami menyimpan stoking kaki sembarangan, hinggalah masalah besar seperti urusan wang.
Reaksi paling mudah dalam perkara ini adalah marah dan marah. Mata terbeliak dan kata-kata makian dengan suara yang meninggi serta merta keluar.
Padahal marah bukanlah solusi. Ia hanya saluran dari kekecewaan tetapi melalui jalur yang salah. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa syaitanlah yang menyalakan api kemarahan kita. Beliau SAW juga menasihati umatnya supaya tidak mudah marah.
Bagi para suami, berhati-hatilah ketika melepaskan amarah kepada isteri. Selain berpotensi merosakkan hubungan dalam perkahwinan, banyak perkara yang perlu diingat tentang kedudukan isteri di hadapan Allah SWT. Ya, Islam meletakkan beberapa perkara kepada perempuan yang perlu diperhatikan oleh suami. Dengan mengingatkan perkara ini, semoga kita, para suami, lebih mampu mengawal amarah dan bersabar menghadapi masalah rumah tangga.
Apakah perkara-perkara itu? Ini diantaranya:
- Adakah anda yakin marah tentang perkara yang benar/haq?
Aristotle mengatakan; marah itu mudah, tetapi marah yang tepat dan dalam kadar yang benar adalah susah. Islam menentukan bila seorang muslim perlu marah dan bila perlu menahan diri. Jangan sampai anda marah pada perkara yang tidak sepatutnya anda marah, seperti isteri lupa menggosok pakaian, menyediakan kasut atau gagal memasak.
Marah untuk perkara yang tidak haq, dan keadaan yang tidak haq adalah satu bentuk kezaliman terhadap isteri. Marah apabila melihat rumah bersepah sedangkan isteri sedang keletihan kerana sakit atau hamil, adalah satu bentuk kurang empati. Jadi, anda masih yakin marah tentang perkara yang haq? Allah berfirman:
“Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” [TMQ an-Nisa (4): 34]
- Isteri adalah amanah, anda berani merosakkan amanah?
Isteri bukan hanya datang begitu saja dalam kehidupan seorang lelaki. Kita, para suami, mengambil isteri dari sisi ayah mereka dengan janji amanah di hadapan Allah dan kedua ibu bapanya.
Ya, ketika anda, para suami, mengucapkan ijab qabul di hadapan wali isteri anda, seharusnya jangan tersenyum bahagia dahulu, kerana sesungguhnya anda baru sahaja diberikan amanah dimana gunung, langit dan bumi menolaknya. Mereka menolak amanah kerana khuatir merosakkan amanah. Perempuan yang kini menjadi pasangan hidup anda, adalah amanah yang berat. Nabi bersabda:
اتَّقُوا اللَّهَ فِى النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللَّهِ
“Bertakwalah kepada Allah dalam urusan perempuan, kerana sesungguhnya kalian mengambil mereka sebagai amanah dari Allah.” (HR. Abu Daud).
Marah pada isteri, apatah lagi kerana perkara remeh atau dalam perkara yang sebenarnya boleh mencari jalan penyelesaiannya. Jika demikian, maka sebenarnya suami telah menjadi pengkhianat dalam rumah tangga yang merosakkan amanah besar itu.
- Isteri Adalah Kaca, Marah Bermakna Meretakkannya
Rasulullah SAW mengibaratkan perempuan seperti kaca. Sabdanya:
]ارْفَقْ بِالْقَوارِيْرِ
“Lembutlah kepada kaca-kaca (maksudnya para wanita).” (HR Al-Bukhari)
Berkata Al-Qodhi ‘Iyadh, “Para wanita diumpamakan seperti kaca kerana hatinya lemah” (Masyariqol Anwaar II/177). Demikianlah…Allah telah menciptakan wanita dengan penuh kelembutan dan kelemahan. Hati mereka lemah sehingga sangat sensitif. Mudah tersinggung, namun suka dipuji. Mudah berburuk sangka, mudah cemburu, mudah menangis, begitulah wanita.
Membentak isteri, memakinya, mencelanya, sama seperti memecahkan kaca. Hatinya akan cepat berkeping-keping, dan walaupun ia boleh disatukan semula, ia tetap akan meninggalkan kesan serpihan padanya.
- Perempuan adalah tulang rusuk yang bengkok, jangan sampai mematahkannya
Ada tabiat pada perempuan yang berbeza dengan lelaki. Perempuan diberikan karakter seperti tulang rusuk yang bengkok. Sabda Nabi SAW:
« اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ ، فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَىْءٍ فِى الضِّلَعِ أَعْلاَهُ ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ »
“Berbuat baiklah kepada wanita, kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Maka sikapilah para wanita dengan baik.” (HR al-Bukhari)
Imam Ibnu Hajar dalam Fathul Bariy, menyatakan bahawa fadhilat hadis “wanita diciptakan dari tulang rusuk yang paling bengkok” ini adalah agar para suami tidak menafikan bahawa isteri-isteri mereka ada kekurangan maka janganlah memaksa mereka untuk lurus sebagaimana tulang rusuk tidak akan pernah lurus.
Kerana itu, Imam an-Nawawiy dalam syarah Imam Muslim menjelaskan bahawa Nabi SAW dalam hadis ini memberikan arahan kepada para suami agar bersikap lembut dengan mereka, bersikap baik, bersabar menghadapi perangai buruk mereka dan kelemahan akal mereka, dan tidak suka apabila suami menceraikan mereka tanpa sebab.
- Di sebalik kekurangan isteri, Allah menyimpan kebaikan yang banyak
Boleh jadi isteri kita tidak sesempurna atau se-ideal yang kita harapkan. Ada kelemahan dan keburukan di sana sini. Namun Allah SWT mengingatkan kita bahawa di sebalik ketidaksenangan suami terhadap kekurangan isterinya, sesungguhnya Allah akan menjadikan banyak kebaikan. Firman-Nya:
“Dan bergaullah dengan mereka cara yang baik. Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ an-Nisa (4): 19]
Ayat ini mengingatkan para suami agar tidak mudah marah menghadapi kelemahan isteri, mencela kekurangan mereka, kerana sebenarnya Allah memberikan sisi kebaikan yang amat banyak kepada mereka, yang kadangkala tidak dilihat atau dilupakan oleh suami. Sebagaimana peringatan dari Nabi SAW:
« لاَ يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا رَضِىَ مِنْهَا آخَرَ »
“Janganlah seorang mukmin membenci seorang perempuan beriman, kerana jika dia membenci sebahagian daripada kelakuannya, (boleh jadi) dia redha/senang dengan bahagian yang lain.” (HR. Muslim)
Sumber: iwanjanuar.com