[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 12/12)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sesungguhnya mengutip seluruh zakat yang wajib dikeluarkan, mengagihkannya kepada golongan yang berhak menerimanya, serta menjatuhkan hukuman terhadap orang yang menolak secara syarak, semua itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan dengan adanya negara Islam.
Begitu juga dengan usaha menolong orang yang memerlukan, merawat orang sakit, memerangi segala yang diharamkan, dan lain-lain. Kesemua itu merupakan tanggungjawab negara Islam, bukan tanggungjawab individu atau parti. Namun, apabila ada individu yang mahu melaksanakannya tanpa mengira keanggotaannya dalam mana-mana parti, maka perbuatan tersebut disunnahkan. Dia berhak mendapat pahala, tetapi kewajipan menegakkan negara Islam belum gugur daripadanya.
Adapun parti atau jemaah yang beraktiviti untuk melanjutkan kehidupan Islam, maka tidak dibenarkan menyibukkan diri dengan perkara yang merupakan tanggungjawab negara iaitu perkara yang bukan tanggungjawab mereka. Hal ini kerana setiap aktiviti dalam metode melanjutkan kehidupan Islam wajib berpandukan dalil syarak yang menjelaskan bahawa aktiviti-aktiviti itu termasuk dalam ruang lingkup melaksanakan dakwah.
Jika tidak, para pengemban dakwah akan disibukkan dengan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan usaha melanjutkan kehidupan Islam. Hal ini akhirnya akan membawa kepada kegagalan dan kerosakan. Sebab, keterikatan dengan hukum-hukum suatu metode, termasuk dalam syarat-syarat syarie untuk meraih pertolongan Allah bagi para pengemban dakwah. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” [TMQ Muhammad (47): 7] Pertolongan Allah itu hanya akan datang dengan menunaikan apa yang telah diperintahkan-Nya sesuai pada tempatnya.
Dakwah ini bukan bermaksud menyeru manusia agar meninggalkan aktiviti sosial (‘amal khair) atau meninggalkan keterikatan dengan hukum-hukum syarak. Akan tetapi, dakwah ini menyeru agar setiap pemelihara (ra‘in) melaksanakan perkara sesuai dengan apa yang telah dituntut oleh Allah terhadap orang yang berada di bawah tanggungjawabnya. Secara peribadi, seorang Muslim dituntut untuk menunaikan solat, berpuasa, berzakat, membantu fakir miskin, memelihara anak yatim, dan melaksanakan pelbagai amalan lain yang dituntut daripadanya sama ada fardhu, sunat, atau mubah.
Seorang Muslim juga dituntut untuk beraktiviti bersama jemaah atau parti bagi melangsungkan kehidupan Islam, berdasarkan firman Allah SWT, “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh (agar membuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” [TMQ Ali Imran (3): 104]
Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesiapa yang mati sedangkan di lehernya tiada baiat, maka matinya adalah seperti mati jahiliah.”
Allah SWT telah menghadkan aktiviti-aktiviti politik dan pemikiran yang dilaksanakan oleh parti atau jemaah melalui para anggotanya. Aktiviti-aktiviti tersebut bukanlah tuntutan bagi individu, dan bukan pula tuntutan bagi negara. Maka, setiap pihak mempunyai tanggungjawab serta urusannya masing-masing.
Demikian itu adalah kerana mengikuti perintah Allah SWT dan meneladani Rasulullah SAW pada fasa Mekah. Pada ketika itu, baginda benar-benar membatasi aktivitinya hanya pada mempersiapkan masyarakat untuk membangun negara Islam.
Tidak boleh dikatakan bahawa hukum-hukum yang berkaitan dengan zakat menjadikan pemeliharaan urusan umat tidak disyariatkan sebelumnya, lalu sekarang dituntut sebagaimana tuntutan dalam mengemban dakwah. Hal ini tidak boleh dikatakan sedemikian, kerana Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat sentiasa menurunkan wahyu sesuai dengan keperluan manusia pada masanya.
Rasulullah SAW dan para sahabat tidak diperintahkan sebagaimana jemaah untuk membentuk lajnah-lajnah atau organisasi-organisasi sosial bagi menguruskan urusan manusia. Hal ini kerana hikmah Allah telah menetapkan bahawa aktiviti-aktiviti tersebut adalah tanggungjawab negara, bukan tanggungjawab parti-parti atau individu-individu.
Sebagai contoh, Allah SWT telah memerintahkan seorang Muslim sebagai individu untuk menyuruh anaknya mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun, serta memukulnya jika meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun. Namun, Allah tidak memerintahkan seorang Muslim untuk memotong tangan anaknya jika mencuri, atau membunuhnya jika murtad. Ini kerana penerapan hudud bukanlah tanggungjawab individu, tetapi merupakan tanggungjawab negara.
Hal ini tidak bermaksud para pengemban dakwah hanya boleh menyibukkan diri dengan aktiviti dakwah semata-mata. Mereka juga berkewajipan memelihara keluarga, mendidik anak-anak, mencari rezeki, serta melaksanakan kewajipan-kewajipan lain yang dituntut oleh syarak. Dalam masa yang sama, mereka tetap dituntut melaksanakan amanah dakwah sesuai dengan tanggungjawab mereka.
Parti atau jemaah juga wajib membatasi aktiviti-aktiviti yang menjadi tanggungjawab mereka secara syarak. Menyibukkan diri dengan aktiviti di luar batas itu adalah tambahan yang tidak disyariatkan. Ia akan menghalang parti daripada melaksanakan fungsinya dengan benar, membelokkan arahnya daripada landasan syarie, serta menyibukkannya daripada aktiviti politik yang sepatutnya.
Oleh yang demikian, kaum Muslim, parti-parti, dan jemaah-jemaah yang sedang berusaha untuk melanjutkan kehidupan Islam hendaklah benar-benar memperhatikan dengan teliti dan mendalam metode yang telah ditempuh oleh Rasulullah SAW dalam membangun negara Islam. Dengan itu mereka akan berjalan di atas petunjuk dan jalan baginda, tanpa menyimpang walau sehelai rambut sekalipun.
Tujuannya adalah agar mereka mencapai pertolongan Allah SWT, sebagaimana firman-Nya, “Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [TMQ Al-Hajj (22): 40]
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#mafahimislamiyyah #thariqahdakwah #uslubdakwah