Ada Tali Penyelamat untuk Sudan – Sambutlah Ia!
(Terjemahan)
Selama lebih seratus tahun, dunia telah dipaksa percaya bahawa peperangan di negeri-negeri Muslim, khususnya di wilayah-wilayah Afrika, berpunca daripada mereka yang kononnya mundur dari segi intelektual, politik dan ekonomi. Mereka digambarkan kepada dunia seolah-olah tidak mampu menguruskan kewujudan mereka tanpa apa yang dipanggil sebagai bantuan dan campur tangan dari Barat.
Sebenarnya, pembohongan itu hanya menjadi kenyataan selepas Barat mula menjajah negeri-negeri di Afrika, di mana mereka merompak kekayaan tanah-tanah tersebut, merampas nilai kemanusiaan mereka, dan bukan sahaja menyekat segala peluang kemajuan sebenar daripada mereka, tetapi juga mendorong keadaan hidup mereka terperosok kembali ke era sebelum zaman moden. Mereka membunuh seluruh puak dan tamadun, memperhambakan saki-baki yang terselamat, membawa ribuan orang penduduknya ke benua-benua yang jauh, malah mempamerkan mereka di zoo manusia, sambil mengeksploitasi kehidupan, maruah, budaya dan juga sumber alam mereka.
Beberapa ratus tahun kemudian, apabila perhambaan menjadi terlalu mahal berbanding perindustrian, mereka memberikan kebebasan palsu serta autonomi yang tidak wujud secara de facto dalam sempadan buatan yang mereka lukis secara literal, dengan seorang pemerintah, lalu memakaikan mereka dengan struktur negara bangsa.
Untuk memastikan “kilang jenis baru” ini terus menguntungkan, mereka membina rangkaian keselamatan berupa undang-undang antarabangsa, perjanjian, sistem pembiayaan dan sebagainya, agar apabila pemilikan kilang-kilang tersebut cenderung bertukar tangan, atau keuntungan baru muncul, tuan kolonialis Barat yang tidak bermoral itu akan segera mengangkat cambuknya untuk mengekang kudanya. Cambuk yang kuat itu ialah sistem pemerintahan korup yang mereka paksakan, digubal oleh penguasa boneka mereka —yang mudah ditukar ganti, tidak berjiwa dan tidak bermoral, yang sedikit pun tidak mempedulikan kejayaan dan kemajuan rakyatnya sendiri. Tangan panjang mereka ke atas para boneka ini adalah melalui kedutaan, organisasi kemanusiaan dan lain-lain, yang sedia menghasut pemberontakan, rampasan kuasa bahkan pembunuhan beramai-ramai, dengan meniupkan perkauman, kesukuan, sektarianisme — apa sahaja dan bila-bila sahaja ia sesuai untuk kepentingan Barat. Semua ini berlaku sambil mereka “menidurkan” seluruh dunia, bukan sahaja tanah jajahan, dengan ubat bius dan halusinogen yang dipanggil “demokrasi dan sekularisme”.
Barat kapitalis tidak pernah mengambil kira nilai manusia, kerana keuntungan wang adalah tujuan tertinggi dalam ideologi mereka. Oleh itu, kolonialisme ialah kaedah utama bagi memastikan kelangsungan ideologi kapitalis, melindungi dirinya, dan menyebar kepada orang lain. Justeru, mengenakan dominasi ketenteraan, politik, ekonomi, intelektual dan budaya ke atas bangsa lain adalah kunci untuk mencapai matlamatnya.
Hasil selama berdekad-dekad pengaruh kolonial ialah setiap rejim boneka mereka di tanah air kita menjerumuskan negara masing-masing ke dalam penderitaan lebih perit, semata-mata demi persaingan politik Barat yang mementingkan diri. Kita telah menyaksikannya berulang kali di Rwanda, Tunisia, Mesir, Libya, Pakistan, Bangladesh, Turki, dan banyak lagi negeri Muslim lain. Sudan tidak terkecuali. Senarai kegagalan fatal, ekonomi, pendidikan, budaya dan kelemahan sistemik lain akibat rejim sekular dan demokratik berturut-turut boleh disenaraikan panjang.
Oleh yang demikian, perang di Sudan dan keseluruhan garis masa bencana politik serta ekonomi adalah akibat penjajahan ini, di mana penjajah British pada awalnya mempunyai alat mereka dalam struktur politik dan juga gerakan bersenjata, sebagaimana penjajah Amerika mempunyai alatnya dalam Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dan lain-lain. Maka, perang ini didorong oleh persaingan dua kuasa kolonialis yang masing-masing mahu menguasai Sudan dan berusaha untuk menyingkirkan yang lain.
Jika kita fokus kepada Sudan hari ini, kita melihat bagaimana Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Mohamed Hamdan Dagalo (“Hemedti”) dibutakan dengan ketundukan mereka kepada Barat. Sehingga mereka tidak peduli tentang kesucian darah Muslim. Sebaliknya, mereka bersaing dalam kejam dan zalim menerusi perang yang tidak masuk akal ini, menyebabkan lebih 12 juta orang kehilangan tempat tinggal di tanah mereka sendiri, menjerumuskan mereka ke dalam kelaparan dan kehausan, menggunakan penyeksaan, hukuman mati, bahkan keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Jadi, siapakah yang akan mengakhiri perang para gergasi ini dan menyelamatkan tanah serta rakyatnya?
Kita mesti ingat bahawa kita adalah Muslim, dan Allah (swt) adalah kekuatan tertinggi di dunia ini. Oleh itu, langkah pertama ialah bergantung hanya kepada Allah dan tidak sedikit pun kepada para penjajah, sebagaimana firman Allah (swt):
“Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.” (TMQ An-Nisaa’ [4]:141)
Oleh itu, penyelesaian dan penawar bagi semua krisis di Sudan dan seluruh dunia Islam ialah pegangan akidah Islam yang lahir dari hati umat Muslim. Islam adalah akidah dan cara hidup, sebuah Deen, yang membentuk negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat, bukan kilang perhambaan yang didirikan dalam sempadan Sykes-Picot ciptaan kolonialis.
Kolonialis mencetuskan perpecahan serantau dan perkauman, dan masalah ini hanya dapat diubati dengan Islam. Sepanjang sejarah, Islam satu-satunya kekuatan yang menyatukan pelbagai bangsa dalam satu ummah.
“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (TMQ Al-Anfaal [8]:63)
Ini kerana Islam bukan sekadar agama, tetapi sebuah akidah dengan sistem kehidupan dan undang-undang yang menyeluruh, sempurna dan lengkap – iaitu syariah.
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” ( TMQ Al-Maaidah [5]:3)
Kuasa untuk memerintah bukanlah untuk penjenayah besar, pembunuh, dan penumpah darah, yang matlamat akhirnya hanyalah meraih manfaat dunia demi tuan kolonial mereka. Pemerintahan dalam Islam hanyalah untuk mereka yang adil, tulus dan beriman, yang melindungi dan memelihara nyawa, harta dan kehormatan umat Islam dan bukan Islam di bawah naungan mereka, kerana mereka faham bahawa pemerintahan adalah amanah dan tanggungjawab, dan syariah menuntut mereka untuk cekap serta berkemampuan dalam melaksanakan tugas tersebut. Pemerintah perlu tunduk hanya kepada perintah Allah (swt), bukan kepada kehendak pemilik modal seperti dalam sistem sekular demokratik, yang mengehadkan Tuhan sekadar kepada ritual ibadah.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah”. Katakanlah lagi: “Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”. (TMQ Al-An’aam [6]:56)
“Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (TMQ Yusuf [12]:40)
Islam akan mengakhiri semua peperangan berasaskan nasionalisme, kesukuan, dan sektarianisme yang dinyalakan kolonialis demi tujuan eksploitasi mereka, kerana umat Islam adalah satu ummah, satu jasad! Semua peperangan di negeri-negeri kita hari ini, khususnya di Sudan, hanyalah untuk manfaat Barat kafir, walaupun Rasulullah (saw) telah memberi amaran, sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Ahnaf ibn Qays, beliau berkata:
فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ: «إذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: «إِنَّهُ كَانَ حَرِيصاً عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ»؟! “
“Aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda: Apabila dua orang Muslim bertemu dengan pedang masing-masing, maka si pembunuh dan yang terbunuh, kedua-duanya di dalam neraka.” Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, yang pembunuh itu memang wajar, tetapi bagaimana dengan yang terbunuh?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya dia juga berhasrat untuk membunuh saudaranya.” [HR Bukhari].
Kesimpulannya, menghidupkan kembali kehidupan Islam, sebagaimana ditunjukkan oleh jalan Rasulullah (saw), dan sebagaimana terbukti sepanjang sejarah Islam, adalah satu-satunya tali penyelamat untuk Sudan dan seluruh dunia Muslim. Hanya Khilafah Rasyidah Kedua di atas manhaj kenabian yang akan memutuskan semua belenggu penjajahan Barat dan mencabut alat-alatnya dari dunia Muslim. Melaksanakan Islam dan menyebarkannya ke seluruh dunia adalah tali penyelamat yang Hizbut Tahrir tawarkan kepada kalian tanpa menuntut balasan. Kalian akan mendapati semua penyelesaian kepada krisis dan masalah yang timbul akibat puluhan tahun hidup di bawah dominasi peradaban Barat ada dalam pelan induk Negara Khilafah yang telah disiapkan oleh Hizbut Tahrir.
Maka, sambutlah tali penyelamat ini kerana ia datang daripada Allah, Tuhan sekalian alam:
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” (TMQ Al-Anfaal [8]:24)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Zehra Malik
#sudan #krisissudan #sudancrisis