[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 22
Masalah 21 : Jimat cermat untuk keperluan keluarga, tapi boros dalam perbelanjaan diri
Ada sebahagian suami, sebagai penafkah keluarga, sering menuntut isterinya berjimat cermat, bahkan dalam hal-hal yang menjadi keperluan utama keluarga. Ironinya, dia sendiri dengan mudah membelanjakan wang untuk keperluan diri, berhibur bersama rakan-rakan atau menghabiskannya dalam perkara yang tidak perlu/penting.
Refleksi:
Islam telah menetapkan bahawa nafkah merupakan salah satu kewajipan utama seorang suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Nafkah bukan sekadar kewangan semata-mata, tetapi lambang kasih sayang, tanggungjawab, dan kepimpinan suami dalam rumah tangga. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Talaaq ayat 7:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” [TMQ At-Talaaq (65): 7]
Ayat ini menegaskan bahawa pemberian nafkah bergantung kepada kemampuan suami. Jika dia kaya, maka nafkah yang diberikan mestilah besar dan mencukupi. Jika dia sederhana, maka nafkahnya sederhana. Jika dia miskin, nafkah tetap wajib ditunaikan menurut kadar kemampuan.
Menurut Imam Abu Muhammad al-Baghawi, seorang suami wajib menafkahi tanggungannya sekadar kemampuan hartanya. Allah tidak pernah membebankan seseorang melebihi apa yang ada padanya.
Sementara Imam Ibn Hajar al-Haitami pula menyatakan terkait ayat ini , bahawa seorang suami wajib memberi nafkah sebatas kemampuannya, dan kemampuan setiap orang adalah bersifat tafawut iaitu berbeza-beza (sama ada kaya, sederhana atau miskin).
Daripada penjelasan ini, dapat difahami bahawa Islam bukanlah agama yang menekan suami dengan beban yang tidak mampu dipikul. Sebaliknya, Islam mengajar keseimbangan antara tanggungjawab dan kemampuan. Namun, keseimbangan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk seorang suami bersikap kedekut atau bakhil terhadap isteri dan anak-anak. Kelebihan harta atau kekayaan seorang suami sepatutnya lebih dahulu dinikmati oleh keluarganya berbanding orang lain.
Rasulullah SAW memberi peringatan tegas:
“Jauhilah sifat bakhil. Sesungguhnya orang sebelum kalian binasa disebabkan sifat bakhil. Ia membawa kepada sifat kedekut, mereka menjadi kedekut. Ia membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan dan membawa kepada dosa.”(HR Abu Daud, no. 1698)
Dalam konteks kehidupan berkeluarga, ada beberapa keperluan yang tidak wajar disuruh berhemat, antaranya makanan dan ubat-ubatan. Kedua-dua perkara ini merupakan keperluan pokok yang menjadi hak isteri dan anak-anak. Menyuruh isteri berjimat sehingga mengorbankan kesihatan atau kebajikan keluarga adalah bentuk kezaliman, apatah lagi jika pada masa yang sama suami dengan mudah membelanjakan wang untuk keseronokan bersama rakan-rakan atau urusan peribadinya sahaja.
Nafkah yang diberikan kepada isteri sebenarnya bukan semata-mata memenuhi tuntutan kewajipan, tetapi juga menjadi sumber pahala. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa menafkahi keluarga adalah lebih utama dan merupakan sedekah. Oleh itu, seorang suami tidak wajar menghalang isterinya daripada mencukupi keperluan diri dan anak-anak. Sebaliknya, dia perlu sedar bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan untuk keluarganya adalah pelaburan akhirat yang bernilai.
Kesimpulannya, kewajipan memberi nafkah bukanlah beban, tetapi amanah yang membawa keberkatan. Suami yang adil dalam menunaikan kewajipan ini akan membina keluarga yang aman, dan diberkahi Allah SWT. Sebaliknya, sifat bakhil dan kedekut hanya akan meruntuhkan kebahagiaan rumah tangga serta mendatangkan dosa. Maka, setiap suami perlu bermuhasabah, adakah dia benar-benar menunaikan hak keluarganya dengan sebaiknya, atau sebaliknya?
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim