Tiada Keselamatan untuk Umat Kita di Sudan
Tiada Jaminan atau Perlindungan melainkan di bawah Sistem Islam
(Terjemahan)
Sepanjang sejarah, kepelbagaian puak di Sudan tidak pernah menjadi punca konflik dan peperangan. Sebaliknya, yang menjadi sebab ini semua adalah perebutan politik dan ketenteraan yang sengit antara negara-negara penjajah bersama para ejen mereka, yang telah memusnahkan bukan hanya tanaman-tanaman bahkan keturunan, terutamanya selepas mereka memecah-belahkan negara dan menyemai benih perselisihan serta pertelingkahan antara suku dan cauvinisme, persis seperti yang berlaku hari ini dan sama seperti ketika zaman Jahiliyyah dahulu. Sejak Islam lenyap dan negara Islam diruntuhkan, manusia kembali kepada hukum-hukum jahiliah, berperang atas dasar assabiyah, sesuatu yang telah dilarang keras oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:
«مَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَإِيَّةٍ عِمِّيَإِلَى عَصَبِيَّةٍ أَوْ يَغْضَبُ لِعَصَبِيَّةٍ فَقِتْلَتُهُ جَاهِلِيَّةٌ»
“Sesiapa yang berperang di bawah panji yang buta, menyeru kepada assabiyah atau marah kerana assabiyah, lalu terbunuh, maka kematiannya adalah kematian jahiliah.”
Oleh itu, rakyat Sudan perlu menyedari bahawa suasana politik sedia ada, yang kurang kesedaran gagasan politik yang benar, dan sebaliknya bergantung kepada kuffar Barat, adalah punca krisis dan masalah. Ini adalah hasil daripada polarisasi politik berdasarkan puak yang menjijikkan, di mana kerajaan-kerajaan silih berganti telah menggunakan kesukuan atau puak sebagai bahan bakar konflik mereka. Mereka mengikut jejak parti-parti dalam polarisasi kesukuan. Apa yang berlaku dan sedang berlaku di Darfur adalah contoh yang paling jelas, apabila sebahagian puak menyebelahi gerakan bersenjata pemberontak, lalu kerajaan pula mempersenjatai puak yang setia kepadanya untuk melawan pemberontak. Dengan cara ini, kerajaan-kerajaan yang silih berganti menangani seluruh wilayah Sudan, mencetuskan ketegangan dan kegelisahan di setiap daerah, sehingga keseluruhan negara menjadi seperti tong mesiu yang boleh meledak pada bila-bila masa. Malangnya, satu-satunya pihak yang rugi dalam pertelingkahan dan pertempuran kesukuan yang ganas ini ialah rakyat negara itu sendiri, yang terus membayar harga tinggi dengan darah dan nyawa mereka. Malangnya, mereka hanyalah alat murah yang digunakan untuk saling membunuh!
Islam sangat mengagungkan darah seorang Muslim. Firman Allah SWT:
﴿وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِناً مُّتَعَمِّداً فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِداً فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَاباً عَظِيماً﴾
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” [TMQ An-Nisa (4):93]
Rasulullah SAW bersabda:
«لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ قَتْلِ مُؤْمِنٍ بِغَيْرِ حَقٍّ»
“Kehancuran dunia lebih ringan di sisi Allah daripada terbunuhnya seorang Mukmin tanpa hak.”
Baginda SAW juga bersabda:
«إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ»
“Apabila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka, maka si pembunuh dan yang terbunuh kedua-duanya di dalam neraka.”
Maka di manakah kita dalam mengikuti Rasulullah SAW? Dan di manakah kita dalam merujuk kepada Kitab Allah Azza wajalla yang berfirman:
﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ﴾
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [TMQ Al-Hujurat (49):13]
Justeru, kita wajib berusaha menghentikan pertumpahan darah yang berterusan ini dan menggagalkan perancangan kuffar Barat dengan mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya, iaitu dengan berhukum dengan Islam. Hanya inilah yang akan menghentikan pertelingkahan antara kesukuan, menstabilkan keadaan, serta menamatkan gangguan terhadap nyawa orang-orang yang tidak bersalah, yakni dengan kembali kepada Islam dan menghapuskan segala yang bertentangan dengannya.
Namun, Islam tidak dapat ditegakkan kecuali dengan adanya kekuasaan, iaitu sebuah negara yang melaksanakannya dan menyebarkannya ke seluruh dunia melalui dakwah dan jihad — itulah Khilafah Rasyidah kedua di atas manhaj kenabian. Dalam Islam (sistem Khilafah), pemerintahan adalah amanah, bukan rampasan; menggalas tanggungjawab menjaga urusan rakyat, seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan, membolehkan orang ramai melakukan aktiviti pertanian, pengilangan, serta membuka laluan ternakan agar tidak berlaku geseran antara petani dan penternak. Ia akan menghentikan tangan perosak tanpa ragu dan menghapuskan segala bentuk pembunuhan, pembakaran, dan penjarahan dengan melaksanakan hadd (sistem hukuman) ke atas mereka yang melanggar peraturan.
Hanya negara Khilafah yang mampu meleburkan manusia menjadi satu umat atas dasar Islam yang agung, bukan atas dasar perkauman, kesukuan, atau nasionalisme. Khilafah memerintah dengan hukum Islam dan kekuasaan Islam. Khilafah adalah kekuasaan yang telah menyatukan kaum Muslimin dan menjadikan mereka saudara yang saling mencintai kerana Allah, menyatukan Abu Bakr al-Arabi, Bilal al-Habashi, Salman al-Farisi, Suhaib ar-Rumi, Hamzah al-Qurasyi, dan Mu‘adz al-Ansari.
Sesungguhnya Islam yang agung ini sahajalah, sepanjang sejarah manusia, yang telah meleburkan bangsa, kaum, dan suku menjadi satu umat. Ia tidak terbatas di Madinah sahaja, bahkan tersebar ke seluruh Semenanjung Arab. Penaklukan Islam telah menyebarkan agama ini: Muslim memfutuhat Iraq, yang didiami oleh penganut Kristian, Mazdak, Zoroaster (Majusi), dari Arab dan Parsi; memfutuhat Parsi, yang dihuni bangsa bukan Arab, Yahudi, Rom; memfutuhat Levant (ash-Sham) yang merupakan wilayah Rom yang didiami bangsa Syria, Armenia, Rom, Arab; membuka Afrika Utara yang dihuni Berber; membuka Sindh, Khwarezm, Samarkand, dan Andalus — lalu meleburkan semua bangsa ini menjadi satu ummah tanpa perbezaan. Cahaya Islam tersebar ke seluruh dunia dalam masa yang singkat kerana Islam memerintahkan melihat subjek secara kemanusiaan, bukan perkauman, sektarian, atau mazhab. Hukum Islam (perundangan Islam) diterapkan ke atas semua, sehingga semua menjadi warganegara daulah Islam, tanpa perbezaan antara Muslim dan bukan Muslim, dan tiada seorang pun dizalimi. Jika berlaku, Islam mencegah dan menghukumnya. Firman Allah SWT:
﴿وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى﴾
“…dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa….” [TMQ Al-Ma’idah (5):8]
Semua adalah sama di hadapan kehakiman, dan sistem pemerintahan Islam mewajibkan kesatuan antara wilayah-wilayah negara serta menjamin keperluan setiap daerah tanpa mengira hasil yang disumbangkannya ke Baitulmal, menjadikan penyatuan sesuatu yang tidak dapat dielakkan di kalangan rakyat dari semua negeri.
Oleh itu, wajib atas setiap lelaki dan wanita Muslim untuk bekerja menegakkan kewajipan besar yang telah lama hilang ini, iaitu mendirikan Khilafah Rasyidah di atas manhaj kenabian.
﴿إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ﴾
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” [TMQ Al-Anbiya (21):92]
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Rana Mustafa
#sudan #krisissudan #sudancrisis